1. Sejarah adalah salah satu sumber ilmu dan maklumat yang paling bermanfaat untuk manusia kerana ia adalah peringatan supaya manusia belajar dengan tidak mengulangi kesilapan generasi awal dalam mengharungi perjalanan kehidupan dan tidak dinafikan juga dalam urusan mentadbir negara.
2. Al-Quran al-Karim sebagai rujukan utama manusia dengan bimbingan para Rasul AS banyak memberikan panduan daripada kesilapan kisah umat terdahulu bermula dengan kisah Nabi Adam AS di syurga yang banyak memberi pengajaran sehingga kepada Qabil membunuh Habil – tragedi pertama insan di bumi Allah.
Firman Allah Taala: โDemikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian daripada kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Qur’an yang menjadi) peringatan.โ (Surah Taha: ayat 99)
3. Sejarah juga mengajar kita rantaian faktor-faktor asbab kepada kejatuhan kerajaan-kerajaan besar dahulu kala disebabkan kealpaan pemimpin mereka dan juga disebabkan ketamakan pemimpin yang mabuk kuasa yang sanggup berbuat apa sahaja untuk berada di puncak kuasa.
4. Dalam usaha perebutan kuasa berkenaan, selain serangan daripada luar, perpecahan dalaman memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam menyumbang ke arah kejatuhan sesebuah kerajaan itu, dari tamadun purba Greek, China, India, Mesopotamia, Babylon, Sriwijaya dan lain-lain, mempunyai corak kejatuhan yang tidak jauh berbeza.
5. Terkini, di era milenium baru, Amerika Syarikat juga kecundang dan sedang menghadapi kejatuhan moral dan nilai demokrasi apabila Donald Trump mengetuai komplot dalaman yang disebut sebagai ‘internal terrorism‘ untuk menggagalkan peralihan kuasa Presiden kepada Joe Biden setelah Donald Trump kalah dalam Pilihan Raya presiden.
6. Malaysia juga tidak terkecuali terpalit dengan gelagat pemain politik yang kini sudah berani menderhaka kepada Ketua Negara, berani melanggar Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, berterusan memanipulasi undang-undang dan cuba mempengaruhi minda rakyat untuk bangkit memberontak ke atas sebuah kerajaan yang sah dan telah diuji dalam Sidang Parlimen yang lalu.
7. Keadaan sebegini adalah merupakan suatu sikap yang amat silap apatah lagi setelah Yang Di-Pertuan Agong, di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat atas sebab keselamatan dan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19, serta titah perkenan baginda ini dipertahankan dan diperakui tidak bersalahan oleh ramai pakar Perlembagaan.
8. Bantahan yang disusuli dengan hasutan oleh politikus tidak bermaruah ini menunjukkan sikap paling menyedihkan dalam sejarah negara apabila ia bukan sahaja bertentangan dengan prinsip Maqasid Syariah yang mengutamakan pemeliharaan agama, keselamatan nyawa manusia dan perlindungan harta, ia dilakukan semata-mata kerana ingin berkuasa.
9. Apabila hilang sudah segala hujah, maka akan timbul amarah yang memuncak dan nafsu serakah yang keterlaluan yang mendorong sifat-sifat kebinatangan marak menjadikan kuasa politik sebagai matlamat utama, bukan lagi kepentingan ramai.
10. Sebaliknya, bukankah jika nafsu itu dikawal dan dipandu supaya bersabar sehingga selepas darurat atau setelah Covid-19 pulih dan suasana sudah boleh dikawal sedikit โ in sya Allah – pastinya PRU-15 akan diumumkan dengan segera bagi memberi mandat kepada rakyat untuk memilih wakil yang paling berwibawa bagi memacu kepimpinan negara.
11. Jika rakyat boleh bersabar, mengapa tidak ahli politik? Jangan memanipulasi hakikat sebenar dengan mempersalahkan kononnya rakyat yang mendesak padahal yang jelas kelihatan resah gelisah dan semakin tidak senang duduk itu hanya pada beberapa kerat politikus yang mempunyai kes mahkamah dan diambil peluang pula oleh individu yang kemaruk kerusi Perdana Menteri.
12. Belajarlah daripada kesilapan lampau yang telahpun dicatat dalam lipatan sejarah yang telahpun menjadi khazanah ilmu yang sangat berharga kepada manusia bagi menentukan masa depan negara yang lebih baik.
13. Rakyat sedia bersabar dan begitu juga dengan pemimpin harus memberi sedikit masa sahaja lagi dan bila tiba waktunya nanti percayalah bahawa rakyat pasti akan mengundi dengan lebih cermat, bijak dan berhati-hati bagi memilih yang terbaik dan bukannya terpaksa memilih yang terbaik daripada yang paling teruk.
Oleh Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi Dan Multimedia PEMBELA