Baru-baru ini, Malaysia telah dikategorikan pada kedudukan ke-3 tertinggi Asia bagi jumlah ‘sugardaddy‘ melalui aplikasi Sugarbook, sebuah aplikasi tidak bermoral yang menyediakan platform bagi mereka mencari wanita-wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugarbaby‘.
Semalam pula kita digemparkan dengan statistik seramai 12,705 pelajar IPT awam dan swasta di lembah klang berdaftar dengan aplikasi tersebut untuk mencari ‘sugardaddy‘.
Berdasarkan rekod, selepas setahun kita terpaksa melaksanakan PKP, PKPB, PKPP dan kini PKP semula, terdapat peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi tersebut yang dikatakan akibat daripada desakan hidup sewaktu pandemik COVID-19 masih lagi menular di seluruh dunia.
Dengan peningkatan jumlah pelajar IPT yang mendaftar dalam aplikasi ini, sudah tentu ia amat membimbangkan kerana menggambarkan keruntuhan moral dan juga pada masa yang sama menunjukkan kegawatan kewangan golongan pelajar semakin meruncing pada masa hari ini.
Saya mengharapkan agar semua pihak terus memandang serius dengan laporan sebegini kerana jika ia dipandang ringan, maka keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan pelajar akan menjadi semakin membimbangkan.
Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi ingin membuka mata semua pihak berwajib agar dapat memikirkan solusi berkesan untuk mengurangkan kegiatan sebegini dalam kalangan mahasiswa.
Saya juga memohon kepada mahasiswa yang mempunyai masalah terutamanya daripada segi kewangan untuk terus menghubungi IPT masing-masing terutamanya jika berkaitan dengan meneruskan pembelajaran. Saya percaya setiap IPT di negara kita akan terus membantu mahasiswa yang memerlukan.
Sekian, terima kasih.
“Memartabat Mahasiswa Malaysia“
Muhammad Amir asyraf Bin Mohd Sabri
Presiden
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
11 Februari 2021