KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PUTRA MALAYSIA
18 Febuari 2021 | 6 Rejab 1442H
1. Merujuk kepada portal Malaysia Gazette, sejumlah 2,500 keping Setem Hasil Kerajaan bernilai RM250 dan RM10 yang keseluruhannya bernilai RM12.5 juta telah dirampas dalam operasi besar-besaran yang diadakan semalam di sekitar Kuala Lumpur. “Setem Hasil yang bernilai RM250 dijual di pasaran gelap dengan nilai RM40 hingga RM60.00. Manakala setem hasil bernilai RM10 dijual dengan harga RM5 hingga RM6”.
Rujuk pautan;
https://malaysiagazette.com/2021/02/18/sprm-tumpaskan-sindiket-rasuah-jualan-dokumen-hasil-kerajaan/
2. PUTRA ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak SPRM kerana berjaya menumpaskan sindiket rasuah penjualan dokumen hasil kerajaan secara besar-besaran.
3. Akan tetapi, jika diperhalusi kenyataan di atas, PUTRA mendapati perkara ini adalah sangat membimbangkan, kerana perkara seperti Setem Hasil ini adalah salah satu sumber pendapatan negara, dan kegagalan penguatkuasaan terhadap sindiket terbabit mengakibatkan ketirisan pendapatan yang bukan sedikit jumlahnya.
4. Kita juga masih tertanya-tanya tentang kes sebelum ini, iaitu kes sindiket menjual kad pengenalan kepada warga asing, di mana penjualan oleh sindiket yang tiada diskriminasi ini boleh membahayakan keselamatan negara, terutamanya jika yang menjadi pembeli kad-kad pengenalan yang dijual oleh sindiket ini adalah penjenayah antarabangsa. Rujuk pautan;
5. Malangnya, bagi sebuah negara yang boleh dikatakan maju dan moden, Malaysia masih ketinggalan dalam memastikan keselamatan data dan pengenalan individu terjaga. Sistem penyimpanan data yang kurang efisien, ditambah dengan segelintir kakitangan awam tidak amanah yang ‘bijak’ memanipulasi sistem, semata-mata kerana godaan untuk hidup mewah dan bergaya.
6. Sifat tidak patriotik dan hidup di atas prinsip “wang adalah segala-galanya” menjerumuskan mereka ke dalam ‘perangkap’ kumpulan sindiket yang akan mengaburkan mata mereka dengan kemewahan, sehinggakan negara bukan sahaja rugi dari segi perbendaharaan negara, tetapi juga membuka ruang bagi anasir-anasir subversif untuk mengganggu-gugat keselamatan dan kestabilan negara.
7. Oleh itu PUTRA menggesa pihak kerajaan agar, hukuman sebat mandatori bermula dari tiga (3) hingga sepuluh (10) kali di khalayak umum diperkenalkan (selain penjara) bagi menghapuskan amalan rasuah dan salah guna kuasa ini. Kepada pihak SPRM, PUTRA ucap tahniah dan syabas sekali lagi di atas KEJAYAAN menumpaskan kes sebegini, agar keselamatan negara terpelihara dan tiada ketirisan bagi kutipan pendapatan negara.
Sekian.
Ashraf Bin Rosli
Ketua Penerangan PUTRA Malaysia
PUTRA PERKASA NEGARA