SCHEME OF THING ‘MAKAN DIRI’, TREND MELOMPAT PARTI MELEMAHKAN BERSATU DAN PN

447
SHARES
2.6k
VIEWS

Usaha Bersatu selain menggantung Parlimen melalui helah darurat, adalah dengan berharap agar semakin ramai Ahli Parlimen melompat kepada parti mereka demi meraih sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan partinya Bersatu. Bersatu mungkin boleh menafikan hal ini tetapi persepsi dan tanggapan yang terbentuk sukar untuk dibetulkan, apatah lagi ia dikuatkan dengan insiden melompat parti yang berlaku ketika darurat masih dilaksanakan. 

Selain itu secara tidak langsung usaha ini walaupun berjaya menarik sokongan, tetapi hakikatnya ia tidak mampu menguatkan Bersatu malah semakin melemahkan parti tersebut dengan strategi salah apabila menawarkan habuan jawatan Menteri dan Pengerusi GLC ataupun lain-lain jawatan utama lain dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

Usaha ‘penyogokan politik’ ini bukan lagi rahsia malah pernah ditegaskan oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah melalui suratnya kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 25 September 2020 yang menurutnya penawaran jawatan sebegini menyalahi Perlembagaan dan semakin membimbangkan. 

Penyogokan politik melalui “scheme of thing Muhyiddin” ini tentu dilihat berjaya oleh pengamalnya apabila dua Ahli Parlimen PKR dan dua ADUN DAP berjaya dipujuk untuk melompat parti dan menyertai Bersatu, malah sebelum ini berduyun-duyun Ahli Parlimen UMNO dan PKR sendiri telahpun menyertai parti tersebut – menjadikan Bersatu sebagai ‘kluster’ terbesar dipenuhi oleh mereka yang melompat parti.

Sungguhpun begitu, dengan tanggapan bahawa mereka berjaya menguasai Dewan Rakyat dan terus memerintah apabila memperoleh majoriti sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen melompat tetapi sebenarnya scheme of thing Muhyiddin ini mengundang petaka kepada Perikatan Nasional terutamanya Bersatu pada PRU-15 kelak.

Kesenangan sementara untuk mengekalkan kerajaan dengan cara melompat dan tawaran ini hanya berjaya memperoleh “individu yang melompat” sama ada Ahli Parlimen ataupun ADUN, tetapi bukan pengundi-pengundinya yang tentu tidak bersetuju wakil rakyat mereka melompat parti. Apa yang lebih merugikan Bersatu dan Perikatan Nasional, semua pengundi-pengundi kecewa ini tentunya telah bersedia untuk menghukum Ahli Parlimen mereka yang khianat mandat mereka dengan melompat – tidak kira bilapun PRU-15 akan diadakan.

Sebagai contoh, pengundi-pengundi PKR-PH di Parlimen Gombak yang bertungkus lumus memenangkan calon Ahli Parlimen mereka Datuk Seri Azmin Ali tentu kecewa dengan tindakan lompatnya kepada Bersatu, begitu juga pengundi-pengundi DAP-PH bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam, yang tentunya kecewa dan bersedia menghukum mereka pada bila-bila masa kelak. 

Perkara ini ditambah buruk oleh berkurangnya pengundi-pengundi Pakatan Harapan yang kecewa dengan prestasi 22 bulan kerajaan sementara tersebut terutamanya golongan Melayu termasuk pengundi muda dan pengundi atas pagar yang berubah kecenderungan mereka untuk tidak lagi mengundi Pakatan Harapan.

Semua pengundi kategori ini majoritinya juga tidak akan mengundi kembali mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN melompat parti kerana dilihat lebih mengutamakan kuasa dan sanggup melompat menggunakan retorik “demi rakyat” atau “demi pengundi-pengundi di tempat kami” sedangkan hakikatnya di mata pengundi-pengundi ia adalah satu pengkhianatan. 

Selain itu, kesilapan besar Perikatan Nasional tidak ‘undo‘ apa yang dibuat oleh Pakatan Harapan seperti tidak memberi keadilan untuk kes pembunuhan arwah Adib, tidak menghentikan penjualan aset-aset negara malah RCI Tabung Haji masih tidak mahu dilaksanakan juga membuatkan pengundi-pengundi muda dan atas pagar serta pengundi-pengundi Pakatan Harapan yang beralih arah, pasti tidak akan mengundi Perikatan Nasional dan Bersatu. Ini kerana kerajaan dilihat hanya seperti “klon Pakatan Harapan” yang meneruskan banyak agenda 22 bulan mereka termasuk pendakwaan terhadap LTTE dan komunis masih tidak dilaksanakan.

Ditambah parah apabila Perdana Menteri meluluskan peruntukan berpuluh juta untuk pembinaan dewan di Parlimennya sendiri di Pagoh serta isu syarikat yang dikaitkan dengan menantunya diberikan projek bernilai RM1.2 bilion sebaliknya apabila rakyat menuntut wang sendiri dikeluarkan melalui KWSP tidak pula dibenarkan. 

Justeru mana-mana parti yang berteraskan Melayu Islam seperti UMNO dilihat mempunyai lebih peluang dan keupayaan untuk mendominasi PRU-15 kelak, berbanding Perikatan Nasional yang dibantu oleh PAS ketika ini. Malah parti baharu seperti PUTRA juga wajar mengambil peluang hasil daripada kesilapan strategi jangka pendek dan scheme of thing Muhyiddin yang tidak sepatutnya dilakukan. 

Justeru jangan ada mana-mana pemimpin politik termasuk Perdana Menteri lupa bahawa rakyat bukanlah bodoh dan hanya menerima bulat-bulat retorik “demi ummah”, “demi perpaduan”, “demi Islam” yang kononnya untuk mewujudkan kesatuan dan kestabilan dalam Perikatan Nasional jika isu-isu dasar dan asas berkaitan umat Islam di negara ini tidak juga mahu diselesaikan. 

Cukup-cukuplah ‘menggadai’ maruah ummah, perpaduan, Melayu dan Islam bagi mencipta ‘metafora politik’ untuk mengaburi rakyat jika hakikatnya maslahat umat Islam seperti Tabung Haji masih tidak tentu masa depannya, keluarga arwah Adib masih tidak melihat keadilan tertegak selepas genap setahun pemerintahan Perikatan Nasional.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts