JIKA KERAJAAN SUDAH TIADA WANG, MAKA APA PENYELESAIANNYA?

195
SHARES
628
VIEWS

Kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang ketika ini hanya mengundang banyak persoalan. Kenyataan pesimistik seperti ini sepatutnya dielakkan oleh seorang ketua negara. Ia bukan sahaja mengurangkan keyakinan rakyat terhadap beliau dan kerajaan Perikatan Nasionalnya malah kenyataan kurang  cerdik ini dikhuatiri akan menambah ketakutan para pelabur. Selain itu ia juga dilihat senada dengan kenyataan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir sebelum ini. 

Ditambah buruk dengan kenyataannya menggesa penjawat awam memotong gaji secara berkala walaupun tujuannya baik untuk waqaf namun ia boleh memberikan mesej yang salah dan mencetuskan kebimbangan rakyat kerana dalam masa yang sama Muhyiddin berkata negara sudah tidak mempunyai banyak wang. Perdana Menteri tidak sepatutnya hanya menyatakan masalah tanpa memperincikan apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi mengatasinya.

Justeru Muhyiddin perlu melakukan sesuatu setelah lebih setahun memerintah bukan sahaja  tidak ‘undo‘ apa dibuat Pakatan Harapan tetapi lebih teruk masih mengekalkan cara yang sama seperti mereka. Laungan kerajaan Perikatan Nasional ini kononnya demi perpaduan ummah, Islam memimpin dan kerajaan berintegriti serta lain-lain retorik politik ini perlu dihentikan dan mula membuat kerja demi memulihkan negara dan menarik keyakinan pelabur.

Langkah pertama yang boleh diambil oleh kerajaan ialah jangan takut membuka kembali Parlimen yang telah digantung sejak sekian lama bagi memberi laluan kepada Ahli-ahli Parlimen yang mewakili rakyat untuk memberi cadangan dan pandangan masing-masing bagi memulihkan negara secara bersama-sama. Kerajaan tidak boleh bekerja secara ‘silo‘ dengan menggantung Parlimen apatah lagi menteri-menterinya tidak berpengalaman. 

Alasan klise negara tiada wang, negara banyak berhutang, negara akan terjual ke negara asing, rakyat perlu berjimat dan ikat perut dan pelbagai lagi penipuan dan alasan sama seperti zaman Pakatan Harapan dahulu sepatutnya tidak lagi diteruskan oleh Perikatan Nasional.

Rakyat hari ini bukannya bodoh dan tidak mampu menilai malah tidak akan termakan lagi dengan retorik basi dan alasan politik klise seperti ini. Rakyat juga tidak pedulipun audio tulen ataupun tidak, tetapi rakyat mahu pemimpin-pemimpin tulen yang ikhlas membantu mereka mengharungi kehidupan yang semakin mencabar pada hari ini.

Perikatan Nasional perlu melakukan perubahan jika tidak mahu ditolak rakyat dan jangan asyik berpolitik demi menambah sokongan – akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat dan negara itu sendiri namun pemimpin-pemimpin kemudiannya lepas tangan dan cabut lari. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts