KENYATAAN RASMI DATUK PADUKA DR. IBRAHIM ALI MENGENAI SAMAN BERKAITAN DANA 1MDB, SRC

174
SHARES
561
VIEWS

Kenyataan Rasmi Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali

11 Mei 2021

Merujuk kepada laporan media hari ini mengenai 22 pihak lagi bakal disaman menerima wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan SRC yang mana nama saya turut disebut, saya dengan rasa tanggungjawab memberi penjelasan yang sebenar berkaitan dengan diri saya.

Saya mengaku telah menerima sekeping cek personal DS Najib yang tertera nama beliau pada cek tersebut, yang tidak saya sedar sama sekali ia berkait dengan wang SRC mahupun 1MDB sebab tiada nama SRC mahupun 1MDB di cek tersebut. Saya tidak ingat bila terimanya tetapi yang pasti sebelum isu 1MDB terbongkar selepas PRU-13. Jika sudah terbongkar, pastinya saya tidak akan mahu menerimanya dan DS Najib sendiri tidak akan menggunakan akaun tersebut lagi.

Ingin saya jelaskan di sini bahawa saya adalah Ahli Parlimen Bebas sepanjang lima tahun dari 2008 hingga 2013 setelah menang PRU-12 atas tiket PAS. Sepanjang lima tahun itu saya adalah sebagai AP Bebas ‘friendly BN‘. Sebagai AP Bebas saya tidak punyai peruntukan untuk adakan program-program rakyat di kawasan saya.

Apa lagi menuju PRU-13 perlu banyak adakan pelbagai bantuan kepada rakyat Pasir Mas yang mana saya perlu mencari dana dari pihak-pihak yang sudi menyumbang. Jika terdesak, saya gunakan kad kredit sehingga maksima hadnya.

Selesai PRU-13, saya berjumpa DS Najib untuk minta bantu selesaikan masalah kewangan yang telah banyak dibelanjakan sepanjang lima tahun tersebut termasuk ketika bertanding PRU-13. Apalagi saya adalah calon ‘friendly BN‘ yang mana calon BN (UMNO) menarik diri secara tidak langsung mengizinkan saya bertanding satu lawan satu dengan calon PAS. Beliau setuju membantu pada fikiran saya kerana saya AP Bebas ‘friendly BN‘ sebelum itu. Saya tidak ambil tahu dana mana dia ambil bantu saya. Mungkin dari tabung UMNO atau BN. Atau wang personalnya.

Mengapa perlu saya menolak bantuan yang beliau berikan dan sudah tentu saya tidak menyoal punca duit itu datang dari mana memandangkan DS Najib telah lama dalam Kabinet Kerajaan Malaysia sejak usianya 20an lagi, sudah tentu jumlah itu dalam kemampuannya.

Semua sumbangan itu saya telah belanjakan yang tidak perlu saya huraikan sekarang, tetapi yang pasti ia dihabiskan untuk membiayai perbelanjaan program-program rakyat di Pasir Mas dan tidak digunakan untuk perbelanjaan peribadi saya.

Untuk rekod, saya selaku Presiden Perkasa adalah pihak terawal mendesak agar kerajaan wujudkan Suruhanjaya Diraja untuk siasat skandal 1MDB pada program Sidang Meja Bulat Perkasa: Isu 1MDB dalam tahun 2014 di Kelab Sultan Sulaiman. Kenyataan gesa wujud Suruhanjaya tersebut juga sekali lagi dibuat bersama-sama dengan Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi ketika Perkasa mengadakan kunjungan hormat ke atas pimpinan tertinggi PAS pada awal tahun 2015.

Saya sedia tunggu saman tersebut dan bersedia menjawab di mahkamah. Biarkanlah mahkamah tentukan saya wajar memulangkan semula atau tidak kerana saya telah membelanjakan semuanya ketika saya tidak mengetahui sama sekali duit itu dari sumber salah.

Selepas ini saya hanya akan mewakilan peguam saya untuk buat sebarang kenyataan berkaitan isu saman tersebut. Saya sedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa jika dipanggil untuk apa-apa siasatan kerana saya tidak mahu terpalit dengan sebarang skandal negara. Bagaimanapun ia adalah tindakan saman sivil, maka saya menunggu sahaja bila akan disaman.

Sekian.

Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts