Sikap beberapa pemimpin UMNO pasca PRU-14 amat memalukan
Sikap ‘menikam belakang’ atau ‘memijak rakan yang jatuh’ oleh beberapa pemimpin UMNO seperti Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO Setiawangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani amat memualkan kerana apabila kalah barulah pemimpin seperti lalang ini hendak bersuara.
Terkini, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut senada dan menyokong sentimen yang disuarakan oleh Johari yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua, mengenai penglibatan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam pilihanraya kecil (PRK) Sungai Kandis baru-baru ini.
UMNO tidak akan bangkit jika Najib terlibat dalam hal ehwal parti
Beliau yang tewas di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan kerusi DUN Permas berkata, adalah mustahil UMNO untuk bangkit daripada kekalahannya jika ia terus mengimbau masa lalu dan membenarkan Datuk Seri Najib Razak yang akan dibicarakan terlibat dalam hal ehwal parti.
Najib kata UMNO tidak perlu pertahan beliau
Bekas Menteri Besar Johor dan Naib Presiden UMNO itu berkata sudah tiba masanya UMNO menyedari bahawa yang sedang dibicarakan adalah Najib dan bukannya parti.
Sedangkan Datuk Seri Najib telah memberitahu melalui Facebook beliau mengenai dirinya tidak perlu dipertahankan oleh UMNO dan beliau percaya sekiranya dibicarakan melalui undang-undang yang adil, beliau yakin namanya akan dibersihkan.
Mungkin ketika kenyataan ini dibuat, Khaled belum menyedari penerangan Datuk Seri Najib di Facebook-nya.
Khaled kalah di kerusi Parlimen dan DUN
Justeru sekiranya kita menggunakan logik akal Khaled dan bukannya pertimbangan yang waras, maka tentunya beliau juga wajar ditolak oleh ahli UMNO dan meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden UMNO.
Begitu juga jika ada sebarang pertuduhan terhadapnya seperti skandal menukar status tanah sebelum ini yang dibangkitkan oleh ADUN DAP, Wong Shu Qi (kini Ahli Parlimen) serta desas-desus skandal Pusat Latihan TVET di Kulai, maka adakah beliau perlu menerima nasib seperti apa yang beliau sarankan terhadap Datuk Seri Najib?
Tentunya tidak perlu kerana seseorang itu tidak bersalah belum dibuktikan bersalah di mahkamah. Jika beliau inginkan keadilan terhadap diri sendiri tentunya beliau perlu bertindak adil kepada pihak lain.
Punca kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional?
Apabila UMNO mempunyai pemimpin yang bersikap seperti Annuar Musa, Khaled Nordin dan Johari Abdul Ghani yang menyalahkan orang lain demi survival diri sendiri dalam dunia politik dan bersikap angkuh tidak membantu rakan yang telah jatuh.
Punca sebenar kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional
Sudah menjadi ‘trend’ di seluruh dunia, kekalahan parti memerintah seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN) ini adalah kerana penolakan terhadap kerajaan semasa, bukan GST, bukan 1MDB, yang hanya wujud sebagai pelengkap.
Sama seperti Datuk Seri Najib, Annuar Musa, Khaled Nordin dan Johari Abdul Ghani, mereka hanyalah sebagai pelengkap kepada trend penolakan tersebut, tanpa mereka UMNO dan Barisan Nasional tetap akan ditolak.