Prestasi buruk UMNO-BN dalam PRU-15 dan PRN 6 negeri baru-baru ini tidak harus diletakkan di bahu Presiden UMNO. Pencapaian UMNO memang buruk tetapi bukan pencapaian Presiden UMNO.
Semua pihak perlu sedar bahawa Presiden UMNO telah berjaya mempertahankan UMNO dari dibubarkan oleh Tun Mahathir yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pasca PRU-14.
Apabila Kerajaan PH tumbang setelah 22 bulan mentadbir negara, Presiden UMNO telah berjaya meletakkan UMNO-BN sebagai sebahagian dari Kerajaan PN dan PN 2.0
Biarpun prestasi UMNO begitu buruk dalam PRU-15, hanya mendapat 30 kerusi sahaja namun UMNO-BN berada dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Malah beliau juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Ini satu pencapaian cemerlang dari seorang Presiden UMNO setelah UMNO-BN berjaya ditumbangkan oleh Pakatan Harapan atau PH pada PRU-14. Lalu kenapa Presiden UMNO yang berprestasi cemerlang ini perlu meletakkan jawatan?
Di mana logiknya?
Sebenarnya yang harus bertanggungjawab dan dipersalahkan ialah semua pihak di dalam UMNO kecuali Presiden UMNO. Ketua-ketua Perhubungan Negeri, Ketua-ketua Bahagian dan juga Ketua-ketua Cawangan UMNO yang harus meletak jawatan secara beramai-ramai.
Ini bagi membuka laluan kepada generasi yang lebih muda untuk mengambil alih kepemimpinan menjelang PRU-16. Prestasi buruk UMNO sebenarnya telah membuka peluang untuk Presiden UMNO melakukan pemutihan dan peremajaan semula dalam UMNO bagi menghadapi PRU-16 nanti.
Ada banyak faktor sebenarnya yang telah menyebabkan kemerosotan pencapaian UMNO dalam PRU 15 dan PRN enam negeri. Antaranya ialah;
1. Pengkhianatan dalam parti
Pasca PRU-15 ada kelompok di dalam parti yang diketuai oleh seorang pemimpin dari Johor yang bercita-cita tinggi telah melakukan pengkhianatan dengan bersekongkol dengan pihak lawan.
Gerakan pengkhianatan ini telah menyebabkan sekumpulan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang lebih dikenali sebagai Kluster Katak telah melompat keluar meninggalkan parti dan menyertai PPBM atau Bersatu kerana takut didakwa di mahkamah, serta setelah dijanjikan jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
Ini merupakan peristiwa politik yang paling menjijikkan dalam sejarah politik Malaysia. Rasuah dan penyogokan politik berlaku di depan mata secara terang-terangan. Tidak hanya di situ, gerakan pengkhianatan ini terus berjalan dan memainkan peranan di dalam parti dengan membina imej buruk terhadap Presiden UMNO di kalangan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.
Gerakan ini juga bertanggungjawab mensabotaj parti pada PRU-15 sehingga menyebabkan prestasi UMNO merosot begitu teruk sekali. Pasca PRU-15 gerakan ini telah mendesak Presiden UMNO agar bertanggungjawab terhadap prestasi buruk UMNO dan meletakkan jawatan.
Ini satu desakan yang tidak masuk akal. Biarpun prestasi UMNO buruk namun UMNO tidak kalah dalam PRU-15. Ini kerana tidak ada satupun gabungan parti-parti politik yang menang dalam PRU-15.
Atas dasar itu pihak Istana Negara telah menitahkan agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk. Sejarah tercatat bahawa UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan kemakmuran rakyat Malaysia.
Pelantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia telah disahkan di Parlimen dengan sebulat suara. Namun ada pihak yang terus mempertikaikan bahawa ini bukan Kerajaan Perpaduan tetapi Kerajaan Campuran dengan alasan ada pembangkang dalam Parlimen.
Soalannya siapa yang pembangkang kepada titah Tuanku dan apa alasan mereka membangkang titah tersebut? Sehingga ke hari ini pihak pembangkang tidak pernah memberikan jawapan kepada soalan ini.
Bukankah ini satu bentuk penderhakaan besar-besaran terhadap YDP Agong dan Raja-raja Melayu? Hanya kerana ingin menumbangkan Kerajaan Perpaduan, gerakan mensabotaj UMNO dari dalam berterusan sehingga ke PRN 6 negeri baru-baru ini.
2. Warlord UMNO
UMNO sentiasa mempunyai dalaman kerana terpaksa berhadapan dengan budaya ‘warlord‘. Mereka ini sanggup melakukan apa sahaja agar sentiasa dipilih untuk menjadi calon dan memegang jawatan di dalam parti atau di dalam kerajaan.
Mereka ini sering menimbulkan masalah kepada Presiden UMNO termasuk Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Biarpun pasca PRU-15 ada beberapa warlord UMNO yang telah dipecat atau dikenakan tindakan disiplin, namun masih ada beberapa warlord di dalam parti.
Bagi menghadapi PRU-16 pengaruh warlord ini perlu dikekang dan mereka perlu dimasukkan ke dalam “peti sejuk”.
3. Lembaga Disiplin UMNO
Lembaga Disiplin dilihat tidak bermaya dan gagal memainkan fungsi dan peranannya. Sekiranya pasca PRU-14 mereka bertindak agresif sudah pasti prestasi UMNO dalam PRU-15 dan PRN 6 negeri akan berbeza.
Sebagai contoh, sekiranya Dato’ Seri Ismail Sabri dikenakan tindakan disiplin apabila melanggar ketetapan parti untuk tidak menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri mungkin prestasi UMNO hari ini berbeza.
Lembaga ini perlu bertindak lebih pro aktif dan agresif sehingga menjadi satu lembaga yang digeruni dan dihormati di dalam parti. Lembaga ini harus berupaya mewakili Presiden UMNO dalam membina disiplin ahli-ahli UMNO.
Pasca PRN 6 negeri, pemutihan besar-besaran perlu dilakukan melalui Lembaga Disiplin. Ini kerana ramai ahli-ahli UMNO yang terlibat dalam aktiviti mensabotaj parti secara terang-terangan.
UMNO hanya mampu berdiri gagah kembali dengan ahli-ahli yang mempunyai disiplin yang tinggi.
4. Biro Penerangan
Biro Penerangan UMNO paling gagal dan tidak bermaya di semua peringkat. Biro ini gagal dalam peperangan persepsi dan permainan sentimen parti-parti lawan.
Prestasi buruk UMNO dalam PRU-15 dan PRN 6 negeri adalah disebabkan oleh Biro Penerangan gagal memberikan penerangan yang jelas dan tepat kepada rakyat mengenai kerjasama UMNO dengan PH dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
Biro Penerangan juga gagal memberikan penerangan yang baik bagi tujuan untuk memulihkan kembali imej Presiden UMNO yang dicalarkan oleh Kerajaan PH 22 bulan.
5. Ketua Perhubungan, Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan
Ketua-ketua Perhubungan Negeri, Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua Cawangan juga perlu bertanggungjawab atas prestasi buruk UMNO. Ini kerana mereka gagal untuk mempertahankan UMNO dalam PRU-15 serta gagal membela Kerajaan Perpaduan dalam PRN enam negeri.
Mereka wajar meletakkan jawatan secara beramai-ramai bagi memberi laluan kepada para pemimpin muda khususnya yang berumur di bawah 45 tahun. Generasi baharu ini wajar menerajui kepimpinan parti di peringkat bahagian di seluruh negara.
6. Calon PRU-15 dan PRN enam negeri
Terbukti bahawa calon-calon UMNO pada PRU-15 dan PRN enam negeri tidak mempunyai daya kebolehpilihan (electability). Bagi menghadapi PRU-16, ciri-ciri calon yang harus dipilih perlu memiliki kriteria tertentu yang mampu meningkatkan daya tersebut.
Mereka itu wajar dikenalpasti dan diumumkan dua tahun lebih awal dari tarikh PRU-16 kelak. Ini bagi memberi peluang kepada mereka untuk mempromosikan diri dan melakukan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan agar lebih dikenali oleh para pengundi mereka.
Mereka juga perlu dilatih dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat yang cemerlang. Kriteria utama seseorang calon di masa depan adalah kemampuan untuk menjadi imam solat pada hari Jumaat.
7. Tik Tok
Semenjak sebelum PRU-14 dan sehingga kini, UMNO sentiasa kalah dalam persaingan di media sosial khususnya Tik Tok. Atas dasar itu syarat utama setiap calon yang bakal dipilih harus mempunyai pengikut yang ramai di media sosial khususnya Tik Tok dari kalangan pengundi di kawasan mereka.
Pengikut yang ramai di dalam Tik Tok harus menjadi salah satu kriteria utama ciri-ciri kebolehpilihan seseorang calon pada PRU-16.
8. Ikon bagi pengundi muda
Selama ini UMNO tidak mempunyai ikon-ikon generasi muda yang berumur di bawah 35 tahun. Ikon-ikon muda ini menjadi semakin penting pada masa ini dan akan datang dengan adanya pengundi 18.
Mereka ini adalah generasi era All Digital dan Tik Tok. Ikon-ikon muda ini haruslah terdiri daripada mereka yang menguasai teknologi terkini dan menjadi usahawan teknologi pada masa kini. Mereka juga harus berkemampuan menjadi inspirasi dan motivasi kepada generasi mereka.
Setiap tahun ada lebih kurang 400 ribu pengundi baru di kalangan yang berumur 18 tahun. Golongan ini perlukan ikon-ikon muda untuk mereka ikuti. Pada masa ini golongan ini lebih gemar mengikuti perkembangan artis-artis popular.
9. Peranan ibu bapa
Hari ini ramai di kalangan anak-anak ahli-ahli UMNO yang tidak menyokong UMNO. Ini berbeza dengan anak-anak ahli PAS. Anak-anak ahli PAS akan menuruti jejak langkah ibu bapa mereka menyokong PAS.
Setiap musim PRU atau PRN, mereka ini akan dikerah untuk pulang ke kampung untuk mengundi. Perkara ini perlu diberikan perhatian.
10. Influencer atau pempengaruh
Kekalahan UMNO dalam perang media sosial kerana tidak mempunyai ramai pempengaruh atau ‘influencer‘.
UMNO perlu mempunyai ramai tokoh-tokoh muda yang berkemampuan untuk menjadi pempengaruh di media-media sosial khususnya Tik Tok.
Tanpa pempengaruh, bagaimana UMNO ingin memberikan pendidikan politik dan penerangan kepada para pengundi muda yang mesra Tik Tok?
11. Imej calon
Calon-calon PRU-16 dari UMNO haruslah mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan mempunyai imej Islam yang kuat. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam dan perjuangan UMNO adalah untuk membela Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu.
Era calon-calon yang mempunyai imej dan akhlak yang buruk sudahpun berakhir.
12. Kakitangan Kerajaan
Semenjak PRU-14 sehingga ke hari ini kakitangan awam sudah tidak lagi menyokong UMNO.
Sesuatu perlu dilakukan bagi mengembalikan sokongan mereka terhadap parti ini.
13. Pengkaderan
Seperti ramai yang sedia maklum, UMNO bukan lagi parti kegemaran golongan muda dan remaja khususnya golongan mahasiswa. Ini kerana imej UMNO yang buruk dan juga ketiadaan proses pengkaderan di dalam UMNO.
Atas dasar itu UMNO sukar untuk mendapat undi dari golongan muda dan remaja. Oleh itu adalah wajar sekiranya Briged Putera UMNO digerakkan kembali dengan lebih aktif.
Seorang ikon teknologi yang berumur di bawah 35 tahun perlu dilantik untuk memimpin Briged Putera UMNO. Ini bagi mempastikan agar Briged Putera UMNO berupaya untuk mendekati dan menarik minat anak-anak yang berusia 15 tahun dan ke atas.
14. Pergerakan Wanita
Pasca PRU-14, Pergerakan Wanita dilihat tidak bermaya dan gagal memainkan peranan yang diharapkan. Ini antara punca utama prestasi buruk UMNO pada PRU-15 dan PRN 6 negeri.
Kini mereka sudah kehilangan populariti dan juga taring mereka. Mereka sudah tidak lagi berbisa seperti di zaman Rafidah Aziz dan Shahrizat Jalil.
15. Sanusi versi UMNO.
Pihak pembangkang sentiasa berjaya melahirkan watak-watak ‘pemberontak’ seperti Sanusi, Menteri Besar PAS. Dato’ Seri Anwar, Tan Sri Lim Kit Siang, Tan Sri Hadi Awang, Karpal Singh, Mat Sabu dan beberapa nama lagi cukup terkenal suatu masa dulu sebagai ikon pemberontak atau ‘rebellious‘.
Watak pemberontak atau rebellious amat diminati oleh golongan muda yang rata-ratanya adalah “anti establishment“. UMNO juga harus berupaya melahirkan beberapa watak seperti itu bagi menarik perhatian golongan muda.
16. Proklamasi Melayu
Gerakan Proklamasi Melayu adalah gerakan untuk mensabotaj Kerajaan Perpaduan. Gerakan tidak masuk akal yang dipimpin oleh individu yang telah diberikan peluang selama 22 tahun dan 22 bulan untuk membela nasib orang Melayu.
Apabila tidak lagi berkuasa barulah beliau melancarkan gerakan untuk menyatukan dan membela nasib orang Melayu. Kenapa beliau tidak berusaha menyatukan orang Melayu dan membela nasib mereka ketika sedang berkuasa?
Gerakan menakut-nakutkan orang Melayu dengan ancaman dari DAP tetapi dalam masa yang sama membunuh parti-parti Melayu yang berada dalam Kerajaan Perpaduan seperti UMNO dan Amanah.
Apabila Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini dikuasai oleh orang bukan Melayu, siapa yang mahu dipersalahkan?
Apakah salah UMNO juga? Bukankah gerakan seperti ini “cacat logiknya?”
Jadi sebelum terlambat, sebelum nasi menjadi bubur maka lebih baik satu gerakan sebagai “counter-narrative” kepada Proklamasi Melayu perlu diwujudkan sama ada di dalam atau dari luar UMNO.
Kesimpulan saya dalam menanggapi apa yang sedang berlaku kepada UMNO dan juga dalam meraikan realiti baru politik Malaysia ialah;
1. Presiden UMNO tidak boleh dibenarkan untuk meletakkan jawatan. Ini kerana pertama, beliau sudah memberikan perkhidmatan yang begitu cemerlang kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan.
Kedua, ia akan memberikan kemenangan moral kepada pihak lawan. Wajarkah UMNO memuaskan hati pihak lawan yang ingin membubarkan UMNO serta menumbangkan Kerajaan Perpaduan?
Bukankah tujuan mereka mendesak Presiden UMNO berundur itu adalah untuk membuka peluang mereka menumbangkan Kerajaan Perpaduan? Kenapa mahu diberikan peluang tersebut kepada mereka?
Sebenarnya pihak yang anti dengan Kerajaan Perpaduan itu gerun dengan gandingan mantap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
2. Usaha untuk memulihkan kembali imej Presiden UMNO perlu dijalankan secepat mungkin dan diteruskan sehingga ke PRU-16.
Usaha itu bukan sahaja harus dilakukan oleh ahli-ahli UMNO bahkan juga oleh para penyokong Kerajaan Perpaduan.
Ahli-ahli UMNO dan para penyokong Kerajaan Perpaduan perlu sedar bahawa Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya dianiaya kerana tidak mahu membubarkan UMNO. Beliau hanya menjadi mangsa percaturan politik pihak lawan.
Situasi beliau tidak ubah seperti Khairy Jamaludin di zaman Pak Lah dan Datin Seri Rosmah di zaman Dato’ Seri Najib.
Kalau benar mahu melihat kestabilan politik dan kemakmuran negara yang perlu direhatkan adalah para pemimpin kanan golongan yang anti dengan Kerajaan Perpaduan. Hantar mereka untuk bercuti dan berehat di Sungai Buluh.
Keberadaan mereka hanya menganggu proses kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.
3. Presiden UMNO juga perlu diberikan ruang dan peluang untuk membuat proses pemutihan dan peremajaan semula di dalam UMNO secara besar-besaran.
Ini dapat dilakukan sekarang kerana ‘warlord‘ di dalam UMNO sudah kehilangan taring dan sudah semakin pupus.
4. Presiden UMNO juga perlu diberikan ruang dan peluang untuk memilih, melantik dan melatih calon-calon untuk PRU-16 nanti bermula dari sekarang.
Semoga beberapa perkara yang saya catatkan di sini akan mendapat perhatian dari pucuk pimpinan UMNO khususnya Presiden UMNO sendiri dan tidak ketinggalan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Ketua kepada Kerajaan Perpaduan.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas