YAB Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang diketuai oleh Pengerusi IKIM Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, semalam.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM dan Ahli-ahli Lembaga Pengarahnya.
Dalam pertemuan tersebut YAB Perdana Menteri menyentuh kepentingan IKIM untuk meneruskan program meningkatkan kefahaman Islam yang boleh mengangkat martabat dan mengeluarkan umat dari belenggu kedangkalan ilmu.
“Kita juga wajar melakukan muhasabah sejauh mana kesedaran Islam melalui dakwah yang telah lama dimulakan sebelum ini benar-benar diisi dengan kefahaman Islam yang berakar dengan disiplin ilmu yang kuat.”
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan atas cadangan dan nasihat para Ahli Lembaga Pengarah IKIM mengenai hal ehwal Islam di Malaysia serta usaha meningkatkan keberkesanan peningkatan kefahaman Islam di setiap lapisan masyarakat.“
YAB Perdana Menteri berharap semoga pemahaman masyarakat terhadap Islam dapat dipertingkatkan dalam semua bidang termasuk akidah, akhlak, kebudayaan, politik, ekonomi dan sebagainya agar bersesuaian dengan perkembangan ilmu dan kehidupan semasa.