UMNO SEPERTI BUIH-BUIH DI LAUTAN – DR. RAMALAN YUNUS

368
SHARES
2.2k
VIEWS

Ahli-ahli UMNO hari ini berjumlah hampir 4 juta orang. Cukup ramai tetapi seperti buih-buih di lautan. Tidak ada kualiti. Tidak ada kekuatan. Lemah dan rapuh.

Apa yang mampu diharapkan dari ahli-ahli UMNO seperti ini? Maka wajar sahaja prestasi UMNO begitu buruk sekali.

Secara tradisinya ahli-ahli UMNO memang gemar menghentam Presiden sendiri. Sejak dari zaman Dato’ Onn Jaafar sehinggalah ke zaman Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Paling menarik bila ada pihak dari luar menghentam Presiden UMNO, ahli-ahli UMNO sendiri akan ikut sama menghentam Presidennya.

Namun ini tidak berlaku kepada mana-mana parti-parti politik yang lain. Kelemahan ini yang sering dieksploitasi dan dimanipulasi oleh pihak lawan.

Kenapa berlaku begitu? Ini kerana tidak ada proses tarbiah yang sistematik dalam parti UMNO. Ya, kata kuncinya adalah TARBIAH. Tanpa proses tarbiah yang sistematik, UMNO tidak mungkin bangkit dan menjadi gagah semula seperti sebelum merdeka.

Atas kesedaran betapa pentingnya ada proses tarbiah yang sistematik di dalam UMNO maka Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO telah menubuhkan Majlis Ulama UMNO.

Ahli-ahli UMNO perlu mendapat tarbiah dari para ulama agar hati mereka menjadi seperti kepingan-kepingan besi kalau mahu menjadi pejuang untuk membela agama, bangsa dan negara.

Ini tugas dan peranan besar yang perlu dimainkan oleh Majlis Ulama UMNO. Majlis ini perlu membina naratif berdasarkan kepada idealisme parti sebagaimana yang termaktub dalam perkara tiga Perlembagaan UMNO.

Malangnya sehingga kini belum ada apa-apa inisiatif atau sesuatu yang konkrit yang muncul dari Majlis Ulama UMNO. Sekurang-kurangnya Majlis Ulama UMNO perlu memberi penjelasan kepada ahli-ahli UMNO mengenai kerjasama UMNO dengan PH dan DAP.

Majlis Ulama UMNO juga seharusnya menasihati golongan yang anti dengan Presiden UMNO dan terus berusaha untuk mendesak Presiden UMNO meletak jawatan. Untuk apa berorganisasi atau berparti kalau tidak setia kepada Presiden parti?

Begitu juga dalam bernegara. Untuk apa bernegara kalau tidak setia kepada Ketua Negara? Kesetiaan kepada Presiden UMNO tidak bermakna yang kita tidak boleh mengkritik UMNO. Lakukan dengan cara yang betul dan mengikut saluran parti.

Jawatan Presiden UMNO bukan seperti jawatan Perdana Menteri Malaysia. Jawatan Presiden UMNO bukan jawatan awam atau “public office” seperti jawatan Perdana Menteri. Sekiranya jawatan awam bolehlah dikritik secara terbuka.

Apa yang menjadi masalah hari ini ialah Presiden UMNO bukan sahaja dikritik malah dikecam dan mahu digulingkan. Ini yang tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku dalam UMNO. Perkara seperti ini tidak harus dibiarkan terus berleluasa.

Oleh itu Majlis Ulama UMNO harus bersikap lebih agresif dalam membantu Presiden UMNO untuk mentarbiah ahli-ahli dan memulihkan kembali parti. Mekanisme, silibus dan jentera tarbiah UMNO perlu dibina dan dibangunkan dengan kadar segera.

Program-program tarbiah harus di jalankan ke seluruh negara dengan kadar yang segera. UMNO hanya mempunyai 4 tahun sahaja untuk bersiap sedia bagi menghadapi PRU-16.

Majlis Ulama UMNO harus bangkit menjadi murabbi kepada ahli-ahli UMNO khususnya dan para penyokong Kerajaan Perpaduan amnya. Doktrin keagamaan PAS yang cenderung kepada fahaman Wahabi yang ekstrem juga perlu diperangi oleh Majlis Ulama UMNO.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts