DATUK RAZLAN RAFII MERAYU, ZAHIRKAN KEBIMBANGAN KEPADA YDP AGONG

144
SHARES
465
VIEWS

4 Jun 2021 (Jumaat)

23 Syawal 1442H

AMPUN TUANKU

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH

AMPUN TUANKU BERIBU-RIBU AMPUN, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN,

Adalah dengan penuh homat dan takzimnya, patik merafak sembah dan berdoa ke hadrat Allah S.W.T semoga Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tuanku Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj beserta seluruh kerabat-kerabat senantiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat dan berada di bawah lindungan Allah S.W.T

AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN,

Izinkan patik menzahirkan kebimbangan rakyat rakyat di bawah naungan Tuanku yang akan pasti mengundang kerisauan dan masyghul buat Tuanku.

Menjunjung kasih, Ampun Tuanku dan mohon limpah izin di atas kebijaksanaan dan wewenang Tuanku, keadaan negara ini sudah tidak terkawal. Langkah berjaga-berjaga yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini ternyata sudah tidak berjaya. YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditabalkan sebagai ketua kerajaan telah gagal menjalankan amanahdan memacu ekonomi negara ke satu tahap yang lebih baik di samping membendung pandemik Covid-19.

AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN,

Kebimbangan Pertama: Penularan Tak Terkawal Covid-19

Hari ini, banyak negara di seluruh dunia melihat penurunan kes Covid-19. Namun Malaysia pula tidak menjadi sebahagian daripada negara-negara tersebut. Amat menyedihkan apabila Malaysia masih kekal dalam carta teratas yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi. Angka jangkitan baharu dan kematian saban hari tidak menentu sekaligus telah menyebabkan rakyat merasa semakin gusar dan dalam masa yang sama tiada tanda-tanda menampakkan kes akan berkurangan. Saban hari, rakyat diberitakan mengenai status terkini Covid-19 dan ia benar-benar meresahkan rakyat.

Saban hari rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara. Rakyat diarahkan untuk mematuhi pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memastikan graf jangkitan Covid-19 menurun. Namun sebenarnya kepelbagaian arahan, kenyataan dan perutusan yang berbeza-beza dari kepimpinan negara telah menyebabkan rakyat semakin keliru dan menganggap segala hal yang berlaku hanyalah bersifat politik semata-mata.

Musibah pandemik Covid-19 dengan angka hampir mencecah 10,000 pesakit sehari bukanlah satu angka yang hadir dengan sendiri. Ia terhasil akibat daripada kegagalan kepimpinan
kerajaan dalam membuat keputusan yang tepat. Seharusnya sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertindak seperti Ketua Kerajaan yang berani ke hadapan menerangkan dan menjawab segala pertanyaan serta kemusykilan pihak media yang membawa persoalan dan kegusaran rakyat.

AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN,

Kebimbangan Kedua: Keadaan Ekonomi Dan Rakyat

Patik yakin KeBawah Duli Tuanku sedia maklum mengenai kekurangan kemasukan pelabur-pelabur asing ke dalam negara kebelakangan ini. Perkara ini amat membimbangkan syarikat-syarikat besar mahupun kecil di sini. Perkara ini diakui sendiri oleh pihak pelabur asing kerana tiada jaminan kestabilan ekonomi dek disebabkan kepelbagaian tempoh PKP itu sendiri.

Rakyat dihidangkan dengan pelbagai bentuk lawatan kepimpinan negara ke luar negara tetapi tiada bentuk pelaburan yang berjaya dilaporkan. Banyak majikan diarahkan mengurangkan jumlah pekerja ke pejabat dan terdapat majikan yang tidak mempunyai pilihan selain menutup operasi sementara dan menamatkan perkhidmatan pekerja bergaji hari. Rentetan itu, ramai yang terpaksa mencari pendapatan lain dengan pelbagai cara demi survival diri dan keluarga. Mungkin hal ini dianggap remeh oleh pihak kerajaan kerana merasakan ada Kementerian telah diperuntukkan untuk membantu kebajikan rakyat namun hakikatnya bukan mudah untuk memohon bantuan di pelbagai agensi kerajaan. Dari karenah birokrasi sehinggalah ke sistem dalam talian pemilihan penerima bantuan daripada kerajaan yang tidak menentu.

Tambah menyedihkan lagi, rakyat terasa dianiaya oleh kerajaan kerana telah membataskan pergerakan melalui arahan PKP dan terpaksa duduk di rumah. Namun dalam masa yang sektor perkilangan dibenarkan beroperasi dan sehingga kini sektor ini telah mewujudkan lebih 20 kluster di tempat kerja. Adakah ini salah rakyat yang duduk di rumah atau pekerja di sektor tersebut? Perasaan rakyat menjadi serba salah kerana akur kepada kerajaan dan majikan. Di sini ketegasan Perdana Menteri membuat keputusan amat diperlukan namun hambar.

Rakyat perlukan satu bentuk jaminan di mana dalam tempoh PKP yang memerlukan rakyat untuk berada di rumah, adakah kerajaan bersedia untuk memastikan nasib rakyat juga turut terpelihara. Sebagai contoh moratorium bank secara automatik kepada semua rakyat untuk satu tempoh tertentu dan juga menyediakan khidmat vaksinasi kepada seluruh peringkat rakyat terutama untuk warga emas dan penduduk di luar bandar dengan lebih efisyen tanpa perlu pendaftaran atas talian.

AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN

Kebimbangan Ketiga: Amalan Demokrasi

Patik sebagai rakyat jelata telah hilang kepercayaan dengan kepimpinan Perdana Menteri hari ini. Beliau telah terbukti gagal sebagai Ketua Pentadbiran Negara untuk memastikan wabak ini dapat diselesaikan seperti yang dipersembahkan kepada KeBawah Duli Tuanku bagi memohon pengisytiharan Darurat Proklamasi sebelum ini. Sumpah janji yang akan dicurah dan dihasratkan oleh Perdana Menteri untuk menjaga kebajikan dan nyawa setiap rakyat jelata Tuanku telah menemui jalan buntu. Lebih menyedihkan kini nyawa rakyat diperjudikan demi kelangsungan kuasa politik semata.

Memetik kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba bahawa sistem perkhidmatan kesihatan negara boleh lumpuh menjelang 5 Jun ini sekiranya sekatan pergerakan menyeluruh tidak dilakukan. Kami sebagai rakyat biasa bertanya pada diri, mengapakah data-data ini dibiarkan begitu sahaja tanpa ada tindakan dari Perdana Menteri semenjak awal lagi. Mengapa tunggu ia sudah menjadi kucar-kacir baru mahu membuat keputusan yang besar.

AMPUN TUANKU,

Rakyat tidak tahu di mana lagi mahu mengadu nasib. Ramai ahli keluarga telah pergi mengadap ilahi meninggalkan kami disebabkan Covid-19. Ya, ajal maut adalah ketentuan Allah SWT namun kami sebagai rakyat mengharapkan ada sinar untuk kami kembali kepada kehidupan biasa. Bekerja, bersekolah, beriadah dan melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga tanpa bimbang.

Dahulu kami rakyat yang hina ini mempunyai wakil rakyat yang membawa suara kami di dalam Dewan Rakyat. Namun kini semua sudah hilang, bayang Wakil Rakyat pun tidak kelihatan kerana akur kepada arahan PKP dan duduk di rumah. Inilah salah satu bentuk โ€˜kecekapanโ€™ Tan Sri Muhyiddin Yassin menangani krisis tanpa ada keberanian membawa hal penting untuk dibahas. Bagaimana kerajaan boleh melunaskan tanggungjawab terhadap rakyat tanpa memohon bantuan wakil-wakil rakyat seluruh negara.

Tempoh darurat perlu ditamatkan segera kerana ia tidak lagi berperanan untuk menangkis pandemik Covid-19. Apa yang dilihat dan difahami rakyat adalah darurat ini bertujuan untuk mengukuhkan kuasa Perdana Menteri sahaja.

AMPUN TUANKU,

Perdana Menteri harus diberi tekanan oleh KeBawah Duli Tuanku untuk memastikan nyawa rakyat jelata dapat diselamatkan terlebih dahulu berbanding survival parti politik beliau. Patik ingin mencadangkan, agar KeBawah Duli Tuanku menggantung kerajaan hari ini dan melantik seorang Perdana Menteri Interim yang lebih tegas, berpengetahuan luas, mempunyai rangkaian hubungan baik dengan pelabur luar negara dan paling utama adalah mengutamakan nyawa rakyat tanpa memikirkan kepentingan politik dan parti sendiri.

Keputusan ini amat penting bukan kepada patik seorang sahaja namun ianya meliputi semua peringkat rakyat. Kebimbangan patik adalah jangan sehingga nasi menjadi bubur kerana kesilapan kita hari ini tiada upaya lagi untuk mengubahnya di kemudian hari.
Sempena mengambil keberkatan hari Jumaat ini, patik berharap dapat kiranya Kebawah Duli Tuanku menerima warkah patik yang hina ini.

Menjunjung kasih KeBawah Duli Tuanku.

AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN

DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

DATUK MOHD RAZLAN BIN MUHAMAD RAFII J.M.W, BCM, PMW

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts