IKUTKAN HATI, SAYA PUN MARAH PADA NAJIB
Mohd. Puad Zarkashi
10.8.2018
1. Maaf. Saya pernah terasa hati kepada Najib kerana tidak dicalonkan dalam PRU ke 14 walaupun saya MT dan Ketua Bahagian. Tidak perlulah saya ulas lanjut di sini.
2. Tetapi antara kebenaran dan persepsi saya tetap mengutamakan kebenaran bukannya persepsi. Kita mengakui Najib mangsa persepsi. Tetapi kenapa kita mesti mengalah dengan persepsi. Kenapa kita mesti menuding jari pada Najib sehingga mendakwa kehadiran Najib berkempen menyebabkan Lokman Adam kalah di Sg Kandis. Apa jaminan Lokman akan menang kalau Najib tidak datang?
3. Kajian mana yang kita gunakan untuk mendakwa kehadiran Najib menjadi punca Lokman kalah. Di PRU ke 14 Sg Kandis calon UMNO dapat lebih kurang 11k undi. Tetapi di PRK baru ini Lokman Adam cuma dapat dalam 9K undi. Itu bermakna merosot dalam 2K undi. Maka apa asas untuk mengatakan kemerosotan 2K undi itu berpunca daripada kehadiran Najib? Sebenarnya kita yang membina persepsi dan membiarkan persepsi terus bermaharajalela.
4. Jangan lupa, tidak semestinya dakwaan di mahkamah yang belum ditentukan kebenarannya punca persepsi negatif. Kita lupa, tingkah laku kita, kemewahan kita, life style kita yang over juga mencipta persepsi yang merosakkan imej parti. Persepsi buruk ini terkumpul sekian lama dan akhirnya rakyat menghukum UMNO.
5. Kenyataan terbuka bahawa UMNO tidak perlu membela Najib juga “very unnecessary”. Kalau ada ahli UMNO dilanda musibah salahkah parti membela ahli tersebut. Dalam kes Najib, dia bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri. Salahkah kita menunjukkan solidariti terhadap beliau. Lagi pun dia belum dibuktikan salah. Sebab itu ahli membuat pungutan dana untuk ikat jamin. Itu juga satu bentuk pembelaan. Apakah tidak perlu dibela juga bermakna tidak perlu menjawab tuduhan liar terhadap Najib walaupun kita ada fakta mengenainya.
6. Ada juga yang kata, jangan samakan Najib dengan kes Lim Guan Eng DAP. Adilkah sikap begitu? Kenapa apologatik. Jangan kerana ketidak upayaan menjawab dan kalah dalam perang persepsi, maka kita biarkan musuh sesuka hati mencipta persepsi buruk sehingga kebenaran kita gadaikan.
7. Kita juga kata, Najib yang didakwa bukannya UMNO yang didakwa. Maka biarkan beliau menghadapinya sendiri. Ini juga tidak patut. Jangan lupa UMNO sudah lama didakwa dan dibicarakan oleh rakyat. Rakyat sudah lama menjatuhkan hukuman bersalah pada UMNO kerana tingkah laku kita. Cuma pemimpin UMNO berbagai peringkat tidak mahu mengaku salah dan tidak berubah. Akhirnya di PRU ke 14 mereka menjatuhkan hukuman berat kepada BN.
8. Semoga kita tidak tersalah mencari musuh. Carilah apa yang salah bukan siapa yang salah.