KISAH MI SEGERA, PERIHAL ZURAIDA, AGENDA NAZRI AZIZ, TINDAK BALAS ZAHID DAN ISU PARLIMEN SERTA IVERMECTIN

412
SHARES
2.4k
VIEWS

Siri 4

Aduka Taruna

Wajarkah beberapa menteri melalui media sosial ghairah berkongsi gambar menunjukkan mereka makan mi segera? Dengan mudah jawapannya – tidak. Ia sama sekali tidak membantu membaiki imej kerajaan Perikatan Nasional yang merudum sekarang. Sekiranya dengan berbuat demikian, mereka kononnya boleh berkongsi sentimen kepayahan yang dilalui oleh rakyat ketika PKP ekoran pandemik Covid-19, itu strategi yang salah.

Sebaliknya tindakan seperti itu mengundang reaksi negatif rakyat yang rata-rata menyifatkannya sebagai gimik murahan. Lebih menyakitkan hati ada menteri PN makan mi segera dengan menayangkan jam tangan yang mencecah harga RM1 juta. Wow.

Inilah hipokrasi sebahagian pemimpin yang tidak sedar bahawa rakyat meluat kepada mereka. Maka nasihat kepada menteri-menteri kerajaan PN, berfikir dan bertindaklah dengan cerdik sambil menjaga sensitiviti rakyat. Apa yang diperlukan oleh rakyat adalah pengurusan kerajaan yang cekap dan berkesan bagi menangani masalah ekonomi dan tekanan hidup – bukannya gimik murahan.

Satu lagi isu yang merentap perasaan adalah langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjenamakan semula syarikat pemberi pinjam wang (PPW) berlesen di bawah kementerian itu sebagai Kredit Komuniti.

Menurut Menterinya, Zuraida Kamaruddin, penjenamaan itu akan meningkat kesedaran pemberi pinjam wang yang sah selain melindungi kepentingan para peminjam daripada dimanipulasi. Masyarakat boleh membuat pinjaman tanpa had dengan kadar faedah 12 peratus dengan cagaran dan 18 peratus tanpa cagaran.

Persoalannya apakah wajar penjenamaan semula itu terutama ketika musim PKP sekarang? Tidakkan ia menggalakkan masyarakat meminjam apatah lagi daripada syarikat-syarikat pemberi pinjaman wang? Inikah masyarakat yang mahu kita wujudkan iaitu terjerat dengan hutang, lebih-lebih lagi dengan kadar faedah yang begitu tinggi?

Hairan mengapa kerajaan memberi kelulusan yang mudah kepada ribuan syarikat pemberi pinjaman wang. Sedangkan banyak negara kini berkempen bagi melahirkan masyarakat yang bijak menabung demi masa depan. Langkah penjenamaan semula itu menguntungkan syarikat-syarikat pemberi pinjaman.

Dalam hubungan ini, Zuraida sepatutnya memberi keutamaan kepada banyak lagi agenda untuk membantu rakyat dan bukannya untuk membahagiakan lagi kelompok yang sudah kaya raya. Ternyata beliau telah memberi mesej yang sangat salah kepada rakyat.

Tidak lengkap tulisan minggu ini tanpa mengupas perkembangan politik dan antara yang menjadi perhatian adalah isu menyokong Menteri Luar, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn sebagai calon Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Dato Seri Nazri Aziz membuat pengakuan beliau mengetuai gerakan mengumpulkan akuan bersumpah (SD) 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Hishammuddin.

Di sebalik gegak-gempita gerakan itu, rata-rata ahli dan penyokong UMNO tidak memberikan sokongan sama ada kepada Nazri mahupun Hishammuddin. Dalam kenyataannya kemudian, Nazri menukar nada bahawa gerakan itu bukan mahu menjadikan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri masa depan.

Tetapi ia bagi memilih Hishammuddin sebagai jurucakap kepada Ahli-ahli Parlimen BN sekiranya dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong. Nazri boleh menukar naratif tetapi beliau tetap memilih Hishammuddin untuk satu manuver politik yang besar.

Yang pasti Nazri telah melangkaui proses parti dengan gerakannya itu tanpa merujuk dan mendapat persetujuan UMNO. Siapa Nazri untuk membuat percaturan tersebut sedangkan beliau sekadar Ketua Bahagian UMNO. Apatah lagi gerakannya itu kelihatan menyokong dan menguntungkan Bersatu, yang ahli-ahli dan penyokong UMNO tidak boleh menerimanya.

Mengapa mesti mengangkat Hishammuddin sebagai calon Perdana Menteri atau jurucakap sedangkan beliau bukan dalam hierarki barisan tertinggi dalam UMNO? Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi dalam parti, yang patut dipelihara.

Selain tidak bertanding pada pemilihan UMNO lepas, Hishammuddin kerap mengambil pendirian dan langkah politik yang begitu condong menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan parti Bersatu. Sepatutnya jika Nazri bijak dan utamakan kepentingan parti, beliau boleh mencalonkan Menteri Kanan Keselamatan, Dato Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri atau jurucakap BN.

Ismail adalah menteri kabinet daripada UMNO yang paling kanan jawatannya dalam parti iaitu sebagai Naib Presiden. Mengapa harus meminggir Ismail semata-mata kerana Nazri mempunyai agenda peribadinya? Sebab itulah gerakan Nazri untuk melonjakkan Hishammuddin tidak berapa laku kerana kedua-duanya ada isu tersendiri.

Harus diingat, walau apapun cabaran yang melingkari UMNO, Nazri dan Hishammuddin serta kluster menteri dan timbalan menteri daripada UMNO tidak harus menangguk di air keruh. Berpeganglah kepada jati diri. Jika kelompok Hishammuddin dan Nazri menolak Presiden UMNO, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi atas alasan apa sekalipun, UMNO ada struktur kepimpinannya.

Mengapa harus mengambil jalan singkat untuk mengangkat Hishammuddin sedangkan Dato Seri Mohamad Hassan adalah Timbalan Presiden UMNO, diikuti tiga lagi Naib Presiden termasuk Ismail. Meskipun Mohamad Hassan atau dikenali sebagai Tok Mat bukan Ahli Parlimen, tetapi beliau berkelayakan dan berwibawa sebagai bakal peneraju UMNO masa depan.

Semua orang tahu beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15, yang pasti akan memberi signifikan besar kepada UMNO dan politik negara. Setakat hari ini, atas kertas dan berdasarkan sokongan ahli-ahli dan penyokong UMNO, Tok Mat dan Ismail adalah pilihan utama parti, dan bukannya Hishamuddin.

Selain itu, berdasarkan beberapa undian populariti ke atas kalangan pemimpin UMNO, bukan Hishammuddin yang teratas kedudukannya. Yang paling popular adalah bekas Presiden UMNO, Dato Seri Najib Tun Razak, disusuli Mat Hassan, Ismail dan Zahid sementara Hishamuddin berada di bawah.

Dengan gerakan-gerakan politik sebegini, adakah tindak balas Zahid selaku Presiden UMNO yang masih berkuasa dan juga ada pengaruh di akar umbi? Di sebalik kes mahkamahnya, nyawa politik Zahid masih ada setakat hari ini.

Jangan lupa, beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO dan ketua-ketua bahagian parti itu. Berdiam sahajakah Zahid atau beliau menanti masa terbaik untuk bertindak?

Dalam pada itu, isu yang turut panas adalah berkaitan sidang Dewan Rakyat. Kerajaan PN menggunakan pelbagai alasan untuk terus melewat-lewatkan pembukaan sidang tersebut walaupun bercanggah dengan nasihat YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.

Rakyat terus memerhatikan gelagat kerajaan yang masih mahu berselindung di sebalik perintah darurat dan menggantung Parlimen bagi menyelamatkan nyawa politik Perdana Menteri dan kerajaan PN.

Namun pendirian kerajaan pusat PN tidak diikuti oleh beberapa kerajaan negeri terutama Johor yang akan membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada awal Ogos ini. Perkembangan ini satu lagi tamparan besar kepada kerajaan PN.

Ia membuktikan bahawa membuka sidang Parlimen bukan satu masalah asalkan ada komitmen kuat dalam mendokong demokrasi tulen. Menjunjung kasih dan tahniah kepada Raja-raja Melayu di negeri-negeri yang akan membuka sidang DUN lebih awal berbanding Parlimen.

Belum selesai perihal Parlimen, kerajaan PN terus menerima gelombang kritikan kerana ketidaktentuan berhubung PKP. Pengumuman yang lewat mengenai lanjutan PKP dan kelewatan pengumuman bantuan memburukkan lagi imej kerajaan PN yang diketuai parti Bersatu.

Ia ditafsir oleh rakyat terutama melalui media sosial sebagai kegagalan berpanjangan nakhoda kapal yang hanyut menanti karam. Strategi yang salah dan bercelaru kerajaan mengundang padah. Ekonomi parah dan rakyat makin tertekan serta mengalami keperitan hidup. Kes jangkitan Covid-19 pula terus meningkat dan makin ramai maut.

Keengganan kerajaan membenarkan penggunaan Ivermectin iaitu ubat alternatif bagi merawat Covid-19, mencetuskan kemarahan ramai. Indonesia antara negara yang telah memberi kebenaran penggunaan Ivermectin selain pengambilan vaksin.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan dilihat memberi pelbagai alasan bagi mewajarkan keputusan untuk menolak penggunaan Ivermectin. Atas kesedaran yang tinggi dan demi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, Persatuan Pengguna Islam bersama pelbagai NGO dengan sokongan pakar-pakar perubatan serta doktor-doktor yang prihatin telah membuat beberapa laporan polis.

Sepatutnya kerajaan mengambil langkah yang pro aktif dan bijaksana membenarkan penggunaan Ivermectin yang telah terbukti selamat dan berkesan melalui banyak kajian di negara Barat. Jangan biarkan mudarat besar terus melanda negara, cukuplah derita yang rakyat tanggung sekarang. Cukuplah.

(Aduka Taruna adalah penganalisis politik dan sosial yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat).

Siri-siri sebelum ini;

Siri 1: “Kegagalan PN: Siapa yang perlu bertanggungjawab?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23069/

Siri 2. “Kisah anti-vaksin, isu Perdana Menteri baru dan harapan kepada YDP Agong” di pautan;

https://editormalaysia.com/23149/

Siri 3: “Isu nama Mahiaddin, mesej Raja-Raja dan apakah nasib PM?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23232/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts