KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PUTRA MALAYSIA
29 Jun 2021 | 18 Zulkaedah 1442H
1. Hari ini dalam sejarah apabila Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, mengesahkan Parlimen akan bersidang dalam tempoh terdekat. Beliau mendapat keputusan Parlimen bersidang selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
2. Di sini PUTRA menjunjung kasih DYMMSPB YDP Agong atas tindakan tegas mengeluarkan titah agar pihak yang bertanggungjawab membuka semula Parlimen agar dapat bersidang secepat mungkin. Ini memandangkan keadaan negara dan rakyat yang perlukan pembelaan. Urusan kerajaan mesti ada semak dan imbang.
Inilah kali ketiga DYMMSPB YDP Agong bertitah supaya Parlimen disegerakan sebelum tamat tempoh darurat pada 1 Ogos 2021. Dengan titah ketiga yang amat jelas dan tegas ini, PUTRA yakin pihak kerajaan iaitu Perdana Menteri, Kabinet dan Parlimen sudah tidak pekak dan bisu lagi. Jangan tunggu Hang Tuah menghunus Taming Sari kerana derhaka kepada Raja.
3. Berita rakyat bunuh diri, bendera putih kerana penularan kes Covid-19 yang tidak menurun, rungutan serta maki hamun rakyat dan suara-suara menyeru rakyat berhimpun pada 30 Jun 2021 membuktikan bahawa had kesabaran rakyat sudah sampai ke kemuncaknya.
4. PUTRA juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang, di atas keprihatinan dan usaha beliau mendesak agar Parlimen dibuka segera.
Beliau yang sudah 50 tahun menjadi Ahli Dewan Rakyat dan amat berpengalaman, bersih serta berintegriti, telah mengutuskan surat kepada YDP Agong, Speaker Dewan Rakyat dan juga melancarkan petisyen rakyat yang meminta PARLIMEN WAJIB BERSIDANG SEGERA.
Sebagai seorang ‘statesman‘ yang dihormati kawan dan lawan, beliau amat maklum bahawa sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih rakyat dan mengangkat SUMPAH IKRAR DALAM DEWAN RAKYAT, adalah menjadi kewajipan dan keutamaannya membawa suara rakyat dan menjunjung Perlembagaan serta undang-undang negara tanpa bertolak ansur.
5. PUTRA yakin seluruh rakyat memberi taat setia yang tidak berbelah bagi kepada DYMM Tuanku sebagai “Payung Negara” dan berkat daulat Tuanku di singgahsana, rakyat selamat dan negara berkat.
Titah Raja dijunjung dan kerja rakyat disanjung.
PUTRA datang merafak sembah menjunjung kasih.
Daulat Tuanku.
PUTRA PERKASA NEGARA
Oleh Ashraf Bin Rosli
Ketua Penerangan PUTRA Malaysia