PAMER BENDERA PUTIH BUKAN BEERTI MENGAKU KALAH, TETAPI MEMERLUKAN BANTUAN

363
SHARES
2.1k
VIEWS

Apabila netizen melancarkan kempen meletakkan bendera putih jika berada dalam kesusahan sebagai ‘signal‘ memerlukan bantuan, ia mendapat reaksi positif dalam kalangan masyarakat.

Tindakan meletakkan bendera putih di luar rumah ini sangat wajar untuk dilakukan dan tidakpun bertentangan dengan agama malah ia merupakan antara inisiatif “luar kotak” yang wajar dipuji ramai.

Cara ini mungkin bukan yang terbaik tetapi difikirkan perlu ketika ini oleh masyarakat dan netizen dalam bersama-sama menyantuni jiran tetangga dan mempraktiskan amalan “kita jaga kita”. 

Ia juga memudahkan kerajaan ataupun pemimpin setempat untuk mengenal pasti dan menghulurkan bantuan terus kepada golongan yang memerlukan dan sekaligus mengemas kini data keluarga yang sebelum ini tidak pernah berada dalam senarai bantuan.

Apatah lagi negara ketika ini masih tidak mempunyai sebarang aplikasi “distress signal” yang mungkin boleh diwujudkan kelak dan sementara itu biarlah bendera putih ini menjadi ikhtiar mengenalpasti keluarga yang memerlukan bantuan segera. 

Perlu diingat, pandemik dan PKP berlanjutan ini sebenarnya telah mewujudkan satu golongan baharu yang sebelum ini tidak pernah berdepan dengan kesukaran atau mengalami kesusahan namun kini mereka juga turut terkesan apabila kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

PKP yang berulang-ulang ini juga menyebabkan simpanan yang ada kehabisan dan akhirnya menjadi punca kepada tekanan perasaan dan tindakan di luar kawalan.

Secara tidak langsung kempen ini juga boleh membantu pemimpin setempat, NGO ataupun Pusat Zakat yang boleh menghulurkan bantuan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Agama Islam Negeri, sekiranya khidmat kaunseling diperlukan. 

Dalam masa yang sama, tanggapan bahawa meletakkan bendera putih ini sebagai tindakan “mengaku kalah” sebenarnya tidak tepat. Inisiatif ini jelas hanya sebagai ‘signal‘ kepada jiran-jiran berdekatan atau penduduk setempat untuk meminta bantuan dan tiada kena mengena dengan pandangan bahawa individu tersebut sudah putus asa ataupun mengaku kalah. 

Perkara ini juga perlu dilihat dalam kerangka atau perspektif yang lebih luas dan boleh memberikan kesan positif. Di mana rakyat yang terkesan dan terbeban serta tertekan dengan pandemik ini kini mempunyai satu lagi usaha atau ikhtiar lain yang memudahkannya meminta bantuan tanpa perlu keluar daripada rumah. 

Ini kerana mungkin ketika itu beliau bukan hanya memerlukan bantuan makanan atau minuman tetapi juga bantuan asas lainnya seperti ubat-ubatan dan lampin pakai buang.

Mungkin juga anaknya sakit dan tiada suami di rumah kerana sedang dikuarantin ataupun dirawat di hospital. Beliau juga mungkin sudah keputusan ikhtiar dan tidak mempunyai kredit untuk menelefon sesiapa serta pelbagai lagi masalah lain yang tidak mampu dibayangkan.

Pemimpin-pemimpin wajar bersangka baik dan tidak menghukum atau menganggap bahawa peminta bantuan itu sebenarnya tidak memerlukan.

Dalam isu membuka aib sendiri pula tidak tepat kerana jika pemimpin sendiri yang tidak berupaya menemui mereka yang memerlukan bantuan, jangan disalahkan rakyat yang terpaksa meminta bantuan jiran tetangganya dengan mempamerkan bendera putih.  

Mana-mana salah faham terhadap kempen ini wajar dibetulkan kerana ia hanya memberikan mesej yang salah kepada rakyat iaitu kenapa benda yang baik dan boleh membantu rakyat perlu dipertikaikan?

Sungguhpun begitu, pemimpin-pemimpin sememangnya wajar menasihatkan rakyat untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar mereka dapat meletakkan tawakal semata-mata kepadaNYA. Ini kerana rezeki yang diperolehi ini adalah semata-mata kerana rahmat dan bantuan daripada Allah SWT.

Dalam masa yang sama mereka juga wajar menggalakkan rakyat agar sentiasa berusaha dan berikhtiar kerana usaha dan ikhtiar ini juga merupakan perintah daripada Allah. 

Selain itu, pemimpin juga perlu diingatkan, yang susah itu bukan hanya mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam yang faham mengenai konsep doa dan tawakal tetapi juga melibatkan bangsa dan agama lain yang turut memerlukan bantuan.

Mungkin melalui usaha atau ikhtiar yang kecil dan dipandang sebelah mata oleh segelintir pemimpin ini menjadi asbab berkurangnya kes bunuh diri yang meningkat ketika ini yang turut mengesankan orang Islam. 

Justeru itu pemimpin-pemimpin wajar meraikan kempen mempamer bendera putih sebegini yang boleh membawa kesan positif dalam masyarakat. Selain berjaya mewujudkan komuniti yang saling mengambil tahu sesama jiran tetangganya, ia juga menggalakkan amalan ziarah dan bersedekah. In Sha Allah. 

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah SWT memudahkannya di dunia dan akhirat” – Hadis Riwayat Ibnu Majah. 

Semoga selepas ini tiada lagi bendera putih dikibarkan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts