MAHIADDIN LIABILITI PN, KETEGASAN AGONG, PERGOLAKAN PARTI DAN BOM JANGKA 

175
SHARES
566
VIEWS

Siri 5

Aduka Taruna 

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin berdepan dengan situasi amat mencabar kebelakangan ini. 

Kritikan, sindiran malah kemarahan rakyat terhadap beliau atas kegagalan kerajaan PN, bagai ombak Tsunami mengganas. 

Mampukah Mahiaddin bertahan dan apa nasib beliau, adalah antara persoalan yang hangat diperkatakan.

Gesaan yang mendesak beliau meletakkan jawatan makin kuat sehinggakan wujud kempen mengibarkan kain hitam atau memaparkan bendera hitam di media sosial.

Dengan imej kerajaan PN yang merudum dan penolakan ke atas Mahiaddin, sukar untuk beliau bertahan apatah lagi menjadi Perdana Menteri yang berkesan. 

Kewibawaan beliau sudah terjejas teruk dan tiada lagi kepercayaan daripada majoriti rakyat. Mahiaddin disifatkan Perdana Menteri paling teruk dan paling gagal dalam sejarah negara. 

Peletakan jawatan beliau dilihat akan menjadi jalan keluar kepada pemulihan sebenar negara ketika ancaman pandemik Covid-19. 

Difahamkan, beberapa pemimpin Bersatu sendiri mengakui bahawa era politik Mahiaddin kini berada pada tahap kritikal. 

Bukan itu sahaja, beliau sudah menjadi liabiliti pada kerajaan PN. Lagi lama Mahiaddin bertahan, lagi parah situasi negara, yang pasti memberi implikasi besar kepada Bersatu. 

Kes jangkitan Covid termasuk jumlah kematian melonjak di samping ratusan kes bunuh diri disebabkan tekanan hidup. 

Begitu banyak petunjuk yang makin ketara betapa Mahiaddin di penghujung jalan. 

Apabila kenyataan mengenai beliau dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit, majoriti rakyat tidak bersimpati sebaliknya ia menjadi bahan sinikal. 

Sebenarnya banyak kenyataan dan pengumuman beliau mengundang reaksi negatif rakyat.  Antara isu paling panas adalah strategi PM dan Kabinetnya melewatkan-lewatkan pembukaan sidang Parlimen, walaupun setelah dinasihatkan dua kali oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). 

Pelaksanaan darurat dan penggantungan sidang Parlimen adalah antara kesalahan  yang dilakukan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri. 

Ia telah mencabuli prinsip asas demokrasi, yang sepatutnya lebih subur sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19. 

Ada lagi kesalahan besar beliau iaitu tidak akur sepenuhnya dan gagal mengambil semangat sebenar titah YDPA yang mahukan sidang Parlimen dibuka segera. 

Memandangkan YDPA dan Majlis Raja-Raja membawa suara dan harapan rakyat dalam isu tersebut, adalah tidak bijak dan tidak wajar bagi kerajaan PN untuk melawan arus. 

Sepatutnya Perdana Menteri dan Kabinet mengambil keputusan segera melaksanakan titah YDPA tanpa sebarang keraguan dan tafsiran serong serta  pelbagai alasan tidak wajar. 

Selepas titah YDPA agar sidang Parlimen dibuka segera selain desakan yang sama daripada rakyat dan pelbagai pihak, Kabinet bersetuju untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos. Hal itu akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet termasuk sama ada ia bersifat sidang khas dan juga sama ada ia akan dikendalikan secara hibrid. 

Menjunjung kasih kepada YDPA. Sekiranya Seri Paduka tidak bertegas mahu sidang Parlimen disegerakan, Mahiaddin dan kerajaan PN akan terus dengan keputusan menggantung Parlimen lebih lama lagi. 

Ternyata PM dan Kabinet  PN mahu memanipulasi pelaksanaan darurat dan penggantungan Parlimen lebih lama bagi mengelakkan risiko undi tidak percaya.

Ini memandangkan kerajaan PN kini berada dalam situasi nyawa kuasa politik di hujung tanduk disebabkan tidak cukup mandat. Maka apabila YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu bertindak campur tangan bagi membetulkan kepincangan dan keterlanjuran kerajaan PN yang semakin serius, rakyat amat lega dan menyokong langkah tersebut. 

Kerosakan pada kerajaan PN di bawah kepimpinan Mahiaddin sudah begitu teruk dan sukar dibaiki melainkan bertukar Perdana Menteri bagi menyuntik keyakinan dan harapan baharu. 

Ketika majoriti rakyat menolak kerajaan PN dan Mahiaddin, beberapa pemimpin UMNO khususnya yang ada jawatan dalam kerajaan mengambil langkah songsang. 

Ini termasuklah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri yang dikatakan mengatur pertemuan dengan 25 Ahli Parlimen UMNO bagi memujuk mereka terus menyokong kerajaan PN pimpinan Mahiaddin. 

Langkah tersebut bercanggah dengan mandat yang diberikan oleh Perhimpunan Agung UMNO dan diikuti keputusan Majlis Tertinggi agar parti itu meninggalkan kerajaan PN sebelum pelaksanaan darurat berakhir Ogos ini. Perkembangan tersebut mengundang reaksi negatif terutama daripada kalangan ahli dan para penyokong UMNO.

Nampaknya Ismail sudah memilih jalan untuk bersama-sama beberapa lagi menteri UMNO terutama  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin bagi terus menyokong Mahiaddin. Mereka memberikan pelbagai alasan termasuk mengaitkan sokongan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai punca. 

Namun ramai yang percaya kelompok menteri dan timbalan menteri berkenaan lebih didorong untuk menjaga kedudukan dan kepentingan mereka dalam PN. Tumpuan kritikan disasarkan kepada beberapa pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Shahidan Kassim, yang dilihat sedang melakukan gerakan mengkhianati parti.

Tingkah laku mereka menangguk di air keruh tidak ubah seperti melompat parti. Inikah jati diri para pemimpin UMNO, yang ternyata menggugat kekuatan parti yang masih dalam proses pemulihan. Apakah nanti tindak balas Zahid dan mampukah beliau menangani situasi ini? Adakah Zahid mahu terus berdiam dan tidak mengambil tindakan disiplin dengan setidak-tidaknya menggantung pemimpin yang secara terbuka memudaratkan parti? 

Inilah masalahnya apabila UMNO mempunyai peneraju yang lemah dan tidak dihormati oleh lawan mahupun kawan. Sekiranya Zahid semakin menjadi liabiliti kepada UMNO, beliau wajar memilih untuk berundur secara terhormat. Berilah peluang kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan untuk mengambil alih dengan memangku jawatan Presiden UMNO setidak-tidaknya sehingga pemilihan parti tahun depan.

Ramai ahli dan penyokong UMNO percaya Mohamad Hassan atau Tok Mat mampu membawa perubahan kepada parti. Dengan sokongan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai pengaruh besar dan penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih teguh jati diri sebagai pemimpin UMNO, Mohamad mampu menangani cabaran parti itu. 

Lagipun yang lebih penting UMNO mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh dan inilah aset utama parti itu untuk menghadapi PRU-15. Sedarlah, UMNO tidak akan menangisi pemergian atau kehilangan Hishammuddin, Ismail, Annuar, Khairy, Nazri,  Shahidan dan mahupun Zahid. Biarlah kelompok ini hanyut dan bertukar kepada  bahtera Bersatu. 

Ramai geleng kepala apabila mendengar alasan-alasan dangkal misalnya daripada Annuar Musa dan Shahidan Kassim yang cuba mewajarkan sokongan mereka kepada Mahiaddin.

Selain keserabutan dalam UMNO, PAS lalui fasa yang mencabar apabila parti itu menjadi sasaran kritikan rakyat. Strategi mengikat diri dengan Bersatu dan banyak kenyataan bercelaru para pemimpin PAS serta prestasi hambar menteri dan timbalan menteri, memburukkan keadaan.

Sudah ada cakap-cakap dalam kalangan PAS sendiri bahawa Terengganu dan Kedah kemungkinan besar akan terlepas daripada cengkaman parti itu pada PRU15. Kelantan serta beberapa negeri lain pula dijangka menyaksikan parti itu akan hilang banyak kerusi biarpun akan bertanding atas tiket PN melalui gandingan dengan Bersatu. 

Parti politik yang diramal paling terjejas teruk nanti adalah Bersatu, dengan sekurang-kurangnya kehilangan 50 peratus kerusi sedia ada. Bersatu sudah menjadi jenama yang buruk dan busuk. Titik-titik pergolakan dalam Bersatu makin meluas sama ada di peringkat pusat mahupun di negeri-negeri.

Perebutan kuasa antara puak Dato Seri Azmin Ali dan Dato Seri Hamzah Zainuddin makin ketara. Begitu juga rasa tidak puas hati beberapa menteri Bersatu ke atas Mahiaddin. Bersatu di Johor juga bergolak dan ramai telah menjauhkan diri daripada parti. Kegagalan pengurusan pandemik Covid-19 meliputi pelbagai isu berkaitan program vaksinasi, kejatuhan ekonomi dan program bantuan yang tidak efisien.

Itu belum menyentuh  darurat, penggantungan Parlimen, isu SOP PKP yang bercelaru, peningkatan kes maut Covid-19, hutang negara yang melonjak, isu kontrak dan projek termasuk 5G, dan ratusan kes bunuh diri, menghantui rakyat Malaysia. 

Semua ini umpama bom jangka menanti waktu untuk meledak.

(Aduka Taruna adalah penganalisis politik dan sosial yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat).

Siri-siri sebelum ini;

Siri 1: “Kegagalan PN: Siapa yang perlu bertanggungjawab?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23069/

Siri 2. “Kisah anti-vaksin, isu Perdana Menteri baru dan harapan kepada YDP Agong” di pautan;

https://editormalaysia.com/23149/

Siri 3: “Isu nama Mahiaddin, mesej Raja-Raja dan apakah nasib PM?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23232/

Siri 4: “Kisah mi segera, perihal Zuraida, agenda Nazri Aziz, tindak balas Zahid dan isu Parlimen serta Ivermectin” di pautan;

https://editormalaysia.com/23280/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts