Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengambil maklum tentang kebimbangan pelajar terhadap kesihatan mental mereka ketika Fasa Pemulihan Negara ini.
Ketika pertemuan bersama YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Sri Noraini Ahmad, pihak MPPK telah membentangkan 7 Cadangan MPPK kepada KPT. Salah satu cadangan tersebut adalah berkenaan kesihatan mental para pelajar. Sudah lebih setahun para pelajar menghadapi tekanan ketika sesi pembelajaran dan Pengajaran secara dalam talian.
MPPK memohon kepada semua institut pengajian tinggi (IPT) untuk memberi perhatian terhadap kesihatan mental pelajar, lebih-lebih lagi kepada mereka yang terjejas. Kesihatan mental pelajar kini merupakan perkara yang wajib dititikberatkan oleh semua pihak terutamanya KPT dan IPT.
MPPK juga merasakan kaedah pengajaran ini dikaji semula pelaksanaannya. Sekiranya semester hadapan masih perlu dijalankan secara dalam talian, MPPK memohon agar KPT dapat mengeluarkan arahan kepada semua IPT supaya dipanjangkan tempoh pembelajaran daripada 14 minggu kepada 15 atau 16 minggu.
Selain itu, MPPK juga berharap agar IPT-IPT yang memberi tempoh bertenang dapat memastikan tempoh tersebut benar-benar merupakan tempoh bertenang dan perlu memastikan tiada pensyarah yang masih meminta pelajarnya menghantar tugasan atau mengadakan peperiksaan dalam tempoh tersebut.
Seterusnya, MPPK mengucapkan takziah kepada keluarga salah seorang pelajar UiTM Kedah dan UiTM Pahang yang telah meninggal dunia baru-baru ini. Semoga arwah ditempatkan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
MPPK juga berharap agar semua rakan-rakan mahasiswa terus menjaga kesihatan fizikal dan mental masing-masing. MPPK percaya kita semua mampu tangani perkara ini.
Sekian, terima kasih.
Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri
Presiden
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan