Kerajaan mewujudkan inisiatif khas untuk menerima kredit berjumlah RM200 melalui program eBelia Rahmah bermula Isnin, 26 Jun ini, jam 8 pagi. Kredit akan diberikan melalui salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.
Inisiatif ini diberikan kepada belia berumur antara 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT).
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataannya berkata tempoh pendaftaran dan tuntutan eBelia Rahmah adalah mulai 26 Jun hingga 22 Ogos 2023 manakala tempoh perbelanjaan secara ‘offline‘ adalah sehingga 31 Ogos 2023.
Menurut Kementerian Kewangan, kredit RM200 ini boleh dimanfaatkan di peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet terbabit dalam program ini, namun tertakluk kepada transaksi dibenarkan.
Sebagai rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan pada 24 Feb lepas ketika pembentangan belanjawan berkata kerajaan akan memberikan kredit e-tunai berjumlah RM200 kepada dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun, membabitkan peruntukan RM400 juta.