WIRA PUTRA SARAN NASRUL ALI HASAN SEBAGAI CALON PERDANA MENTERI SETERUSNYA

175
SHARES
565
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN WIRA PUTRA MALAYSIA

5 Julai 2021 | 5 Zulhijjah 1442H

1. PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA lemas dengan keterujaan pemimpin politik hari ini yang menggunakan situasi pandemik sebagai wayang menentukan kepimpinan negara masa depan. Tatkala negara dilanda keresahan, kesusahan rakyat memperoleh pendapatan bagi kelestarian hidup pemimpin-pemimpin politik tanpa segan silu meletakkan kepentingan dan mencatur sesama sendiri siapa Perdana Menteri bayangan mereka pada masa depan.

Jika disebut tentang calon Perdana Menteri Malaysia untuk masa depan, Wira PUTRA tegas pendirian mencalonkan saudara Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, Ketua Wira Parti PUTRA Malaysia sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.

2. Malaysia bukan negara yang tandus dengan pemimpin muda dan bukan setakat anak-anak bekas pemimpin sahaja. Sandiwara politik semasa meremehkan kredibiliti dan kemampuan pemimpin-pemimpin lain yang ibaratnya tidak mampu mentadbir negara. Jika dilihat pada fakta sejarah, Allahyarham Tun Abdul Razak sendiri telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada usia yang muda.

Maka, Wira PUTRA sebulat suara meletakkan Nasrul sebagai pilihan Perdana Menteri Malaysia kerana kualiti kepimpinan, sifat intelektual, kemampuan mengurus ketidaktentuan luar jangka dan jatidiri seorang nasionalis yang begitu tinggi. Sifat-sifat dan pakej sebegini begitu jarang atau tidak terserlah di kalangan pemimpin-pemimpin muda yang lain.

3. Saudara Nasrul Ali Hasan mesra di panggil Nash ini adalah anak muda berusia 30 tahun merupakan seorang Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari serta Ijazah Sarjana Sains Kuantitatif dan merupakan mantan Presiden pergerakan pelajar iaitu Institut Pemimpin Muda UiTM Malaysia 2013-2014.

Pada masa sekarang, jarang sekali rakyat terutamanya orang-orang Melayu dapat melihat seorang pemimpin muda luar biasa yang berjati diri Melayu, seperti saudara Nasrul Ali Hasan. Presiden PUTRA Dato’ Dr. Ibrahim Ali memilih saudara Nasrul sebagai Ketua Wira PUTRA semasa status Penaja amat tepat sekali dan membimbingnya dengan berbagai pendedahan dan tanggungjawab. Beliau bukan sahaja segak bertanjak tetapi berilmu, bersih, tegas dan berani bertanggungjawab. Beliau adalah seorang anak muda intelektual yang meletakkan perjuangan agama, bangsa dan negara di depan berbanding kepentingan diri.

4. Beliau bukannya dari keluarga ‘kayangan’, bapa dan ibu hanya orang biasa tiada “Tun, Tan Sri atau Dato” di pangkal nama, tetapi kualiti kepimpinan, susunan arah tuju dan jati diri parti dapat dipikul dengan sempurna tanpa perlu mengaitkan diri dengan sesiapa. Maklumlah anak orang biasa sahaja, bukan anak orang yang tersohor. Tetapi berjaya menempa nama sebagai pemegang Anugerah Tokoh Siswa UiTM Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia dan salah seorang penerima Anugerah Graduan Terbaik UiTM pada tahun 2016. Ada pihak dapat tempat dalam politik kerana kedudukan bapa atau bapa mertua. Mudah naik pangkat dan cepat kaya.

5. Wira PUTRA menegaskan bahawa sifat, keperibadian saudara Nasrul Ali Hasan ini adalah “pakej lengkap” bagi seseorang pemimpin muda nasionalis Melayu Islam serta sebagai Pemimpin Pelapis PUTRA dan bakal pemimpin negara. Wira PUTRA tetap akan terus mempromosikan saudara Nasrul Ali Hasan sebagai calon Perdana Menteri Malaysia untuk masa hadapan sebagaimana parti-parti politik lain yang tidak segan menamakan calon Perdana Menteri mereka di masa akan datang.

6. Wira PUTRA percaya, saudara Nasrul Ali Hasan adalah seorang individu muda yang mampu untuk berada di barisan tokoh-tokoh pemimpin berpotensi di masa akan datang, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan mereka, dan lebih hebat lagi, beliau adalah seorang pemimpin muda yang tidak segan silu membawa panji perjuangan nasionalis Melayu Islam tulen di persada politik negara tanpa membawa politik pecah belah sesama rakyat Malaysia.

Sekian.

Oleh Meor Hilmi Meor Zainun

Ketua Penerangan

Pergerakan Wira PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts