IKHLASKAH PN MAHU PERDANA MENTERI DARI SARAWAK?

369
SHARES
2.2k
VIEWS

Persoalan kenapa Perikatan Nasional beriya mahu menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada pimpinan daripada Sarawak boleh dilihat melalui keikhlasan mereka sama ada mahu keluar daripada negeri itu terlebih dahulu ataupun tidak. Jika syarat mudah ini tidak boleh ditunaikan jelas bahawa Perikatan Nasional mempunyai agenda lain di sebalik retorik kononnya berjiwa besar sanggup menawarkan jawatan Perdana Menteri. Rujuk artikel, “SARAWAK PERLU WASPADA DENGAN TAWARAN JAWATAN PERDANA MENTERI” di pautan; https://editormalaysia.com/28221/

Jika Perikatan Nasional masih berdalih dalam isu ini, jelas mereka membawa agenda yang sama dilakukan kepada UMNO-Barisan Nasional iaitu mahu melemah dan memecah-belahkannya. Perikatan Nasional hanya mahukan “Perdana Menteri boneka” daripada Sarawak – yang mudah dikawal dan mengikut apa jua cakap mereka. 

Tentu nama siapa Perdana Menteri daripada Sarawak itupun sudah ditentukan dan apa syarat-syarat yang perlu ditandatanganinya. Sama seperti Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini di mana realitinya beliau sendiri sanggup membelakangkan UMNO serta menikam belakang pemimpin-pemimpin sendiri dalam parti. Ini termasuk isu rakan baiknya yang mengupah blogger luar negara dan bertemu serta berbincang di Manchester.

Tentu bukan sedikit wang yang dikeluarkan bagi ‘menaja’ blogger upahan tersebut untuk memburukkan beberapa pemimpin UMNO termasuk Tok Mat Hasan. Jangan lupa teknologi yang ada, di mana sahaja kini ia boleh direkodkan walaupun perjumpaan diadakan di pejabat rakan baiknya itu di The Curve, Mutiara Damansara. 

Berbalik kepada isu lantikan Perdana Menteri yang dibuat kepada Sarawak, sejauh mana keikhlasan Perikatan Nasional dalam rundingan inilah yang dipertikai, bukan isu siapa yang dilantik sebagai Perdana Menterinya kelak. Lagipun, Perikatan Nasional ketika ini bukanlah kerajaan yang memerintah maka tentu tidak banyak kelebihan dalam tawaran tersebut.

Bagaimana jika UMNO juga menuntut jawatan yang sama, bagaimanakah Perikatan Nasional mahu menyelesaikannya? Ini kerana tidak mungkin UMNO-Barisan Nasional boleh diketepikan kerana kegagalan berunding dengan Presiden UMNO sebelum ini sudah cukup membuktikan ia tidak boleh dilaksanakan. Sarawak juga tentu tidak mahu ada pihak yang bacul berunding di belakang Presiden mereka, seperti yang berlaku ke atas UMNO. 

Di pihak Perikatan Nasional, ini bukan lagi masa untuk tawar-menawar kerana ‘bergaining power‘ dan kelebihan tiada pada mereka ketika ini, walaupun mempunyai jumlah kerusi terbesar selepas Pakatan Harapan. Walaupun Presiden Bersatu iaitu Mahiaddin sendiri sudah berjaya ‘didiamkan’ dan tidak lagi menuntut jawatan Perdana Menteri (asalkan beliau selamat daripada pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa), namun rundingan cermat tetap perlu dijalankan dengan penuh keikhlasan. 

Jangan semberono, ambil mudah dan memperlekeh pihak lain yang hakikatnya mempunyai ‘kuasa’ menentukan siapa yang mahu disokongnya. Contohnya memperlekeh Premier Sarawak secara peribadi tentulah tindakan yang tidak sepatutnya berlaku. Jangan jadi seperti Mahiaddin yang mahukan sokongan UMNO-Barisan Nasional yang hanya mempunyai 30 kerusi, namun sokongan akhirnya diberikan kepada Anwar dan Pakatan Harapan. Ini berlaku atas kebodohan dan keangkuhan Mahiaddin – membuatkan beliau dan Perikatan Nasional hanya mampu menggigit jari ketika ini. 

Justeru Perikatan Nasional perlu tunduk dengan apa sahaja kehendak parti-parti dan gabungan lain, itupun jika benar-benar ikhlas mahu bersama membentuk kerajaan demi agama bangsa dan negara. Jika mereka masih mahu menolak Presiden UMNO serta berkeras tidak mahu keluar dari Sarawak, maka lupakanlah apa jua rancangan untuk membentuk kerajaan.

Jika masih angkuh dan bodoh seperti dahulu maka kekal sahajalah sebagai pembangkang selama lima tahun dan tunggu sahajalah sehingga PRU-16. 

Tepuk dada tanyalah selera. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts