SARAWAK PERLU WASPADA DENGAN TAWARAN JAWATAN PERDANA MENTERI

630
SHARES
3.7k
VIEWS

Apa yang pernah dibongkarkan sebelum ini bukanlah hanya ‘cerita-cerita’ propaganda atau perang saraf pihak yang tidak bersetuju dengan Perikatan Nasional tetapi hakikatnya tawaran kepada negeri Sarawak khususnya kepada GPS yang diterajui oleh Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg atau Abang Jo sememangnya wujud dan ‘real‘.

Tujuan tawaran tentulah bagi merundingkan kerajaan baharu menggantikan Kerajaan Perpaduan walaupun Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sendiri terpaksa mencemar duli membantu menyelesaikan kemelut yang tidak terselesaikan antara gabungan parti-parti sebelum ini. Baginda juga sudah bertitah berharap agar tiada lagi pertukaran kerajaan, setidak-tidaknya semasa penggal baginda.

Keterdesakan mahu memerintah kembali yang dilihat banyak pihak adalah kerana tidak mahu menjadi kluster mahkamah, di samping mahu terus meyakinkan penyokong-penyokong setia masing-masing yang mengundi di PRU-15 lepas bahawa Perikatan Nasional masih relevan, selain tidak mahu taikun-taikun atau kontraktor-kontraktor besar yang menaja dana mereka selama ini ‘lari’ meninggalkan Perikatan Nasional.

Maka kerana itulah Perdana Menteri daripada Sarawak sanggup dicalonkan, walaupun pimpinan negeri itu sendiri masih belum memberi apa-apa keputusan malah amat berhati-hati kerana takut pisang berbuah dua kali, selain taat dan akur dengan titah saranan baginda Yang DiPertuan Agong. Sarawak tentu tidak mahu perkara yang tidak dingini berlaku yang akhirnya merugikan dan melemahkan Sarawak. 

Pertama, tentu pimpinan Sarawak tidak mahu “cara rundingan ala H20” dahulu yang berbohong kononnya Barisan Nasional di Semenanjung sudah bersetuju sedangkan hanya segelintir yang menyokong Perikatan Nasional. Ia menatijahkan Sarawak menzahirkan sokongan kepada Perikatan Nasional sebelum menarik kembali apabila sedar dan tidak mahu terjebak dengan pembohongan yang berlaku.

Kedua, tentu pemimpin-pemimpin Sarawak tidak mahu berlaku peristiwa “Ismail Sabri 2.0” di Sarawak jika “Datuk F’ dilantik sebagai Perdana Menteri kelak, di mana insiden “PM boneka” di bawah kawalan Perikatan Nasional akan berulang, seperti yang terjadi kepada UMNO di Semenanjung. Ia berlaku apabila Ismail Sabri menerima tawaran Perikatan Nasional menjadi Perdana Menteri, yang rupa-rupanya mempunyai syarat-syarat tersirat yang merugikan dan melemahkan UMNO sehingga kini. Malah sehingga ada pemimpin UMNO sendiri disumbatkan ke penjara kononnya atas maksud “keadilan dilengahkan, keadilan dinafikan”, walaupun hakikatnya maksim “keadilan dipercepatkan, keadilan dihancurkan” lebih sesuai digunakan. 

Selain itu, bayangkan jika Perikatan Nasional sanggup memperlekeh dan mengecam wakil Sarawak yang hanya menjadi ‘messenger‘ dan membawa hajat pemimpin-pemimpinnya iaitu jika Perikatan Nasional benar-benar ikhlas mahu bekerjasama maka gabungan itu perlu keluar daripada Sarawak. Syarat ini diberikan demi melihat sama ada ‘tawaran’ Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional ini dibuat dengan ikhlas ataupun hanya mahu memperlakukan GPS sama seperti UMNO, yakni dilemahkan daripada dalam dengan lantikan “PM boneka” seperti Ismail Sabri. 

Malangnya hajat yang disampaikan ini bukan sahaja tidak dihormati malah pimpinan tertinggi Sarawak juga diperlekeh oleh wakil utama Perikatan Nasional yang berunding, sedangkan rundingan sepatutnya berlaku dalam suasana harmoni dan tidak berlaku insiden “kill the messenger“. Ini bukan sahaja memburukkan keadaan malah menimbulkan kecurigaan di pihak Sarawak. 

Justeru, pemimpin-pemimpin Sarawak tidak boleh tersalah langkah, selain mereka perlu memikirkan tawaran menjadi Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional ini sedalam-dalamnya, baik dan buruk jika ia diterima. Pimpinan Sarawak juga perlu mengetahui dan ‘mendengar’ apa yang sebenarnya berlaku ketika rundingan. Mungkin ada nama besar dan individu berpengaruh ‘diperguna’ Perikatan Nasional untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin Sarawak, sedangkan ia hanyalah penipuan – yang tentu menggemparkan satu negara jika ‘messenger‘ tersebut membuat pendedahan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts