MOHON LIMPAH KURNIA PERKENAN PENGAMPUNAN DIRAJA KE ATAS DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

358
SHARES
2.1k
VIEWS

Tiada peradaban dan perundangan dunia yang dicipta manusia mampu mengatasi agama yang diwahyukan Allah Taala kepada kekasihNYA Nabi Muhammad SAW, walau sehebat manapun ia diangkat dan disangkakan manusia.

Agama ini tiada cacat-celanya, berbanding peradaban dan perundangan ciptaan manusia dan kerana itulah Allah merakamkan peristiwa mengenai peradaban dan perundangan silam serta cacat-celanya dalam Al-Quran melalui kisah Nabi Yusuf AS yang terpenjara secara salah sedangkan Baginda langsung tidak melakukannya.

Bagaimanakah seorang Nabi Allah dihukum walaupun bukti menyebelahinya namun takdir Allah Taala mengatasi segala-galanya, mengizinkan perihal ini berlaku, semata-mata untuk menjadi panduan dan pedoman umat Islam selepasnya sehinggalah ke hari kiamat kelak, melalui kalamNYA, Al-Quran.

Ini kerana yang sempurna hanyalah agama, manakala manusia, perundangan, malah akal fikirannya inipun boleh terkhilaf dan menjadi tipu daya walau sebaik manapun peradabannya dirasakan. Agama ini mengajar manusia mengenai sifat ikramul muslimin iaitu berlemah lembut sesama Islam dan menunaikan haknya, bukan menuntut dan menegakkan hak sendiri.

Sifat ikramul muslimin ini merupakan sifat terpuji para Sahabat R.Anhum seluruhnya yang seumpama bintang-bintang di langit dan mana satupun yang diikuti sekalian manusia, pasti dan pasti tiada sesiapa jua yang akan tersesat.

Dalam isu yang berlegar akhir-akhir ini mengenai kewajaran Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak diberi Pengampunan Diraja atau Royal Pardon oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, mempunyai pelbagai takrifan antara setuju ataupun tidak.

Apapun pandangan, kritikan, perdebatan, persetujuan ataupun persepsi antara setuju dan tidak ini hakikatnya tidak bersabit sedikitpun dengan mana-mana rakyat jelata, yang tentunya mempunyai pelbagai pandangan peribadi masing-masing, lazimnya dipengaruhi oleh emosi, keluarga, persekitaran, termasuklah ruang lingkup keberadaannya. 

Seperti dalam keputusan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mohamad V, selaku Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tanggal 16 Mei 2018, dalam menetapkan keputusan baginda secara prerogatif memperkenan Pengampunan Diraja bagi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tanpa melalui Jawatankuasa Pengampunan Diraja, yang juga ditandatangani oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad. Secara tidak langsung tiada bersalahan jika ia menjadi ‘precedent‘ bagi pengampunan seterusnya, tidak kira sama ada Dato’ Sri Mohd Najib ataupun lain-lain pemimpin selepasnya.

Perihal ini merupakan dokumen sahih dan termaktub pada tanggal 16 Mei 2018 seperti dinyatakan, di mana kuasa baginda memperkenan Pengampunan Diraja bagi Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak walaupun mungkin ada yang tidak bersetuju dengannya.

Sama juga dalam perihal Dato’ Sri Mohd Najib yang layak mendapat perkenan pengampunan yang sama sekiranya baginda Tuanku YDP Agong, atas ihsan dan budi bicaranya mahu memperkenan serta mengampunkan beliau yang telahpun disabitkan kesalahan dan dipenjarakan oleh mahkamah sebelum ini.

Baginda Tuanku boleh menimbangkan jasa-jasa besar Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak selama ini iaitu selama sembilan tahun pemerintahannya menjadi Perdana Menteri keenam yang tiada boleh disangkal oleh mana-mana pihak akan keprihatinan dan sikap ambil beratnya yang sentiasa peduli kepada maslahat negara dan rakyat. Malah, segala jasa baktinya selama ini tidak boleh dilupakan, dipinggirkan hatta kini beliau terhukum dan dipenjarakan.

Justeru, atas sifat ihsan, belas yang ada, keluarga serta rakyat yang mengasihani serta mengenang budi akan jasa-jasanya selama ini mencurahkan khidmat, jasa dan bakti kepada rakyat dan negara, juga tidak terlupakan jasa-jasa ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak, di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Payung Negara dan seluruh rakyat di bawahnya, merayu berharap agar baginda Tuanku memperkenan akan Pengampunan Diraja terhadapnya.

Dengan kebijaksanaan baginda Tuanku YDP Agong yang berdaulat serta bersemayam di atas singgahsananya, dengan izin Allah SWT, Raja kepada segala Raja, yang berkuasa atas sekalian makhluk, dengan kuasa-kuasa yang ada pada baginda, juga atas dasar kemanusiaan dan jasa-jasa baktinya, mohon limpah perkenan Tuanku YDP Agong memberi Pengampunan DiRaja kepada Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak – semata-mata atas sifat ihsan, belas kasihan dan ikramul musliminnya, in Sha Allah. Daulat Tuanku.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts