YDP AGONG ZAHIR AMAT DUKACITA, PERDANA MENTERI WAJAR LETAK JAWATAN

161
SHARES
518
VIEWS

1. Segala teka-teki, helah dan alasan kerajaan Perikatan Nasional melalui Menteri Undang-undangnya kini telah terjawab dan diibaratkan seperti “senjata makan tuan” malah memberi padah serta kesipuan yang tidak terhingga  kepada kerajaan.

2. Helah oleh Speaker Dewan Rakyat juga tidak menjadi apabila Istana Negara sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah berasa amat dukacita ekoran pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat oleh Datuk Takiyuddin pada 26 Julai lepas sebelum mendapat perkenan baginda.

3. Selepas ini apa agaknya lagi alasan, helah, dalih atau dalil yang akan diberikan apabila pihak istana telah memberikan jawapan jelas yang sebelum ini dikelirukan oleh Takiyuddin? Kenyataan istana ini umpama ‘checkmate‘ bagi kerajaan dan jika masih ada malu, maka sudah-sudahlah mempermainkan istana dan rakyat. 

4. Tindakan Takiyuddin ini bukan sahaja memalukan dirinya sendiri malah parti PAS sendiri turut termalu tidak terhingga dan sepatutnya mereka bertindak untuk tidak lagi menyebelahi kerajaan sebaliknya menjunjung tinggi titah baginda.

5. Bukankah YDP Agong merupakan pemerintah tertinggi negara dan juga Ketua Agama Islam negara ini maka selaku parti yang memperjuangkan Islam, maka PAS wajar muhasabah dan memohon ampun kepada baginda dan Raja-raja Melayu lainnya kerana beberapa kali mempermainkan titah. 

6. Rakyat tidak akan lupa akan alasan helah, dalih dan dalil melampau yang dibuat sebelum ini oleh Takiyuddin dan kerajaan termasuk mengatakan baginda Tuanku tidak menyatakan tarikh dalam memperkenan Sidang Parlimen sehingga pihak Istana terpaksa mengeluarkan kenyataan berkali-kali. Ini memang sangat melampau. 

7. Selain itu, jelas baginda Tuanku sendiri lebih berhemah dan Islamik berbanding parti PAS yang kononnya memperjuangkan Islam namun tidak mengamalkannya terutama dalam bab wala’ atau taat kepada pemimpin atau ketua, melainkan kepada ketua parti mereka sendiri.

8. Di manakah Dewan Ulamak PAS Pusat yang akan segera membela pemimpin mereka hatta melakukan kesalahan jelas yang melanggar undang-undang negara? Bukankah tidak boleh membela satu kesalahan dengan alasan kononnya rakyat dengki kepada pemimpin PAS? Sedangkan jelas kesalahan memang dilakukan. 

9. Alasan dangkal sebegini hanya memalukan PAS dan diharapkan kali ini mereka akan membuat permohonan maaf sesegera mungkin untuk menjernihkan suasana serta dalam masa yang sama menasihati Perdana Menteri untuk mohon ampun perkenan baginda dan sebaik-baiknya semua Menteri Kabinet meletakkan jawatan.

10. Bagi sesiapa selepas ini yang mahu berhelah, berdalih dan berdalil lagi diharapkan bertaubat dan mohon keampunan daripada Allah Taala kerana gagal taat Ketua Agama Islam di negara ini sedangkan ada riwayat hadis Sahih Bukhari mengenai taat dalam keadaan suka ataupun benci, selagi pemimpin tidak mengajak kepada maksiat.

Justeru, muhasabahlah dan letak sahaja jawatan jika ada sekelumit lagi maruah dalam diri masing-masing. 

Wallahualam. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts