ENGGAN DERHAKA YDP AGONG, UMNO TARIK SOKONGAN TERHADAP PERIKATAN NASIONAL

346
SHARES
2k
VIEWS

Jika sebelum ini parti terbesar dan tertua di negara ini iaitu UMNO bertindak menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin, kini mereka menarik diri daripada Perikatan Nasional sepenuhnya.

Tindakan ini diambil setelah melihat kerajaan Perikatan Nasional beberapa kali mengingkari titah YDP Agong untuk membahaskan Ordinan Darurat dan asyik mencari jalan untuk mengelakkannya. Lebih memburukkan keadaan, kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri (PMO) kurang cerdik, tidak beradab dan seolah-olah cuba mencipta krisis Perlembagaan kerana menidakkan fungsi dan peranan YDP Agong. 

Berikut ialah kenyataan penuh UMNO;

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi secara maya pada 3 Ogos 2021 bersamaan 24 Zulhijjah 1442H telah membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

1. UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

2. Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

3. Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin selaku Perdana Menteri.

4. Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

5. Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan sebelum itu Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli seperti dijanjikan.

Sungguhpun Menteri dan Timbalan Menteri UMNO dan Pengerusi GLC lain belum meletakkan jawatan atau mungkin memilih untuk kekal dalam Kabinet Perikatan Nasional, tindakan UMNO menjunjung tinggi titah YDP Agong dan tidak menyebelahi Perikatan Nasional adalah tindakan bijak agar tidak terpalit sama dengan apa jua tindakan kerajaan menderhaka atau ingkar titah sebelum ini.

Mahiaddin cuma tinggal dua pilihan, meletakkan jawatan ataupun memohon perkenan baginda untuk membuatkan Parlimen, yang tentunya tidak akan diperkenan baginda kerana kes Covid-19 masih tinggi di negara ini. 

Justeru, jika gagal menunjukkan masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, Perdana Menteri tidak ada pilihan lain selain meletakkan jawatan mengikut Perlembagaan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts