KETAWALAH SANG PENGUASA SELAGI MAMPU

190
SHARES
612
VIEWS

Semalam giliran penyokong PN ketawa menyokong perutusan Mahiaddin Yasin. Maklum saja, Mahiaddin mendakwa masih Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional masih berfungsi.

Dulu semalam pula, penyokong UMNO bertepuk dan ketawa. Ini apabila Presiden mereka mengumumkan penarikan diri dan sokongan dari kerajaan sekarang.

Alasan mereka sama. Ia dibuat demi rakyat. Mahiaddin kata beliau mengikut Perlembagaan. Zahidpun bermaksud yang sama walaupun ayatnya lain.

Jadinya siapa yang betul, siapa yang salah? Kedua-duanya berkata mereka mendukung tinggi Perlembagaan dan undang-undang negara.

Penyair Rendra berpuisi, “Kata-kata tanpa pelaksanaan adalah pengkhianatan”.

Adakah mereka ini jujur dengan kata-kata mereka? Terlalu subjektif untuk kita buktikan. Namun yang pasti, pemegang jawatan punya sedikit kelebihan.

Sedikit kelebihan yang membuatkan mereka tertawa dan gembira.

Manakala di pihak lain tentunya akan menyusun strategi untuk menyerang balas. Kali ini tentunya dengan serangan yang lebih padu.

Rakyat? Tentunya kurang dipedulikan walaupun nama rakyat sering disebut oleh kedua-dua belah pihak. Tidak lekang di bibir mereka menyebutnya.

Demi rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat. Utamakan rakyat. Semuanya rakyat, rakyat dan rakyat!

Tetapi masuk angin keluar asap, habukpun tiada. Suara mereka umpama tong kosong. Cakap lebih, pelaksanaan kurang.

Memang mudah untuk bercakap namun tidak mudah melaksanakannya.

Yang pasti, hari ini rakyat terus menderita. Angka jangkitan Covid telah mencecah 20,000 hari ini. Yang disalahkan tetap rakyat kerana tidak bekerjasama.

Lebaipun sama-sama tertawa. Ketawa lebai-lebai mengukuhkan sang penguasa. Tentunya ketawa memakai kot beda sekali dengan ketawa memakai jubah.

Mereka, siang malam, pagi petang berkumpul demi mempertahankan kuasa.

Rakyat di bawah tetap terhimpit dan menangis. Manakala mereka di atas tetap ketawa. Ini kerana ketawa mereka atas nama rakyat.

Ketawa mereka adalah tangisan rakyat.

Teruskan ketawa wahai ‘mereka’!! Ketawalah selagi mampu…

Paku Warren

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts