PERUTUSAN PRESIDEN PARTI PUTRA SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH (1443H)
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
1. Mewakili Parti PUTRA pada 1 Muharam 1443H bersamaan 10 Ogos 2021, marilah kita mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNYA jua kita dapat sekali lagi menyambut kedatangan MAAL HIJRAH bagi tahun 1443H dengan doa dan harapan semoga kita semua mendapat rahmat dari Allah SWT dan negara kita Malaysia segera pulih dari ancaman pandemik Covid-19.
2. Tidak dapat dinafikan dengan perintah penghijrahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat telah melakar satu titik sejarah yang besar ertinya dalam pembangunan syiar Islam dan menguatkan kekuatan umat Islam. Natijah dari penghijrahan ini, Bandar Madinah menjadi sebuah negara Islam yang telah berkembang maju dan kuat sehingga dapat menandingi pemerintahan dunia yang lain pada ketika itu.
Kita umat Islam kali ini akan menyambut Maal Hijrah dalam keadaan negara sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19 dan kemelut politk haru-biru yang telah menjatuhkan nama baik negara kita Malaysia yang sebelum ini terkenal dan sangat dihormati oleh dunia. Walaubagaimanapun, kita seharusnya tidak merasa putus asa, bimbang dan takut tapi hendaklah sentiasa berdoa semoga segala dugaan yang sama-sama rakyat dan negara hadapi kini dipermudahkan oleh Allah SWT. PUTRA dan saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mempunyai semangat jati diri yang kuat serta mempunyai keazaman dan optimis dalam menjadikan negara ini bebas daripada wabak Covid-19. Pada masa yang sama, ia amat mendukacitakan apabila terdapat beberapa pihak dan individu yang menjadi pencatur menggugat keamanan negara serta mengambil kesempatan di atas pandemik ini bagi mencapai cita-cita dan kepentingan diri mereka. Mereka tidak langsung memikirkan tentang kemaslahatan rakyat, hanya yang mereka tahu dan mahu adalah supaya keinginan rakus dan cita-cita mereka tercapai.
3. Kepentingan diri menjadi keutamaan dan matlamat menghalalkan cara oleh pihak-pihak tertentu terutama hingga mewujudkan kemelut politik dalam era ancaman pandemik Covid-19.
Sepatutnya semua pihak terutama kepimpinan negara hendaklah menunjuk contoh teladan dalam menghayati perjalanan Demokrasi Berparlimen secara bersih. Menghormati keluhuran undang-undang dan Perlembagaan serta telus dalam pengurusan pentadbiran yang berintegriti dan bukan penuh dengan tipu helah yang menimbulkan berbagai kontroversi. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa bermaharajelala dalam kerajaan, baik di kalangan penjawat politik, penjawat awam dan berbagai agensi penguatkuasaan. Jika disusun isu-isu yang terjadi samalah pepatah “guru kencing berdiri, murid kencing berlari.”
4. Kini konsep Raja Berperlembagaan iaitu Kedaulatan Raja-Raja sebagai sebahagian dari Pemerintahan Negara untuk semak dan imbang mula dicabar dan diperlekehkan. Rakyat wajar bangkit dengan semangat Maal Hijrah tahun ini agar tegas mempertahankan Konsep Raja Berperlembagaan dan tidak sekadar berperanan seperti selebriti sahaja. Perjalanan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan jika berjalan dengan betul dan seiring, sudah tentu akan membawa ke arah kesejahteraan rakyat dan negara terbilang.
5. PUTRA juga ingin mengambil kesempatan untuk menggesa pihak kerajaan supaya cakna dan fokus sepenuh daya dan tenaga menangani wabak Covid-19 ini dengan tidak mengheret rakyat dalam kemelut politik negara. Rakyat sudah cukup derita sehingga jumlah kematian setiap hari amat menakutkan dan tidak sedikit yang bunuh diri akibat tekanan kehidupan yang tidak mampu di hadapi lagi. Jangan kerana ingin mengekalkan kuasa pemerintahan dan kedudukan, maka rakyat menjadi mangsa kerakusan dan kegelojohan pihak pemerintah untuk mengekalkan kuasa.
6. PUTRA juga ingin merakamkan dan menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN DYMM RAJA-RAJA MELAYU yang merupakan Ketua Agama Islam Negara dan Adat Istiadat Melayu kerana amat prihatin dan bersifat ehsan ke atas nasib rakyat jelata dan begitu tegas dalam menegur serta mengingatkan pimpinan kerajaan semua peringkat agar menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur, amanah, bermoral dan berintegriti. PUTRA sekali lagi menjunjung kasih di atas keprihatinan dan sifat ihsan DYMM YDP Agong memberi ruang dan keizinan untuk WIRA PUTRA mempersembahkan SUMPAH TAAT SETIA PADA 6 OGOS 2021 HARI JUMAAT JAM 11.30 PAGI DI ISTANA NEGARA.
Justeru dengan penuh rendah diri, sebagai Presiden PUTRA, saya mewakili seluruh Barisan Kepimpinan PARTI PUTRA MALAYSIA (PUTRA) mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH bagi Tahun 1443H. Marilah sama-sama BERHIJRAH KE ARAH KEPIMPINAN DAN WADAH YANG BERSIH DAN BERMORAL AGAR PAGAR TIDAK MAKAN PADI LAGI.
Semoga BUMI KITA TIDAK DIPIJAK ORANG dan kita semua akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Terima kasih.
Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden PUTRA
9 Ogos 2021