ISU MAJORITI PERDANA MENTERI, LOMPAT KATAK, TAKTIK KOTOR, MENTERI UMNO DAN TOLAK MCA-MIC

447
SHARES
2.6k
VIEWS

Siri 10

Aduka Taruna

Bulan Ogos ini dan diikuti September akan menjadi tempoh yang pastinya terus panas dan bergelora dalam politik tanah air.

Perkembangan politik negara lebih mendapat tumpuan rakyat berbanding Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

Realitinya tiada kestabilan politik di Malaysia sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan. Ia makin parah di bawah pentabiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui parti Bersatu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan dengan cabaran getir dengan kedudukannya bagai telur di hujung tanduk.

Populariti beliau merudum dan kerajaan PN disifatkan gagal dalam mengurus ekonomi dan menangani pandemik Covid-19 yang menyaksikan lonjakan kes melebihi sejuta termasuk lebih 10,000 maut.

Apabila lapan Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan ke atas PN dan Muhyiddin, keabsahan beliau sebagai ketua kerajaan akan ditentukan pada usul undi percaya pada sidang Parlimen September ini.

Pun begitu, status keabsahan Perdana Menteri masih terdedah kepada tafsiran bahawa beliau sudah hilang kelayakan kerana tidak mempunyai majoriti sokongan yang mencukupi.

Sidang akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bersama kumpulan Ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin juga secara tidak langsung memperlihatkan Perdana Menteri tidak cukup sokongan majoriti.

Difahamkan, setakat hari ini PN hanya mempunyai 103 Ahli Parlimen yang menyokong beliau berbanding jumlah 111 bagi had minimum majoriti yang diperlukan.

Malah ada desas-desus Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) sebenarnya belum membuat pendirian mengenai status Perdana Menteri walaupun Muhyiddin mendakwa beliau telah mendapatkan perkenan sepenuhnya.

Timbul persoalan sekiranya beliau mempunyai sokongan majoriti mencukupi mengapa undi percaya di Parlimen tidak dilakukan serta-merta memandangkan ia amat penting untuk kestabilan politik dan ekonomi negara?

Tiada pemimpin negara di dalam dunia yang mahu melewat-lewatkan sesuatu yang memberi keuntungan politik yang besar melainkan berlaku sebaliknya.

Tidak keterlaluan juga untuk diandaikan bahawa muiai 1 Ogos lalu hingga tarikh pengundian usul undi percaya di Dewan Rakyat, keberadaan kerajaan dan Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri semata-mata atas ihsan YDPA.

Titah dan perkenan YDPA itu adalah langkah terbaik bagi meredakan sedikit ketegangan politik negara sekarang. Sementara menunggu titah YDPA berhubung isu tersebut, sekiranya ada, ketidaktentuan terus mewarnai politk Malaysia. 

Juga sementara menunggu usul undi percaya pada bulan depan, kebimbangan terhadap gejala membeli Ahli-ahli Parlimen pembangkang menjadi bualan hangat.

Malah Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mendakwa mereka ditawarkan ganjaran dan kedudukan oleh pihak yang tidak dikenali. Khoo mendakwa beliau ditawarkan “durian RM30” atau dimaksudkan RM30 juta dan jawatan menteri menerusi mesej WhatsApp.

Itu yang telah terdedah dan dilaporkan, bagaimana pula aktiviti memujuk dan melobi Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan bebas yang masih tidak diketahui. Di dalam media sosial terutama kumpulan WhatsApp dan Telegram, gambar dan imej katak iaitu simbol lompat parti Ahli Parlimen yang disogok antara yang banyak tular.

Sinikal dan kritikal banyak ditujukan kepada parti Bersatu yang banyak terlibat dari awal dalam mencuri Ahli Parlimen parti lain terutama UMNO.

Ia juga ada kaitan dengan pendedahan rakaman video arahan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu tidak lama dulu agar dijayakan “scheme if things” bagi menarik Ahli Parlimen BN dan UMNO supaya berpaling tadah menyertai Bersatu.

Ternyata perancangan dan konspirasi tersebut walaupun tidak bermoral dan bercanggah dengan demokrasi, telah berhasil mengelabui Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan PKR melompat parti.

Kini dalam keadaan PN terdesak untuk mendapatkan sokongan majoriti menjelang September nanti, “operasi-operasi khas” dijangka diperhebatkan bagi melunaskan agenda “sceme of things” gelombang kedua.

Dengan falsafah politik sebegitu, persepsi rakyat sudah tebal ke atas Bersatu berhubung gejala lompat parti. Sehingga hari ini para pemimpin Bersatu termasuk Muhyiddin belum tampil menjelaskan hal itu apatah lagi memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Bukan itu sahaja, PN dikatakan akan menggunakan apa sahaja termasuk agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengenakan tekanan ke atas sesiapa sahaja yang menjadi sasaran.

Agak sukar untuk kerajaan PN menafikannya kerana terbukti telah berlaku beberapa pendakwaan terpilih di mahkamah berkaitan rasuah. Begitu juga dengan kes-kes berkaitan LHDN termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikenakan hukuman membayar jumlah cukai yang tidak masuk akal dan dianggap zalim.

Terbaru, UMNO pula menjadi sasaran Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengarahkan parti itu mengadakan segera pemilihan di semua peringkat.

Sedangkan sebelum ini ROS bersetuju dan memperakukan permohonan UMNO ekoran keputusan Majlis Tertinggi untuk menangguhkan pemilihan ke tahun depan.

Sebab utama adalah ancaman pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan. Parti-parti lain seperti PKR dan PAS turut memohon penangguhan pemilihan, yang dipersetujui oleh ROS.

Perkembangan tersebut dilihat sebagai satu lagi taktik kotor Bersatu untuk mengenakan tekanan ke atas UMNO demi agenda parti itu. Semua orang sedar ia adalah tindak balas ke atas penarikan sokongan UMNO dan ekoran amaran Presiden UMNO, Zahid Hamidi untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong Muhyiddin.

Lagi UMNO ditekan dan dibuli sebagaimana ketika era pemerintahan Pakatan Harapan, lagi simpati dan sokongan rakyat melimpah kepada UMNO sebagaimana kejayaan memenangi banyak pilihan raya kecil.

Atas kertas kini, Muhyiddin dan Bersatu telah berjaya memecah-belah UMNO. Sokongan 31 Ahli Parlimen BN dan UMNO pada peringkat ini dilihat memberi kelebihan dalam percaturan politiknya. Namun UMNO, sebuah parti yang mempunyai ketahanan dan sejarah yang panjang, mampu hadapi cabaran dan pergolakan. Sejak UMNO hilang kuasa selepas tewas pada PRU-14, terdapat perancangan tersusun yang mahu membubarkan UMNO agar ahli-ahlinya secara pukal menyertai Bersatu.

Maka apabila Zahid, selain Najib serta ramai lagi pemimpin UMNO menolak idea asal oleh Tun Dr Mahathir (yang ketika itu menguasai Bersatu dan merupakan Perdana Menteri ke-8 sewaktu PH memerintah), muslihat dan taktik kotor digunakan termasuk pendakwaan di mahkamah secara terpilih.

Najib sendiri bertungkus-lumus menggunakan populariti dan pengaruhnya membawa kebangkitan kepada UMNO manakala Zahid teguh menolak unsur pengaruh Bersatu meresap ke dalam UMNO.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan juga terus sama-sama menyalakan harapan kepada ahli-ahli dan penyokong UMNO untuk tabah melalui semua rintangan.

Ketiga-tiga pemimpin itu dengan dibantu tokoh veteran, Tengku Razaleigh Hamzah telah mempertahankan jati diri UMNO selain membentuk ketahanan kental.

Meskipun pelbagai perancangan dilakukan oleh Bersatu termasuk melalui menteri-menteri UMNO untuk menggugat Zahid atas pelbagai alasan, majoriti ahli UMNO masih bersama Zahid, Najib, Tengku Razaleigh dan barisan MT.

Itu jugalah pendirian Badan-badan perhubungan UMNO negeri yang memilih menyokong Zahid berpandukan keputusan Perhimpunan Agung UMNO dan MT UMNO.

Hakikatnya, ramai lagi pemimpin UMNO yang mengutamakan kepentingan dan kesetiaan kepada parti – membawa aspirasi ahli akar umbi.

Tidak menghairankan mengapa tindakan beberapa menteri dan pengerusi GLC yang meletakkan jawatan daripada kerajaan PN, telah mendapat sokongan dan reaksi positif.

Antara mereka, dua menteri iaitu Datuk Seri Dr. Shamsul Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad yang juga Ketua Wanita UMNO. Pengerusi GLC pula termasuk Datuk Datuk Seri Khaled Nordin (Naib Presiden), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Rahman Dahlan, Datuk Wira Ahmad Jazlan Yaakub dan beberapa lagi.

Shamsul, Noraini dan Khaled serta ramai lagi adalah contoh pemimpin UMNO yang mempunyai harga diri dan tidak hanyut dengan kedudukan, jawatan dan kepentingan diri.

Jika dilakukan analisis dan pengamatan, majoriti ahli UMNO lebih menyokong kelompok yang meletakkan jawatan berbanding Ahli Parlimen terutama barisan menteri UMNO yang menyokong Muhyiddin.

Dalam media sosial, menteri Kabinet daripada UMNO terutamanya Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri; Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Adham Baba, Datuk Seri Halimah Sadique dan Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican menerima kritikan meluas.

Sama keadaannya dengan timbalan-timbalan menteri dan Pengerusi GLC termasuk Datuk Seri Mahdzir Khalid (TNB) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Felda).

Dalam beberapa bancian online termasuk oleh platform berita Newswav, hampir 70 peratus responden bersetuju bahawa menteri dan timbalan menteri UMNO wajar meletakkan jawatan. Dalam kebanyakan pandangan dan ulasan rakyat khususnya ahli-ahli UMNO, ramai yang merumuskan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC daripada UMNO yang enggan meletakkan jawatan telah termakan muslihat Bersatu.

Antara pemimpin pro Muhyiddin yang paling dimarahi dan dibenci dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO adalah Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Datuk Seri Tajuddin Rahman.

Dengan kata lain, sentimen penolakan terhadap Ismail Sabri, Hishamuddin, Annuar, Khairy dan para pemimpin UMNO pro Muhyiddin, adalah begitu kuat.

Sekiranya pemilihan UMNO untuk peringkat MT dan tertinggi diadakan dalam waktu terdekat, adalah boleh dijangka kelompok atau blok pro Muhyiddin akan mengalami kekalahan mudah.

Ini bermakna percaturan PN menggunakan ROS untuk memaksa UMNO mengadakan pemilihan segera, pasti menjadi senjata makan tuan.

Lebih daripada itu, berapa ramai lagi yang mahu dijangkiti Covid-19 dan maut akibat pandemik itu?

Apakah nyawa ahli-ahli UMNO lebih murah berbanding ahli-ahli parti lain? Ketika sidang Parlimen sesi sebenar tidak mahu diadakan segera dengan alasan ancaman Covid-19, anehnya pemilihan UMNO semua peringkat yang melibatkan ribuan orang, pula mahu diadakan segera.

Tidak cukupkah jumlah kematian di negara ini yang telah melepasi 10,000 orang dan kes telah melebihi sejuta sehingga kerajaan dilabel gagal?

Pelaksanaan darurat dan penggantungan Parlimen sebelum ini adalah antara rekod terburuk kerajaan PN. Selain itu ekonomi merudum, hutang yang melonjak berganda-ganda, ramai pelabur besar lari, kemiskinan dan pengangguran makin teruk serta banyak kes bunuh diri, adalah manifestasi kegagalan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Di sebalik pelbagai tekanan ke atas UMNO, yang pasti hasrat Bersatu mahu melihat UMNO rosak teruk dan musnah, tidak kesampaian.

Tidak dinafikan UMNO agak tergugat namun UMNO telah melalui situasi-situasi dan krisis lebih teruk daripada itu serta berupaya bangkit.

Pasak kekuatan UMNO adalah pada akar umbinya yang lebih mendokong arus perdana parti iaitu setia kepada kepimpinan. Inilah yang dicemburui oleh parti-parti lain terutama Bersatu.

Meskipun Bersatu menguasai pemerintahan negara dan Presiden parti itu adalah Perdana Menteri, rakyat tidak berminat menyertai parti tersebut. Kempen-kempen penambahan ahli Bersatu tidak mendapat sambutan dan hakikatnya, tiada tarikan terhadap parti itu termasuk oleh generasi muda.

Antara faktornya adalah imej pentadbiran yang gagal, isu lompat parti, tiada pelapis, isu melindungi pemimpin kes semburit, mendapat kuasa secara tidak demokratik, mengamalkan budaya politik kotor, aniaya musuh politik dan keghairahan menguasai serta mengkhianati parti komponen PN.

Maka apabila kelompok Ahli Parlimen BN dan UMNO mengambil pendirian membelakangkan parti dengan pelbagai alasan bagi mewajarkan tindakan mereka, ia sebenarnya suatu hikmah.

Inilah juga kesempatan terbaik bagi UMNO untuk menolak pemimpin seperti itu dan tiada ahli UMNO yang akan menangisi ketiadaan mereka. Adalah lebih sesuai mereka terus menyertai Bersatu untuk memudahkan agenda Muhyiddin membesarkan parti itu bagi menggantikan dominasi UMNO.

Sebenarnya ramai pelapis UMNO yang tidak sabar untuk mengambilalih para pemimpin pro Muhyiddin sama ada kedudukan di bahagian UMNO mahupun sebagai calon PRU-15.

Namun pada masa yang sama, UMNO perlukan pembaharuan teraju kepimpinan pada PRU-15 nanti. Mohamad Hasan iaitu Timbalan Presiden adalah antara sandaran terbaik sebagai bakal Presiden bagi membawa kebangkitan kepada UMNO dan merintis jalan keluar daripada kemelut sekarang.

Rasanya Zahid tidak menghadapi masalah untuk memberi laluan bahkan menyokong Mohamad bagi jawatan Presiden pada pemilihan parti akan datang. Zahid dan Mohamad semakin serasi dalam gandingan mereka menghadapi cabaran dan kompleksiti yang ada.

Lebih-lebih lagi dengan bantuan pemimpin UMNO paling berpengaruh iaitu Najib dan tokoh berwibawa seperti Tengku Razaleigh.

Namun buat masa ini semua pihak dalam parti harus membantu Zahid melaksanakan peranannya sebagai panglima perang untuk mengekang dan mematahkan segala perancangan Bersatu untuk mencorakkan dan menguasai UMNO.

Dalam konteks ini, sudah tentu jawatan presiden yang merupakan institusi utama dalam parti menjadii sasaran. Setakat ini, Zahid membuktikan beliau masih bertahan dan ia akan terus menyebabkan ramai yang gundah kerana agenda mereka meliputi scheme of things.

Mengenai pendirian MCA dan MIC, yang makin angkuh selain menyokong Muhyiddin, inilah kesempatan terbaik untuk UMNO menyusun semula strategi dan struktur.

Beberapa parti bukan Bumiputera yang merupakan sahabat UMNO wajar diamgkat status sebagai rakan komponen yang baru.

Lagipun MCA dan MIC sudah tidak relevan. Kedua-dua parti terlalu bergantung kepada kerusi-kerusi Parlimen dan DUN majoriti Melayu yang UMNO mempunyai sokongan besar. MCA dan MIC sendiri sebenarnya telah ditolak oleh majoriti kaum Cina dan India terutama sejak PRU13 lagi.

Masalahnya pemimpin MIC khususnya masih tidak sedar diri malah makin kerap mengeluarkan kenyataan menyinggung UMNO. Sedangkan ramai orang Melayu yang jauh hati kerana UMNO terlalu memberi muka dan laluan kepada MCA dan MIC bertanding di kerusi kubu kuat UMNO.

Cukuplah. Sampai bila mahu memikul tong kosong yang hanya kuat berbunyi tetapi tiada isi. Ini masa untuk membetulkan keadaan demi kebangkitan UMNO tanpa lagi kelibat MCA dan MIC.

(Aduka Taruna adalah penganalisis politik dan sosial yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat)

Siri-siri sebelum ini;

Siri 1: “Kegagalan PN: Siapa yang perlu bertanggungjawab?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23069/

Siri 2. “Kisah anti-vaksin, isu Perdana Menteri baru dan harapan kepada YDP Agong” di pautan;

https://editormalaysia.com/23149/

Siri 3: “Isu nama Mahiaddin, mesej Raja-Raja dan apakah nasib PM?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23232/

Siri 4: “Kisah mi segera, perihal Zuraida, agenda Nazri Aziz, tindak balas Zahid dan isu Parlimen serta Ivermectin” di pautan;

https://editormalaysia.com/23280/

Siri 5: “Mahiaddin liabiliti PN, ketegasan Agong, pergolakan parti dan bom jangka” di pautan;

https://editormalaysia.com/23423/

Siri 6: “Mampukah Muhyiddin bertahan dan kecundangkah Zahid?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23554/

Siri 7: “Kisah teladan menteri, PM dan Hadi terus dikecam, isu Tabung Haji, nasib Anwar dan game plan Mahathir” di pautan;

https://editormalaysia.com/23609/

Siri 8: “Menanti PM berundur dan kabinet mohon maaf, isu Syed Saddiq serta populariti Najib” di pautan;

https://editormalaysia.com/23637/

Siri 9: “Penderhakaan Muhyiddin, siapa bersubahat, rakyat bangkit di jalanan dan isu PM Interim” di pautan;

https://editormalaysia.com/23703/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts