LHDN DIJADIKAN ‘ALAT’ UNTUK MENGANIAYA NAJIB?

444
SHARES
2.6k
VIEWS

Pendedahan yang diikuti dengan laporan polis yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak sememangnya mengejutkan. Ini kerana sebelum ini beliau hanya membantah ketidakadilan yang dilakukan terhadap beliau sedangkan jelas melalui pembuktian dan keterangan di mahkamah dalam kes berkaitan SRC dan 1MDB, dana yang diperolehi oleh beliau disumbangkan sendiri oleh kerabat DiRaja dan Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Malah SPRM sendiri telah mengesahkan perkara ini di mana Ketua Pesuruhjayanya iaitu Datuk Seri Azam Baki sendiri telah bertemu dengan kerabat DiRaja Saudi untuk mengesahkan perkara tersebut. 

Namun pelbagai cara digunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang diteruskan di zaman kerajaan Perikatan Nasional termasuklah menggunakan Lembaga  Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk ‘mengenakan’ Najib dengan cubaan mengisytiharkan kebankrapan terhadap beliau walaupun pihak pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Negara masih tidak berjaya menyabitkan sumbangan yang diterima Najib itu sebagai pengubahan wang haram ataupun ‘dirompak’ daripada 1MDB. 

Dengan perkembangan terbaru ini yang disertai dengan laporan polis yang dibuat oleh Najib sendiri, terdedah bahawa kes cukai tambahan RM1.7 bilion ini sebenarnya telah tiga kali disiasat sejak 2018. Malah LHDN  sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, pihak mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh Najih dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap beliau.

Najib dipetik berkata, “Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu.

Sudah tentu ini menggusarkan kerana arahan tindakan itu lanjutan dari arahan ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan, serta asas undang-undang malah ini membuang masa banyak pihak terutama diri saya sendiri dan jelas menyalahgunakan kuasa.”

Sebagai rekod, amat jarang seorang pemimpin tertinggi negara sama ada masih dalam jawatan ataupun tidak akan hadir sendiri ke balai polis untuk membuat laporan. Ini jelas menunjukkan bahawa satu pertuduhan atau pencabulan serius telah dilakukan terhadap beliau berlandaskan maklumat dan bukti kukuh yang diperolehi.

Beliau juga meyakini bahawa pegawai-pegawai LHDN terbabit serta ahli-ahli politik tertentu dipercayai dengan jelas melanggar Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta SPRM yang membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.

Salah laku dan salah guna kuasa oleh penjawat awam yang menerima arahan daripada ahli politik tertentu ini telah menyebabkan Najib dikenakan cukai berganda ke atas sumbangan RM2.6 bilion yang tidak sepatutnya dikenakan dicukai. Ia dikhuatiri mempunyai niat jahat dan menyeleweng kerana dikira pelh LHDN sebagai ‘pendapatan’ beliau.

Lebih meragukan wang yang dipindah dari akaun bank atas nama beliau ke akaun yang lain juga dikira sebagai pendapatan sedangkan pelajar Tahun 1 aliran kewangan juga sudah boleh mengetahui ia tidak wajar dicukaikan. 

Motif untuk membuatkan Najib menerima notis kebankrapan ini dibuktikan dengan cubaan tidak membenarkan kes beliau dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) untuk mempertikai keabsahaan pengiraan LHDN untuk rayuan, yang dilihat satu tindakan keterlaluan oleh penjawat awam di LHDN yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak memihak.

Hakikatnya selepas UMNO-Barisan Nasional tumbang, pelbagai perkara tidak masuk akal berlaku semata-mata untuk memastikan individu daripada parti tertentu dihukum penjara walaupun membelakangkan undang-undang dan Perlembagaan. Perkara inilah yang sepatutnya tidak boleh dikompromi oleh sesiapa jua, sama ada ahli dan pemimpin-pemimpin politik ataupun penjawat awam.

Integriti dan sikap bertanggungjawab perlu dijunjung tinggi bagi menggalas amanah yang diberikan serta mencurah bakti dan setia berkhidmat kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan bukannya ‘takluk’ atau patuh serta takut kepada arahan ahli politik tertentu yang jelas mempunyai agenda peribadi.

Tidak menjadi masalah jika ada dalam kalangan penjawat awam berminat dengan politik dan menyokong parti dan ahli politik tertentu selagi mana tidak menganiaya dan menjadi “yes man” atau lebih hina menjadi “budak kita” bagi ahli-ahli politik tertentu. Penjawat awam perlu kekal berkhidmat dengan tidak membenarkan apa yang salah atau menyalahkan apa yang benar. 

Semoga kejadian ini menjadi iktibar buat seluruh penjawat awam dan pemimpin-pemimpin politik di negara ini bahawa setiap perkara itu ada hadnya hatta dalam berpolitik. Setiap yang dilakukan ada ditanya di depan Allah Taala kelak dan pasti tiada siapa yang akan terlepas daripada hukuman akhirat.

Buat mana-mana pihak yang teraniaya, kekal bersabar dengan ujian Allah di dunia kerana di akhirat kelak pembuatnya pasti dan pasti akan dibalas dengan sekeras-keras balasan termasuklah dosa fitnah yang menyebabkan pihak lain yang percaya juga terpalit sama.

Tahniah buat penjawat awam di LHDN yang tidak mahu bersekongkol dengan mana-mana ketua mereka yang menerima arahan ahli politik tertentu serta berani ke hadapan menyalurkan maklumat bagi memudahkan pasukan polis dan SPRM melakukan siasatan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts