Oleh Isham Jalil
Kelmarin dalam ceramah Tan Sri Muhyiddin kepada jentera Perikatan Nasional, beliau telah menyatakan bahawa Langkah Sheraton dibuat apabila lihat tahap sokongan kepada PPBM merudum teruk dan mereka telah kalah di beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK).
Pada ketika itu dia beliau telah berjumpa dengan Dr Mahathir dan berkata bahawa jika keadaan ini berterusan maka PPBM akan terkubur dalam Pilihan Raya Umum ke-15 kelak, oleh itu sesuatu perlu dibuat. Lalu mereka telah jatuhkan kerajaan mereka sendiri dan mendapatkan sokongan orang lain pula.
Ini adalah suatu pengakuan terbuka oleh Tan Sri Muhyiddin dan ini membuktikan apa yang saya kata selama ini iaitu tujuan mereka (PPBM) bekerjasama dengan UMNO bukanlah sebab penyatuan Melayu seperti yang mereka laung-laungkan, tetapi kerana mereka mahu mengambil kesempatan dan bersikap oportunistik dan pentingkan diri untuk menyelamatkan tengkuk mereka sendiri yang sedang tenggelam; penyatuan Melayu hanyalah retorik politik mereka sahaja.
Penyatuan Melayu atau penyatuan ummah yang sebenar dan ‘genuine‘ adalah di antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional.
Penyatuan dua parti terbesar orang-orang Melayu dalam Muafakat Nasional ini amat serasi dan telah berjaya membuahkan hasil dan mendapat sokongan masyarakat. Ini menakutkan musuh-musuh orang-orang Melayu dan juga PPBM.
Tetapi selepas Langkah Sheraton, penyatuan ummah dan muafakat ini telah terganggu dan digugat oleh ‘orang ketiga’ iaitu PPBM yang telah merenggangkan hubungan antara UMNO dan PAS.
PPBM terdiri daripada pengkhianat-pengkhianat UMNO, akar umbi UMNO tidak akan boleh menerima pengkhianat-pengkhianat ini sebagaimana juga PAS tidak boleh menerima pengkhianat-pengkhianat mereka yang membentuk PAN.
Selagi ada orang ketiga (PPBM) ini, penyatuan ummah tidak akan tercapai, dan parti-parti Melayu akan terus bertelagah dan berpecah belah dengan banyak serpihan-serpihan terbentuk seperti PPBM.
Sebelum ini saya pernah berkata bahawa untuk penyatuan ummah dan menyatukan orang-orang Melayu, parti-parti serpihan Melayu perlu dibubar dan kembali ke pangkal jalan dengan sama ada masuk UMNO ataupun PAS.
Namun ini tidak akan berlaku sekiranya parti-parti serpihan ini masih ego dan tidak sedar, malah kesan keegoan mereka ini membuatkan pemecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang akan memenangkan Pakatan Harapan yang diterajui DAP serta musuh orang-orang Melayu.
Parti-parti serpihan seperti PPBM ini hanya akan sedar dan bubar apabila mereka kalah pilihan raya seperti yang berlaku kepada Semangat 46 dahulu; Jika mereka menang dan dapat kerusi, mereka akan menuntut lebih konsesi dan mengakibatkan pertelingkahan yang berterusan antara parti-parti Melayu, yang akan menyebabkan penyatuan ummah akan terhalang atau menjadi mustahil.
UMNO dan PAS adalah parti besar yang telah berakar umbi sekian lama, kedua-dua parti ini tidak akan bubar walaupun kalah pilihan raya berbanding parti serpihan.
Sebaliknya jika PPBM (PN) kalah di Melaka dalam PRN ini, kemungkinan dua perkara akan berlaku:
PERTAMA, mereka (PPBM) akan sedar dan bubar parti mereka serta pengikut-pengikut mereka akan kembali ke pangkal jalan memasuki UMNO atau PAS.
KEDUA, tanpa gangguan ‘orang ketiga’ (PPBM) ini, hubungan antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional akan dapat dikukuhkan.
Apabila perkara ini berlaku maka barulah penyatuan ummah dan penyatuan orang-orang Melayu yang sebenarnya akan dapat dicapai.
Serta ini juga membolehkan Muafakat Nasional berhadapan dengan PH dalam dua penjuru pada PRU-15 akan datang untuk mendapat kemenangan dan membela nasib orang-orang Melayu dan Islam, tanpa meninggalkan kepentingan kaum-kaum lain di Malaysia.
Sebab itu pada PRN Melaka kali ini orang-orang Melayu perlu mengalahkan Perikatan Nasional dengan tidak memberi undi kepada mereka ke arah mencapai penyatuan ummah yang sebenar, In sha Allah.
https://www.facebook.com/100044476781936/posts/447390516753504/?d=n