Ungkapan yang dipelopori oleh Ketua Penerangan BN Selangor saudara Isham Jalil sebelum ini dilihat amat bertepatan dengan ‘dinamika’ Pilihan Raya Negeri Melaka, apabila UMNO-Barisan Nasional menang bergaya dan berganda di negeri tersebut.
Strategi “No Nego, Go Solo” beliau ini bukan sahaja memperlihatkan kekuatan UMNO dan Barisan Nasional malah menjadi penanda aras bahawa mereka telah bersedia mengharungi Pilihan Raya Umum ke-15 serta bakal mengulangi kejayaan di Melaka.
Kemenangan bergaya UMNO dan Barisan Nasional ini juga telah memalukan Pakatan Harapan yang tersalah strategi dan menimbulkan kebencian penyokongnya sendiri kerana menerima “katak berprinsip” serta sekaligus mengejutkan Perikatan Nasional yang terlalu bongkak dan juga tersilap meletakkan “katak politik” sebagai calon Ketua Menteri mereka.
Percaturan Pakatan Harapan yang cuba membuat ‘come-back‘ jelas gagal dan ditolak pengundi Melaka di atas kegagalan memerintah selama 22 bulan termasuk menipu manifesto dan menjarah hasil negara serta fitnah melampau.
Bagi Perikatan Nasional pula, mereka jelas ditolak pengundi-pengundi kerana selain majoriti Bersatu merupakan “katak politik” dan pengkhianat gabungan Pakatan Harapan, mereka juga gagal memerintah selama 17 bulan malah lebih buruk telah menimbulkan kemarahan Istana sehingga Perdana Menterinya sendiri terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan dimalukan.
Selain itu, tindakan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebelum ini yang mengugut ingin “menekan butang” di Johor bagi menumbangkan kerajaan di sana jelas memakan diri. Malah jika PRN Melaka dijadikan indikator, terlihat mood pengundi jelas tidak akan memilih Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan atas dua sebab utama iaitu kerana kegagalan memerintah dan kedua, jelas rakyat membenci dan menolak “katak-katak politik”. Tentu Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional ketika ini gentar jika PRU-15 dilakukan dalam waktu terdekat jika PRN Melaka dijadikan penanda aras bagi PRU-15 kelak.
Sebagai pengajaran buat Pakatan Harapan, pengundi-pengundi sendiri meluat melihat penipuan dan kegagalan anda selama 22 bulan. Manakala bagi Perikatan Nasional pula, pengundi-pengundi anda bukan bodoh dan tidak boleh melihat “dalil-dalil politik” anda yang berubah-ubah;
Apabila hampir hilang kuasa sanggup menghalalkan DAP-Pakatan Harapan demi kekal memerintah, namun apabila hilang kuasa pula terus melaungkan penyatuan ummah. Malah benar bak kata Nik Abduh, “Muhasabahlah”.
Apapun, syabas dan tahniah buat pengundi-pengundi di Melaka yang bijak memilih. Sekalung tahniah buat jentera UMNO dan Barisan Nasional yang bertungkus lumus berusaha walaupun sehingga ‘ditekan’ oleh menteri sendiri yang pro Bersatu-Perikatan Nasional.
Kita tunggu apa ‘manouver‘ politik Perikatan Nasional selepas ini dan tidak mengejutkan jika Bersatu kembali ke pangkuan Pakatan Harapan demi survival politik mereka kelak. Inilah kitaran hidup “katak-katak politik” yang sentiasa melompat.