Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang teruk dikecam kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya seperti memberi alasan kos yang tinggi serta bertanya kewajaran beliau meletakkan jawatan, sepatutnya duduk belajar dengan Azwan Omar yang juga dikenali sebagai “Abang Viva Viral”, seorang pemuda yang sanggup datang dari Melaka membawa botnya sendiri untuk ke Shah Alam membantu menyelamatkan mangsa banjir.
Dedikasi dan tindakan pantas beliau wajar dipelajari oleh Latiff, yang dilihat terhegeh-hegeh asyik mencari alasan dan bersikap angkuh kononnya jika beliau meletakkan jawatan sekalipun, masalah tidak akan selesai. Latiff wajar belajar daripada Azwan, yang secara tiba-tiba terkenal di media sosial ketika ini kerana mengambil tindakan nekad memohon cuti kecemasan daripada majikannya semata-mata ingin membantu mangsa banjir yang teruk terkesan di Shah Alam.
Jika Latiff masih tidak mahu meletakkan jawatan, beliau sepatutnya belajar menyelamatkan mangsa secara praktikal di lapangan bersama Azwan, menaiki bot berseorangan sehingga mampu menyelamatkan puluhan mangsa banjir. Usaha ini jika tidak dihargai sekalipun oleh kerajaan dan Latiff, ia cukup bermakna buat puluhan mangsa dan buat ahli keluarga yang diselamatkan oleh Azwan di Shah Alam.
Tidak perlu beralasan kos tinggi dan sebagainya seperti Latiff, Azwan berani meredah banjir dan merisikokan nyawanya sendiri demi rakyat Malaysia lain yang berbilang bangsa yang tidakpun beliau kenal sebelum ini. Azwan bukan siapa-siapa, tidak seperti Latiff yang mungkin bergaji lebih RM50 ribu ringgit sebulan, namun pemuda cekal yang hanya berbekalkan RM50, beliau mampu menggalas tugas sukar menyelamatkan mangsa banjir.
Tidak penting penghargaan, pujian ataupun wang ringgit, bagi Azwan, dapat menyelamatkan mangsa yang tidak dikenalinya itu sudah cukup memuskan hatinya. Tiada jawatan tinggi, tidak bergaji mewah dan berkerusi empuk, tiada ‘entourage‘ yang mengiringinya sehingga bergambar penuh satu bot, atau seperti menteri bertumit tinggi, tiada majlis mewah-mewah untuknya di hotel lima bintang, tetapi menyelamatkan mangsa tetap menjadi keutamaan beliau.
Latiff dan menteri-menteri lain yang hanya datang lebih kepada gimik dan mungkin untuk menunjukkan keprihatinan sahaja termasuk mencuci lantai rumah mangsa kononnya, wajib belajar daripada anak muda ini.
Syabas Abang Viva Viral!