1. Rakyat mahu sebuah kerajaan yang sah dan berwibawa untuk mentadbir negara secepat mungkin dan bukannya kerajaan pintu belakang yang tidak kompeten.
Pada pilihan raya umum lalu, Pakatan Harapan (PH) telah diberikan mandat oleh rakyat, walau apapun isu di sebalik kemenangan itu.
Bagaimanapun pada awal tahun 2020, Perikatan Nasional (PN) merampas kerajaan pilihan rakyat daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Dato Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu, rakyat kini harus diberi peluang sewajarnya untuk memutuskan dan mengundi kerajaan pilihan mereka dengan menyingkirkan kerajaan pintu belakang.
2. Pada Ogos 2021, Perikatan Nasional memberi komitmen akan mengadakan pilihan raya umum menjelang Jun 2022. Kepimpinan Perikatan Nasional menggunakan situasi pandemik Covid-19 sebagai alasan mewajarkan tindakan mereka mahu memegang kuasa ketika itu (tanpa melalui pilihan raya umum). Kini, kerajaan Perikatan Nasional harus menghormati janji dan komitmen yang telah dibuat kepada rakyat tahun lepas.
3. Keadaan ekonomi dunia sekarang dilihat tidak akan bertambah baik maka adalah dinasihatkan agar pilihan raya umum diadakan pada waktu yang boleh menguntungkan kita. Krisis politik semasa di Eropah mungkin mencetuskan keadaan ekonomi yang buruk dan dikhuatiri boleh jejaskan seluruh dunia. Ini adalah faktor penting yang harus diambil kira oleh UMNO dalam membuat keputusan politik yang besar.
4. Masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum adalah memilih situasi yang akan memberi kelebihan, bukan semata-mata untuk melengkapkan penggal penuh pentadbiran. Untuk membiarkan kerajaan sekarang terus mentadbir sehingga tamat penggal pada Mei 2023, ia akan menjerumuskan kita ke dalam situasi yang berbahaya.
Tun Mahathir tidak menunggu untuk melengkapkan penggal pentadbirannya bagi memanggil pilihan raya umum. Sebaliknya beliau mencari situasi yang terbaik dan itulah sebabnya beliau berulang kali mencapai kejayaan dalam keputusan pilihan raya umum.
5. Bukan rahsia lagi, kepimpinan Bersatu dan PN ingin melihat pergolakan dalam UMNO yang akan mengakibatkan persengketaan dan perpecahan UMNO sebelum PRU-15. Sebab itu, Bersatu dan PN menggerakkan usaha agar pemilihan UMNO diadakan sebelum PRU-15 bagi melaksanakan agenda tersebut. UMNO tidak seharusnya terperangkap dalam permainan ini yang dicaturkan oleh musuh, yang kita sudah kenal.
6. Pada masa ini, sentimen dan keyakinan politik awam semasa begitu memihak kepada UMNO dan BN. Perkembangan yang amat menggalakkan ini jarang berlaku dan mungkin tidak wujud selama-lamanya. Oleh itu, UMNO dan BN harus merebut peluang ini untuk mengadakan PRU-15 sebagai tindak balas memenuhi harapan rakyat untuk memilih kerajaan yang sah.
7. Lagipun pentadbiran sekarang tidak dihormati oleh para pelabur luar mahupun kerajaan asing kerana menganggap kerajaan sekarang sebagai kerajaan pintu belakang.
Atas faktor tersebut juga, kita mesti mendapatkan semula keyakinan rakyat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa dengan memilih kerajaan yang sah demi pemulihan sebenar negara ini.
(Tulisan ini viral di media sosial termasuk kumpulan sembang Whatsapp dan tidak dapat dipastikan sumber serta penulisnya)