Ketika ini hampir seluruh negara Barat dan Eropah menunjukkan sokongan dan bersolidariti terhadap Ukraine rentetan daripada operasi khas ketenteraan yang dilancarkan Presiden Rusia Vladimir Putin pada 24 Februari lepas. Ketika ini negara-negara Barat dan Eropah saling berlumba-lumba mengenakan sekatan terhadap Rusia selepas beliau mengerahkan pasukan tenteranya memasuki timur Ukraine.
Selain itu pelbagai tindakan sekatan lain dikenakan bagi memberi tekanan kepada Putin walaupun ia menjejaskan kehidupan jutaan rakyat Rusia sendiri. Antaranya dengan menyekat syarikat perbankan, mendesak syarikat-syarikat keperluan asas menghentikan operasi, melakukan sekatan kewangan dan perdagangan termasuk kepada rakyat Rusia di luar negara serta pelbagai lagi sekatan demi untuk memberi tekanan kepada Rusia agar menghentikan operasi khas tersebut.
Sungguhpun begitu, satu dunia melihat tindakan ini sebagai dwi-standard antara layanan negara Barat dan Eropah terhadap ‘negara sekutu’ mereka berbanding di beberapa negara Islam. Jika di Iraq, negara tersebut diserang atas alasan mempunyai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan Libya turut diserang atas alasan ingin menyekat pengaruh Muammar Gaddafi.
Akhirnya kedua-dua pemimpin Islam itu dibunuh hasil fitnah daripada negara Barat dan Eropah yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Sedangkan beberapa tahun kemudian terbukti tiada WMD yang dikatakan sedangkan negara yang jelas mempunyai senjata nuklear seperti Israel tidakpun diserang atau setidak-tidaknya diminta untuk menyerahkan seluruh persenjataan dan peralatan nuklear mereka.
Alangkah baiknya jika bantuan, sokongan dan solidariti yang sama diberikan Barat dan Eropah kepada Iraq dan Libya ketika serangan dan pencerobohan dilakukan oleh pelbagai negara yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Malah tindakan kejam ini diteruskan pula ke atas Palestin oleh negara haram Israel sejak lama dahulu tanpa bantahan dan solidariti negara Barat dan Eropah seperti yang diterima Ukraine. Israel bukan sahaja menceroboh dan mengambil tanah malah menghalau keluar rakyat Palestin daripada negaranya sendiri tetapi Barat dan Eropah tetap menutup mata dan menyokong serta membantu Israel meluaskan jajahannya.
Israel yang bersalah melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang dengan membunuh, menceroboh serta menghalau keluar rakyat Palestin sejak dahulu dianggap sebagai ‘mangsa’ sedangkan merekalah yang menceroboh Palestin dengan dilengkapi pelbagai alatan ketenteraan tercanggih. Manakala di pihak Palestin pula hanya menentang menggunakan lastik dan balingan batu tetapi Eropah dan Barat tetap mendiamkan diri sehingga kini.
Tindakan dwi-standard terhadap negara Islam berbanding rakan sekutu blok Barat dan Eropah ini dilihat sangat tidak adil dan boleh dikategorikan sebagai jenayah kemanusiaan serta jenayah perang kerana membiarkan dan menghalalkan tindakan Israel menyerang dan menceroboh negara lain sesuka hatinya. Namun apabila berlaku ke atas negara yang baik dengan mereka seperti Ukraine, cepat pula negara-negara Barat dan Eropah bangkit menentang Rusia dan menunjukkan sokongan serta solidariti kepada Ukraine. Sedangkan tindakan Rusia adalah bagi mempertahan kedaulatan negara mereka daripada campur tangan dan enggan tunduk kepada blok Barat dan Eropah termasuk NATO.
Justeru, tindakan operasi khas Rusia ke atas Ukraine ini perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar dan jangan dinilai melalui perspektif Barat dan Eropah sahaja. Jika tidak, sama sahaja seperti mereka menghalalkan tindakan kejam negara haram Israel ke atas Palestin yang dilihat rasional kerana ia dinilai daripada kaca mata Barat dan Eropah.
Masyarakat perlu sedar bahawa pelbagai aspek dan risiko telah dinilai oleh Rusia sebelum mengambil tindakan ke atas Ukraine demi keselamatan negaranya dan bukan semberono mahu meluaskan empayar Rusia ataupun mewujudkan kembali Soviet Union. Jika kita memandangnya daripada sudut Barat dan Eropah tentunya Rusia dianggap sebagai negara bermasalah dan Putin dianggap sebagai Presiden yang gila ingin berperang – sama sahaja naratif Barat dan Eropah sebelum ini dalam menghalalkan pembunuhan ke atas Saddam dan Gaddafi yang dianggap gila dan diktator.
Kedua-dua negara tersebut terus bergolak tanpa kesudahan sehingga ke hari ini. Negara yang suatu ketika dahulu kaya dengan minyak kini habis dijarah dan keuntungannya diambil Barat untuk diagih-agihkan manakala rakyatnya terus miskin dan hidup menderita. Kini semuanya hidup dalam penyesalan kerana pernah diperdaya oleh Barat dan Eropah suatu ketika dahulu.
Justeru, jangan biarkan tragedi berulang dengan mempercayai apa jua naratif Barat dan Eropah yang sebenarnya mengandungi agenda kepentingan bagi mereka sendiri. Sehinggalah Israel dikekang, maka barulah boleh kita boleh percaya naratif baru yang dibina ke atas Rusia akhir-akhir ini. Jika tidak kenapa mereka boleh terima jenayah kemanusiaan dilakukan Israel ke atas Palestin, Amerika Syarikat dan sekutu ke atas Iraq dan Libya, namun kini ‘menyalak’ apabila Rusia melakukan operasi khas ke atas Ukraine?