Pengumuman bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR Mei ini disambut dengan pelbagai reaksi termasuk daripada parti dalam Pakatan Harapan iaitu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Walaupun berkata tidak mahu mencampuri urusan parti lain tetapi beliau menyarankan agar Rafizi terus mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan tertinggi parti itu.
Guan Eng membangkitkan perkara tersebut ketika menjawab kenyataan menyindir dan pedas Rafizi mengenai tuduhan terhadap Pakatan Harapan, yang didakwanya sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU-15 akan datang. Bagaimanapun, Guan Eng cuba ‘berlapik’ dengan berkata kononnya sindiran dan kritikan itu ditujukan kepada Anwar.
“Jadi, sasaran dia ialah Anwar. Saya fikir kerana ini adalah untuk kempennya bagi jawatan Timbalan Presiden, saya tidak mahu masuk campur.”
“Mungkin, berbanding jawatan Timbalan Presiden, dia patut terus bertanding untuk jawatan Presiden (mencabar Anwar),” dalam wawancara Guan Eng bersama Malaysiakini.
Nampaknya, baru sahaja Rafizi bertindak memungkiri janjinya sendiri untuk tidak lagi berpolitik, dilihat menyusahkan dan menyakiti hati rakan dalam Pakatan Harapan. Belum apa-apa lagi sudah berlaku sindir-menyindir dan cucuk-mencucuk sesama parti. Apapun, Rafizi tidak mungkin bertanding jawatan Presiden dan melawan ‘bos’ nya tetapi mesej Guan Eng jelas – Anwar kini menjadi liabiliti bagi Pakatan Harapan, ekoran kekalahan memalukan di tiga Pilihan Raya Negeri berturut-turut dan wajar digantikan dengan individu yang lain.
Mungkin ini ‘exit strategy‘ Pakatan Harapan mendepani PRU-15 kelak dengan meminggirkan Anwar.