Bekas bintang kriket, Imran Khan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Pakistan hari ini dan sekali gus, mengetuai kerajaan campuran yang berhadapan dengan krisis nuklear yang membimbangkan negara rantau Asia Tenggara.
Pemimpin Tehreek-e-Insaf itu dipilih sebagai Perdana Menteri Pakistan yang baharu, selepas memperoleh 176 undian, menewaskan pencabarnya Shehbaz Sharif dari Liga Muslim Pakistan-Nawaz yang mendapat 96 undi.
Khan yang memenangi pilihan raya bulan lepas, berjanji untuk membanteras rasuah selain daripada mengurangkan secara drastik kadar kemiskinan yang membelenggu 208 juta rakyat negara itu yang rata-ratanya beragama Islam.
Memakai pakaian kebangsaan, sherwani, dengan penuh bergaya, Khan mengangkat sumpah untuk mendukung perlembagaan negara itu yang dlakarkan oleh Muhammad Ali Jinnah.
“Saya bersumpah akan taat setia kepada negara, Pakistan,” katanya ketika berdiri bersebelahan dengan Presiden Pakistan, Mamnoon Hussain.
Terdahulu, Khan diberikan tabik hormat di pekarangan Kediaman Rasmi Perdana Menteri.