SURAT PEMBACA | 1. Khemah besar yang beria-ia disarankan BERSATU hanyalah umpan mereka untuk meneruskan kelangsungan kuasa. BERSATU tidak pernah ikhlas bergabung membentuk kesepakatan dalam politik negara. Semuanya hanya “menanam tebu di tepi bibir” dan “tanam padi tumbuhnya lalang”
2. PH jangan sesekali terpedaya dengan helah mereka. Jangan sampai jatuh di lubang yang sama berkali-kali. BERSATU hanya mencari PH tatkala mereka terdesak. Ketika ini maruah BERSATU berada di tahap yang paling bawah. Kajian UNISEL menunjukkan BERSATU adalah parti politik yang paling tidak dipercayai kini.
3. Sokongan orang Melayu kepada BERSATU telah mencapai tahap maksimum di dua PRN Melaka dan Johor. Itupun atas nama PN dan sokongan Melayu kepada PN didominasi oleh PAS. Jika tiada PAS, sokongan terhadap PN akan hilang lebih 60 peratus. Gabungan PAS dan BERSATU terbukti masih tidak dapat mengalahkan UMNO yang mendominasi undi Melayu.
4. BERSATU tidak langsung mendapat tempat di kalangan pengundi bukan Melayu di Semenanjung Malaysia. Sayap ahli gabungan bukan Melayu dalam BERSATU hanyalah kosmetik mencantikkan parti. Langsung tidak boleh diharap menarik undi bukan Melayu. Begitu juga GERAKAN.
5. Maka itu, jika dokumen ‘PASLeaks‘ itu benar, ia patut ditafsir sebagai rancangan PN (PAS DAN BERSATU) yang kapal mereka sedang tenggelam. Dalam masa yang sama tidak mahu mengecilkan hati rakan gabungan lain seperti GERAKAN.
7. Mereka mahu mengulangi taktik yang sama seperti PRU-14. BERSATU mengekalkan undi Melayu (tentunya dengan pengundi taksub PAS) dan PH yang didominasi oleh DAP mendapatkan undi bukan Melayu. Mereka berjaya menumbangkan BN tetapi mereka gagal menjadi sebuah kerajaan yang baik!
8. Puncanya amat jelas. BERSATU tidak pernah ikhlas mahu bergabung dan berkhidmat. Mereka hanya mahu berkuasa. Pasca PRU-14 dahulu, mereka parti paling sedikit bilangan Ahli Parlimennya. Akan tetapi, mereka membolot jawatan Perdana Menteri dan menteri-menteri strategik. Katak-katak UMNO pun ‘laku keras’ ketika itu.
9. Di saat ‘Langkah Sheraton’ mereka didukungi katak-katak BERSATU, PKR dan UMNO membolot jawatan PM dan kementerian-kementerian strategik. Bagi BERSATU, yang penting mereka MESTI mendapat jawatan PM, kerana di situlah letaknya mahkota kekuasaan mereka. Bukannya keazaman berkhidmat memajukan negara.
10. Tidak keterlaluan jika dikatakan, Menteri-menteri dari BERSATU lah yang menghancurkan imej PH. Perdana Menteri ke-7 juga mengoyak dan memijak-mijak PH hingga kita dikatakan sebagai kerajaan yang gagal. Sedangkan yang gagal sebenarnya ialah mereka (BERSATU).
11. Kini mereka datang lagi. Menagih kasih dan undi PH. Kita minta pimpinan PH usah terpedaya dengan mereka. Tagihan mereka jelas amat palsu sekali lagi. Konon mahu bergabung, tetapi tidak mahu menamakan siapa Perdana Menteri dalam ‘Khemah Besar’ yang dimaksudkan.
Jelas seorang Senator dari BERSATU Terengganu, mereka mahukan Muhyiddin Yasin sebagai PM. Sudah terang lagi bersuluh, itulah kemahuan mereka.
Maka itu, sudah-sudahlah mendodoikan BERSATU. Pemimpin PH perlu bersikap seperti Rafizi yang keras menolak BERSATU. Ini bukannya masa kita berlembut lagi. Cakap biar terang!
Tolaklah BERSATU dan kita ‘move on‘. PH mampu bergerak tanpa BERSATU yang jika ada tidak menambah, jika tiadapun tidak mengurang.
Reformis Tulen 98
Kuala Lumpur