MELAYU – ISLAM WAJIB TOLAK PN – DR. RAMALAN YUNUS

425
SHARES
2.5k
VIEWS

Saya sering menyatakan bahawa politik dan demokrasi sudah mati pada PRU-15. Sistem politik yang beroperasi kini adalah Sistem Raja Berperlembagaan.

Dalilnya politik dan demokrasi sudah mati ialah apabila selepas PRU-15 tidak ada gabungan parti-parti politik yang memperolehi majoriti mudah. Apabila tidak ada satupun gabungan mendapat majoriti mudah maka sebuah kerajaan politik atau kerajaan rakyat tidak dapat ditubuhkan.

Oleh kerana sudah wujud Akta Lompat Parti maka Ahli-ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan untuk melompat parti seperti yang pernah berlaku pada pasca PRU-14. Ini mengakibatkan Parlimen atau Dewan Rakyat tergantung dan tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Peristiwa ini membuktikan bahawa politik dan demokrasi sudah gagal untuk membentuk kerajaan rakyat. Kegagalan membentuk Kerajaan Rakyat dan Parlimen tergantung adalah dalil bahawa politik dan demokrasi sudah mati untuk penggal ini.

Politik dan demokrasi akan hidup kembali pada PRU-16 yang akan datang. Apabila keadaan seperti PRU-15 itu muncul maka secara automatik Sistem Raja Berperlembagaan aktif dan beroperasi untuk menyelamatkan keadaan.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung selaku Ketua Negara telah menjalankan kewajipannya dengan menitahkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dengan gabungan parti-parti lain bagi membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan.

Namun titah tersebut telah diingkari oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional dan menolak untuk turut serta di dalam Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Tuanku.

Kesimpulan dari peristiwa politik ini, YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu atau Sistem Raja Berperlembagaan yang telah membentuk Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Tuanku. Bukan politik dan Sistem Demokrasi Berparlimen.

Kerajaan Perpaduan merupakan anugerah dari Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu buat seluruh rakyat Malaysia. Kerajaan Perpaduan juga adalah merupakan solusi bagi konflik politik yang berpanjangan untuk mewujudkan kestabilan politik.

Ini kerana kestabilan politik itu penting bagi memulihkan kembali keadaan ekonomi negara yang sedang mengalami krisis yang terburuk dalam sejarah.

Setelah Parlimen atau Dewan Rakyat dapat bersidang kembali, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah disahkan oleh Ahli-ahli Parlimen secara sebulat suara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Namun penentangan PN terhadap Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Tuanku telah berterusan sehingga ke hari ini.

Soalannya kenapa PN menentang atau menderhaka terhadap titah Tuanku? Adakah kerana kepentingan peribadi atau kepentingan rakyat dan negara?

Kesimpulannya sudah pasti kerana kepentingan peribadi. Ini kerana tidak ada dalil aqli yang munasabah atau dalil yang bersifat naqliah yang mewajarkan Tan Sri Muhyiddin dan PN untuk menentang titah Tuanku.

Titah Tuanku tidak bertentangan dengan Syariat Islam. Malah titah Tuanku itu bersifat untuk kepentingan rakyat dan negara untuk mencegah mudarat yang lebih besar. Soalannya sekarang adakah wajar bagi umat Melayu – Islam untuk menyokong gabungan parti-parti politik yang terus menderhaka kepada Ulil Amri atau Raja-raja Melayu?

PN adalah gabungan parti-parti politik yang gemar mengkhianati rakan-rakan mereka. PPBM atau Bersatu adalah parti yang diperkuatkan oleh Ahli-ahli Parlimen BN yang telah mengkhianati BN pasca PRU-14.

Atas dasar sikap pengkhianat yang dimiliki oleh para pemimpin kanan PPBM, mereka telah mengkhianati rakan-rakan mereka dalam kerajaan Pakatan Harapan. Atas pengkhianatan PPBM, kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan pasca PRU-14.

PAS apatah lagi. PAS adalah sebuah parti politik yang tidak mempunyai semangat setiakawan. Sejarah panjang mereka dalam arena politik negara membuktikan bahawa mereka tidak mampu kekal lama dalam sesebuah pakatan atau gabungan parti-parti politik.

Pernah bergabung dengan BN, Semangat 46 dan Pakatan Rakyat. Kini bergabung pula dalam Perikatan Nasional atau PN.

Pasca PRU-14, PAS bergabung dengan UMNO dalam Muafakat Nasional. Tetapi menjelang PRU-15 mereka telah meninggalkan UMNO begitu sahaja untuk bergabung dengan PPBM. Inilah sifat sebenar PAS yang tidak pernah kenal erti semangat setiakawan.

Kalau sudah begini sifat yang dimiliki oleh parti PPBM dan PAS maka apakah dalil yang mewajarkan umat Melayu – Islam untuk menyokong mereka? PN mempromosikan dalil bahawa umat Melayu – Islam harus bersatu dan menyokong mereka kerana Islam dan Melayu kini sedang terancam.

Siapa yang mampu atau sedang mengancam Islam dan Melayu di negara ini? Bukankah Islam dan Melayu itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Majoriti dua pertiga Ahli-ahli Parlimen pun tidak mampu mengubah apa-apa yang sudah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan kalau menyentuh soal Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu. Jadi kepada umat Melayu – Islam di Malaysia jangan biarkan diri anda terus diperbodohkan oleh para pemimpin PN.

Haram bagi umat Melayu – Islam menyokong golongan yang menderhaka kepada Ulil Amri. Tidak ada dalil Aaqli atau naqli yang dapat membatalkan titah Ulil Amri yang tidak bertentangan dengan Syariat Islam.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts