SURAT PEMBACA | Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Awang Adek Hussin atas pelantikan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Pelantikan tersebut amat tepat dengan reputasi beliau dan pengalaman luas termasuk pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kewangan.
Adalah menjadi harapan ramai agar beliau dapat melakukan perubahan dan ‘pembersihan’ dalam SC. Antara lain dakwaan dan cakap-cakap bahawa pengurusan SC tidak mendokong integriti, bersikap berat sebelah dalam peranannya sebagai regulator dan mengikut agenda syarikat gergasi.
Beberapa isu yang dikaitkan dengan SC seharusnya menjadi iktibar untuk satu pembaharuan dilakukan oleh Datuk Seri Awang Adek dan pengurusan baharu SC.
Kemelut berkaitan Air Asia yang kini berstatus syarikat PN17 menuntut ketegasan dan ketelusan SC untuk menanganinya. Air Asia seperti mendapat keistimewaan selama ini dan inilah tanggapan ramai berdasarkan pemerhatian serta maklumat dalaman SC.
Janganlah SC hanya berani bertindak ke atas syarikat-syarikat senaraian awam yang kecil sehingga kelihatan ada yang seperti dibuli oleh pengurusan SC. Pengurusan baharu SC nanti harus memastikan tiada tangan-tangan ghaib daripada luar yang cuba mengawal dan mempengaruhi SC. Juga agar tiada pegawai kanan SC yang menjadi alat kepada mana-mana pihak dan turut terbabit dalam isu integriti walaupun ia tidak terdedah kepada umum.
Satu lagi isu yang besar adalah campur tangan Pengerusi dan Lembaga Pengarah termasuk syarikat GLC senaraian awam dalam operasi syarikat. Inilah amtara penyakit utama banyak syarikat GLC di bawah Bursa Malaysia.
Antara yang menjadi perhatian dan perbualan ramai pemerhati adalah FGV Holdings Berhad. Bukan rahsia umum lagi bahawa terdapat dakwaan pelanggaran tadbir urus yang serius oleh Pengerusi dan beberapa ahli lembaga pengarahnya, sebagaimana yang terdedah melalui media sosial baru-baru ini.
Pihak pengurusan SC juga sudah dimaklumkan tentang isu tersebut tetapi setakat ini tiada tindakan diambil oleh SC mahupun Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh dan kerajaan.
Setakat ini, Pengerusi dan lembaga pengarah masih gagal memberikan penjelasan kepada awam terutama untuk makluman para pemegang saham. Mereka berhak tahu kedudukan sebenar. Ini adalah soal tanggungjawab dan akauntibiliti lembaga pengarah kepada awam dan pemegang saham.
Selain itu, siasatan oleh SC juga adalah peluang kepada Pengerusi dan lembaga pengarah untuk membersihkan diri, sekiranya mereka tidak bersalah. Ini meliputi isu campur tangan dalam operasi secara keterlaluan, isu integriti, menuntut elaun dan imbuhan yang tinggi untuk lembaga pengarah, pelantikan kroni yang tiada merit dan berdamping rapat dengan kontraktor serta vendor.
Pihak pengurusan FGV tidak harus tunduk kepada lembaga pengarah dalam hal ini kerana ia melanggar piagam Bursa Malaysia dan SC. Walau apa sekalipun tekanan, pihak pengurusan tidak boleh berkompromi jika bercanggah dengan tadbir urus, kawal selia dan integriti.
Diharap siasatan kes-kes seperti Air Asia dan FGV mesti dijalankan secara adil, tegas dan telus. Kegagalan menanganinya dengan berkesan akan mengheret SC malah kerajaan kepada imej yang buruk. Ia juga boleh ditafsir sebagai usaha sabotaj kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri, yang berdepan pelbagai cabaran besar.
Semoga Dato Seri Awang Adek dapat mengambil formula yang betul untuk mengembalikan SC ke landasan yang sebenar. Inilah masa untuk bertindak.
Zainal Abidin
Bangsar, Kuala Lumpur