NARATIF ANTARA MAKSIM KEADILAN DISEGERAKAN DAN KEADILAN DILEWATKAN

73
SHARES
234
VIEWS

Berakhir sudah perbicaraan kes SRC yang melibatkan bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di mana akhirnya Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Yang Amat Arif Hakim Maimon mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta, yang dijatuhkan sebelum ini oleh Yang Arif Hakim Nazlan.

Yang tinggal kini hanya persepsi, di mana pemenjaraan ini tidakpun mengejutkan ramai kerana telahpun dijangka apabila keraguan munasabah yang wujud daripada awal ditolak mentah-mentah oleh pihak mahkamah. Ia juga menimbulkan pelbagai persepsi dan sangkaan tidak baik terhadap sistem kehakiman dan pendakwaan di negara ini apabila majoriti rakyat termasuk penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi Pakatan Harapan sendiri menakrifkannya sebagai “keadilan yang tidak terlihat”.

Selain isu conflict of interest Yang Arif Hakim Nazlan, ketiadaan saksi utama seperti Jho Low dan Nik Faisal yang gagal dibawa pulang serta penolakan bukti-bukti baru dikemukakan hanya menimbulkan kemarahan dan kesangsian ramai terhadap perjalanan sistem kehakiman dan pendakwaan di negara ini.

Penggunaan maksim “keadilan ditangguh, keadilan dinafi” hanya membuatkan banyak pihak lebih menerima maksim “keadilan disegerakan, keadilan dimusnahkan” kerana segalanya dilihat terlalu tergesa-gesa. Sedangkan dalam kes liwat pertama dan kedua pemimpin Pakatan Harapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, beliau diberi peluang dan ruang selama dan sebanyak mungkin untuk penangguhan dan bukti dikemukakan.

Kenapa perlu bertangguh-tangguh jika semua bukti telah dikemukakan? Tetapi jika masih ada bukti baru yang mahu ditunjuk dan dihujahkan, kenapakah Yang Arif Hakim sanggup mengenepikannya dengan alasan teknikal? Tidakkah hakim mahu mengetahui kebenaran di sebalik semua pertuduhan ini walaupun ada seribu kesilapan teknikal sekalipun? Semua Yang Arif Hakim sendiri tahu undang-undang itu perlu adil dan terlihat adil. Jika tidak terlihat adil bagaimana mahu mengekang persepsi ramai bahawa ia tidak adil? Jangan adik menggunakan naratif “contempt of court” jika keadilan daripada awal gagal diperlihatkan.

Walaupun amat salah dan tidak adil melepaskan individu yang jelas bersalah tetapi terpaksa dilepaskan jika wujud keraguan munasabah, inikan pula perbicaraan individu yang daripada awal wujud keraguan munasabah, tanpa saksi utama ditampikan termasuklah wujud konflik kepentingan Yang Arif Hakim, selain serta keadilan terlihat disegerakan, seolah-olah wujud perkara lain di sebaliknya.

Apapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, maksim “keadilan yang disegerakan membuatkan keadilan dimusnahkan” lebih diterima rakyat berbanding maksim “keadilan dilewatkan bererti keadilan dinafi”. Mereka yang mementingkan keadilan tanpa mengira parti mahu setiap individu itu diberi peluang membela dirinya sebaik mungkin hatta selama mungkin selagi wujudnya peluang membuktikan beliau tidak bersalah. Tetapi jika hak membela diri sebaik mungkin dinafikan, timbul pula persoalan adakah wujud sisi lain Perlembagaan yang berat sebelah, terpakai untuk golongan marhaen atau musuh politik, tetapi tidak terpakai untuk golongan kayangan dan elit politik?

Wallahualam, hanya Allah dan Rasul yang mengetahuinya. Apapun, yang dijatuhi hukuman bersalah sudahpun bersumpah laknat tidak melakukannya, justeru pihak yang konsisten kata beliau bersalah beranikah bersumpah sepertinya?

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts