KRONOLOGI USAHA PEMIMPIN-PEMIMPIN SETIA SELAMATKAN UMNO, ELAK PARTI DIKUBURKAN, ‘DITELAN’ BERSATU

386
SHARES
2.3k
VIEWS

Selagi kita ini bergelar manusia, tiada siapapun yang sempurna dan terlepas daripada membuat kesilapan. Hatta dirinya seorang Raja atau bangsawan, pemimpin ataupun ‘golongan kayangan’, atau hanya rakyat biasa atau marhaen yang duduk di pinggiran. Namun semua wajib berusaha yang terbaik dan kemudian bertawakal kepada-NYA, sesuai dengan apa yang Allah perintahkan.

Dalam konteks politik hari ini, terutamanya parti UMNO-Barisan Nasional yang tumbang dan dimalukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, masih mampu bertahan di persada politik negara di sebalik pelbagai tekanan dan dakwaan terhadap pemimpin-pemimpinnya, termasuk ada yang dipenjarapun.

Pemimpin-pemimpin utamanya yang setia berusaha gigih menyelamatkan parti dan mengembalikan maruahnya selepas dikalahkan, selain mengelakkan daripada cubaan “rampasan dalaman” oleh pemimpin-pemimpinnya yang pro Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Perikatan Nasional.

Berikut ialah kronologi bagaimana Presidennya Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin setia yang lain berusaha agar UMNO tidak dikuburkan atau “dirampas kuasa” bagi mengelakkannya dikuasai oleh Mahiaddin-Bersatu, yang didukung kuat oleh Tun Mahathir. 

1. Realitinya Zahid dan pemimpin-pemimpin setia UMNO telah berjaya membawa parti mereka keluar daripada dua masalah utama pasca kekalahan UMNO-Barisan Nasional di PRU-14. Pertama ialah cubaan membubarkan atau mengharamkan UMNO dan kedua, rancangan ‘mengambil alih’ parti untuk dijadikan ‘keldai’ Tun Mahathir, Mahiaddin dan Bersatu.

2. Perkara ini diminta sendiri oleh Tun Mahathir seawal bulan September 2018 dalam pertemuan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO termasuk Dato Seri Utama Mohamad Bin Hasan atau Tok Mat, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob dan Dato Seri Mahdzir Khalid.

2.1. Pertemuan tersebut juga telah dirakam untuk memalukan UMNO tetapi tiada siapa di pihak Pejabat Perdana Menteri (PMO) berani menularkannya kerana ia dibuat tanpa pengetahuan Tun Mahathir. Selain itu, pihak PMO-JPM yang terlibat merakam turut khuatir butiran atau perincian rakaman audio tersebut tidak memihak kepada mereka jika ditularkan kerana ia hanya membuktikan desakan Perdana Menteri ketujuh itu untuk membubarkan UMNO.

2.2. Malah, Datuk Kadir Jasin yang menyindir pertemuan tersebut kerana kononnya pimpinan tertinggi UMNO ingin ‘meminta nyawa’ daripada Tun Mahathir, semberono menuduh kerana beliau sendiri tidak tahu kewujudan rakaman tersebut dan apa intipatinya. Beliau hanya mendengar apa yang PMO mahu sampaikan kepadanya dengan tujuan memperlekeh pimpinan tertinggi UMNO.

2.3. Kadir juga tidak tahu tujuan sebenar pimpinan UMNO berjumpa Tun Mahathir, yang hanya mahu menyantuni Perdana Menteri Pakatan Harapan apabila dipanggil menemuinya. Kadir tidak tahupun Tun Mahathir ada berkata, “Please set up-lah, nama dahulu sudah rosak, orang semua nampak UMNO ini parti yang rosak”, kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang hadir. Jelas melalui rakaman tersebut bahawa UMNO hanya mahu ‘memancing’ Perdana Menteri ketujuh itu untuk melihat apa yang ingin beliau katakan.

2.4. Oleh kerana itulah soalan atau pertanyaan pimpinan UMNO kepada Tun Mahathir dibuat secara tersusun dan bergilir-gilir untuk bercakap atau mengemukakan pandangan. Selebihnya mereka hanya mendengar celoteh Tun Mahathir yang tidak habis-habis bernostalgia mengenai kisah lampaunya termasuk ketika beliau masih kecil.

2.5. Dalam rakaman itu juga jelas menunjukkan pendirian Tun Mahathir yang konsisten berpandangan PAS sebagai pemecah belah Melayu Islam di negara ini. Beliau juga menggelarkan bekas Perdana Menteri keenam Dato Sri Mohd Najib Tun Razak sebagai ‘psychopath‘.  Selain itu, apabila ditanya oleh salah seorang pemimpin UMNO yang hadir, kenapakah kerajaan tidak terus menangkap Najib jika benar mereka mempunyai bukti-bukti yang mengaitkannya, Tun Mahathir berdalih kononnya sukar kerana Najib mempunyai banyak passport. 

3. Segala butiran di atas membenarkan dakwaan Zahid bahawa Tun Mahathir telah mendesak pemimpin-pemimpin UMNO daripada awal untuk membubarkan parti dan apabila tidak dipatuhi maka kerana itulah beberapa pemimpin UMNO termasuk Zahid ‘dihukum’ berdepan dengan pelbagai pertuduhan.  Namun kini semuanya sudah terbukti dengan sendirinya apabila kerana Tun Mahathir sudahpun membuka pekungnya dan membuat pengakuan terbuka bahawa beliau sememangnya meminta Zahid membubarkan UMNO – sedangkan tiada sesiapa pun yang memaksa beliau berbuat sedemikian. 

4. Rentetan daripada kegagalan mendesak UMNO untuk dibubarkan serta rancangan mengambil alihnya juga gagal, Zahid dan beberapa pemimpin UMNO lainnya terus ditekan dan diasak dengan pelbagai kes mahkamah sebagai ‘hukuman’, selain untuk mengalih perhatiannya daripada fokus menyelamatkan UMNO. Hal ini juga terkait dengan pendakwaan terhadap Dato Sri Mohd Najib Tun Razak yang menimbulkan pelbagai keraguan sehingga ke hari ini kerana beliau antara tenaga utama bersama Zahid dan Tok Mat untuk menaikkan kembali UMNO. 

5. Akhirnya Tun Mahathir sendiri meletakkan jawatan dan mengakhiri penggalnya sebagai Perdana Menteri tersingkat dalam sejarah negara iaitu hanya selama 22 bulan. Namun UMNO masih  tetap gagal dikuburkan, walaupun Zahid, Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO lain ditekan dengan pelbagai intimidasi dan pendakwaan terpilih. Cubaan mengambil alih UMNO juga masih diteruskan dengan bantuan “orang dalam” parti, oleh mereka yang dikenali sebagai “UMNO Putrajaya”. 

6. Walaupun Perdana Menteri Pakatan Harapan telah bertukar, tetapi hukuman ke atas Zahid kerana “berjaya menyelamatkan UMNO” tetap diteruskan. Ini kerana pengganti Tun Mahathir, Tan Sri Mahiaddin Yassin, yang “ber-DNA totok” Pakatan Harapan masih meneruskan apa jua rundingan dan projek serta pelaksanaan di zaman mereka memerintah. Tiada apa yang diubahnya hatta mengembalikan semula harta dan aset milik Tabung Haji yang dijarah teruk oleh Pakatan Harapanpun tidak mahu dilakukan.

6.1. Ahli keluarga anggota bomba Mohd. Adib Mohd Kassim yang mati dibunuh oleh perusuh kuil haram juga tidak disantuninya, langsung tidak menjengah muka bertanya khabar, jauh sekali membela pembunuhan penjawat awam tersebut walaupun Mahkamah Koroner telahpun menentukan kematiannya akibat daripada “dua atau lebih penjenayah” yang sehingga kini masih bebas. Ini juga menjadi bukti kukuh Perikatan Nasional tidak pernah mahu memperjuangkan Islam dan menyatukan ummah, apatah lagi jika dikatakan mahu membela nasib rakyat?

6.2. Tiada satupun perkara buruk dibuat Pakatan Harapan yang di-undo atau dibetulkan oleh Mahiaddin selama memerintah terutamanya pendakwaan terpilih ke atas pemimpin-pemimpin UMNO, berbeza dengan Pakatan Harapan yang terus membebas dan melepaskan beberapa pemimpin-pemimpinnya sebaik sahaja memerintah.

7. Di bawah Mahiaddin-Perikatan Nasional, UMNO masih gagal dikuburkan walaupun intimidasi dan pendakwaan terpilih masih diteruskan terhadap pemimpin-pemimpinnya. Tuntutan-tuntutan UMNO agar diwujudkan pelbagai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pelbagai salah laku Pakatan Harapan juga tidak diendahkan. Mahiaddin selaku Perdana Menteri dilihat oleh pelbagai pihak sebagai sengaja mahu melindungi Pakatan Harapan. 

8. Dengan pelbagai kontroversi yang melanda, akhirnya Mahiaddin hanya mampu bertahan selama 17 bulan dan terpaksa berundur setelah menimbulkan ‘pertelagahan’ dengan pihak Istana mengenai pembukaan Parlimen. Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah murka kerana telah menitahkan Parlimen dibuka tetapi titahnya tidak diendahkan.

8.1. UMNO ketika ini 100 peratus berada bersama Ketua Negara YDP Agong walaupun ditentang oleh Bersatu dan PAS yang bermati-matian cuba mengelak Sidang Parlimen. Pelbagai muslihat dilakukan mereka dan Menteri PAS iaitu Takiyuddin selaku Menteri Undang-undang berjaya diperkuda Mahiaddin sehingga sanggup memperlekeh titah YDP Agong yang kononnya tidak meletakkan tarikh untuk Parlimen bersidang.

9. Dengan peletakan jawatan yang amat memalukan Mahiaddin ini, menjadikan pemerintahan beliau sebagai yang tersingkat dalam sejarah negara, mengatasi ‘pencapaian’ Tun Mahathir sebelum ini selama 22 bulan. Seterusnya beliau digantikan oleh Dato Seri Ismail Sabri Yaakob, namun di bawahnya UMNO terus ditindas, walaupun Perdana Menterinya kini daripada UMNO.

10. Ini kerana wujud perjanjian sulit yang sehingga kini tidak pernah dinafikan oleh lima penandatangan yang terlibat iaitu Mahiaddin, Hamzah Zainuddin, Takiyuddin, Annuar Musa dan juga Ismail sendiri. Selain berjanji tidak akan menukar Peguam Negara, YAA Tan Sri Idrus Harun dan mengekalkan jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan juga Pengerusi GLC daripada parti PPBM dan PAS, perjanjian ini juga termasuk menyegerakan kes Najib dan juga Zahid. Desakan agar dakwaan ini disiasat menjadikan Mahiaddin dan Bersatu semakin ‘panas’ termasuk kumpulan UMNO Putrajaya yang menggiatkan serangan ke atas pemimpin-pemimpin UMNO yang setia dengan parti. 

11. Jelas intimidasi terhadap rakan sendiri diteruskan walaupun Ismail Sabri merupakan Naib Presiden UMNO. Namun Zahid dan Najib serta pemimpin-pemimpin lain yang memegang baiah bersama UMNO dan bukannya Perikatan Nasional, mereka tetap berusaha memulihkan parti yang dibuktikan berjaya apabila rakyat memilih UMNO-Barisan Nasional di beberapa siri PRK dan PRN seluruh negara.

12. Dalam masa yang sama usaha Zahid dan pemimpin-pemimpin setia UMNO yang lain menyelamatkan UMNO tetap diteruskan terutamanya bagi mengekang pengaruh kumpulan “UMNO Putrajaya” pro Perikatan Nasional mengambil alih UMNO dan menyerap kembali masuk Mahiaddin, Hamzah dan lain-lain pemimpin khianat lainnya.

13. Apabila usaha mengekang ini berjaya dilakukan maka Zahid, Tok Mat, Najib dan beberapa pemimpin lain semakin dipertingkatkan oleh pengkhianat dalaman UMNO. Ini termasuk ada pihak membayar blogger upahan yang lari duduk di luar negara. Pengakuan membayar blogger daripada Manchester ini juga berjaya direkodkan dan sukar jika ada mana-mana pihak mahu menafikannya.

13.1. Apabila kumpulan yang diketuai oleh seorang yang bergelar Tan Sri ini dikenalpasti oleh UMNO maka naratif UMNO akan bersama Anwar pula dimainkan oleh blogger yang sama dengan maklumat kononnya ia daripada ‘perisik’. Persoalannya, perisik mana yang mahu memberi maklumat dan jika benar, adakah wujud rakaman audio ataupun video untuk membuktikannya? Jika ada, sudah tentu sudah lama blogger daripada Manchester ini dedahkan.

13.2. Bahkan kumpulan diketuai Tan Sri ini yang membayar blogger tersebut tidak tahu bahawa perbuatan khianat mereka mengubah blogger tersebut untuk memburuk-burukkan pemimpin UMNO sudahpun diketahui ramai. Cukuplah didedahkan sedikit apa yang dikatakan iaitu, “I pergi jumpa dia di Manchester, jumpa di rumah dia. Mujur tiada siapa bayar dia lagi, I bayar dulu. I tunjuk dekat bos, bos suka”. Jika benar wujud ‘sweet deal‘ seperti yang didakwa, minta sahaja blogger yang diupah tersebut dedahkan butiran dan rakaman. Jika tiada, seperti biasa ia hanyalah fitnah dan usaha di saat-saat akhir untuk memburuk-burukkan Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO lainnya. 

14. Walaupun Najib akhirnya dikekalkan hukuman bersalah oleh Ketua Hakim Negara YAA Tengku Maimon, di sebalik pelbagai kontroversi termasuklah penglibatan terus Hakim Mahkamah Tinggi YA Mohd Nazlan dan SRC, namun Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO lain masih berusaha keras membawa partinya keluar daripada kemelut yang melanda. 

15. Sehinggalah akhirnya Ismail Sabri membubarkan Parlimen pada 10 Oktober 2022, UMNO dilihat masih ‘struggle‘ kerana bergelut dengan ketidakpuasan hati sesetengah pemimpin-pemimpin pro Mahiaddin-Perikatan Nasional yang tidak dicalonkan dalam senarai Ahli Parlimen PRU-15. Mereka yang tidak tersenarai ini walaupun telah berjaya disingkirkan, kini cuba menekan Zahid dan UMNO dengan bertanding secara bebas ataupun atas platform Perikatan Nasional.

16. Macam-macam tohmahan dan fitnah pula dikeluarkan namun Zahid dan UMNO tetap istiqamah dalam perjuangannya untuk menaikkan kembali negara ke landasan asalnya. Antara fitnah dan propaganda jahat yang akan diteruskan sehinggalah di hari pengundian sebagai cubaan terakhir Perikatan Nasional untuk mengelirukan rakyat, iaitu naratif jahat kononnya Zahid dan Anwar mempunyai ‘sweet deal‘ untuk bekerjasama selepas PRU-15.

16.1. Sedangkan yang jelas mempunyai bukti mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan ialah Bersatu. Malah PAS sendiri membuat rencana untuk bersama DAP jika parti cauvinis itu jika kononnya mereka boleh ‘dilute‘ sedikit – rancangan jahat melalui PASleak yang telahpun bocor daripada awal. Naratif Zahid tidak layak mengemudi UMNO juga dimainkan sedangkan beliau dan pemimpin-pemimpin UMNO yang setia selama Inilah yang berjaya menahan parti itu daripada dikuburkan dan diambil alih oleh Mahiaddin-Bersatu.

17. Hakikatnya inilah ‘harga’ yang terpaksa dibayar oleh Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO yang masih setia dengan parti berbanding kumpulan UMNO Putrajaya. Sedangkan ‘dosa’ mereka sehingga difitnah teruk sebegini adalah kerana tidak mahu pemimpin-pemimpin khianat daripada Bersatu masuk kembali ke dalam UMNO dan mengambil alih parti lama tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan diri mereka daripada disiasat dan terlibat dalam RCI kelak. 

18. Sungguhpun begitu, di sebalik pelbagai rancangan jahat DAP-Pakatan Harapan dan Bersatu-Perikatan Nasional yang turut diteruskan ketika pemerintahan Keluarga Malaysia, UMNO di bawah Zahid masih mampu bernafas tanpa masalah, masih selamat dan tidak berjaya dikuburkan. Malah cubaan untuk mengambil alihnya juga gagal dilaksanakan sehingga ke hari ini. Parti tersebut juga masih utuh walaupun wujud kumpulan oportunis pro Mahiaddin-Perikatan Nasional di dalam UMNO. Dijangkakan fitnah dan propaganda jahat sebegini untuk merosakkan pimpinan UMNO akan diteruskan sehinggalah di hari pengundian, cubaan terakhir Bersatu-Perikatan Nasional agar rakyat terpengaruh dengan fitnah dan naratif jahat mereka. 

19. Realitinya, jika pemimpin-pemimpin UMNO pro Mahiaddin-Perikatan Nasional yang suka bercakap besar dan angkuh seperti Annuar Musa dan Shahidan Kassim Inilah yang mengemudi UMNO selama ini, tentu sudah lama parti itu dikuburkan tanpa nisan. Ini kerana semangat perjuangan mereka bukan demi menyelamatkan UMNO dan mengembalikan maruahnya seperti Zahid, Tok Mat, Najib dan pemimpin-pemimpin setia yang lain, tetapi demi menyelamatkan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional seperti Mahiaddin, Hamzah, Azmin serta pemimpin-pemimpin ‘katak’ yang sudahpun ditolak rakyat. Oleh kerana menolak rancangan Inilah maka Zahid dan lain-lain pemimpin UMNO teruk ditekan dan difitnah sehingga ke hari ini. 

20. Justeru, usahlah terpedaya dengan fitnah dan penipuan Perikatan Nasional yang masih mencari jalan untuk memerintah, termasuklah rancangan besar mereka untuk memerintah bersama Pakatan Harapan, asalkan UMNO tidak menjadi kerajaan. Matlamat mereka sama iaitu bagi memastikan UMNO-Barisan Nasional tidak berjaya menjadi kerajaan, agar pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional selamat daripada sebarang pendakwaan. Jangan pelik walaupun PAS bersama mereka kerana sebelum inipun parti itu pernah bersama DAP dan Anwar dalam Barisan Alternatif yang bermatlamatkan sama menumbangkan UMNO-Barisan Nasional. 

Kesimpulannya, buat yang membuat fitnah ke atas pemimpin-pemimpin UMNO, sudah-sudahlah membuat dosa besar memfitnah sedangkan anda juga orang Islam dan tahu adanya hari pembalasan. Kelak tiada siapa yang terlepas hatta di dunia anda digelar tok guru ataupun ulama, namun bergelumang dengan dosa memfitnah.

Pesanan buat rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO, istiqamahlah dengan perjuangan bersama institusi Presiden yang telah berjaya menyelamatkan parti selama ini dan cukup-cukuplah terpedaya dengan fitnah buat kesekian kalinya. Kelak kebodohan yang sama akan diulangi oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, namun natijah dan kesan buruknya akan dirasai oleh semua.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts