Dalam isu yang membabitkan kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, selain terlibat dengan syarikat perjudian, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mendedahkan bahawa syarikat yang mempunyai kepentingan keluarga turut terbabit dalam penyelewengan perbelanjaan berjumlah RM600 bilion tersebut.
Setelah dimaklumkan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan mengenai perbelanjaan yang dilihat sebegitu tinggi dan mewah, Anwar dimaklumkan terdapatnya pelanggaran serius prosedur berhubung perbelanjaan ketika pentadbiran kerajaan diterajui Tan Sri Mahiaddin Yassin. Beliau juga membidas Mahiaddin yang begitu angkuh mencabar kerajaan untuk menyiasat penyelewengan tersebut.
“Namun, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan. Justeru, kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan membabitkan keluarga turut terpalit.“
Sebagai rekod, Pengerusi Perikatan Nasional sendiri sebelum ini telah mengesahkan kerajaan yang diterajuinya tidak lagi mempunyai banyak wang kerana ia telah dibelanjakan sepanjang pandemik Covid-19 terutamanya semasa pengisytiharan darurat. Namun timbul keraguan apabila Perikatan Nasional dilihat berbelanja besar dan menjadi gabungan paling kaya semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas, sehingga menteri yang rapat dengannya mengakui beliau mempunyai puluhan juta ringgit yang disimpan di dalam biliknya.
Kesimpulannya, rakyat hanya mahukan ketelusan dan jawapan ke mana perginya wang negara sebanyak RM600 bilion yang majoritinya dibelanjakan semasa darurat. Ini kerana jumlah yang terlalu besar itu menyamai jumlah hutang negara selama lebih 60 tahun, tetapi Perikatan Nasional mampu menghabiskannya hanya dalam masa yang singkat.
Justeru lagi cepat ia disiasat dan didedahkan maka adalah lebih baik.