WAJARKAH RAMASAMY KRITIK ZAHID DAN UMNO?

104
SHARES
334
VIEWS

Keceluparan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang menyifatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai beban bukan hanya kepada parti tetapi juga buat Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan, dilihat sebagai bodoh dan tidak bertanggungjawab.

Mungkin beliau belum sedar bahawa Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin mereka yang lain telah datang berjumpa pimpinan tertinggi UMNO di Seri Pacific sebelum ini dan bukan UMNO yang terhegeh-hegeh mahukan Pakatan Harapan. Jika tidak kerana situasi ‘hung Parliament‘ yang berlaku kerana kedua-dua Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional gagal membentuk kerajaan, membuatkan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong mencadangkan agar diwujudkan Kerajaan Perpaduan. Jika tidak tentu UMNO akan kekal sebagai pembangkang seperti ketetapan awal dan Parlimen juga akan terus tergantung tanpa kesudahan.

Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan wajar menegur pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan seperti Ramasamy agar jangan mencampuri urusan parti lain, malah tindakan akar umbi UMNO tidak mahukan dua jawatan tertingginya dipertandingkan bukannya menyalahi undang-undang dan Perlembagaan. Ini hanya salah satu cara ‘pembersihan’ UMNO bagi membendung kerosakan dalaman berterusan yang dilakukan oleh segelintir pemimpinnya yang tamakkan kuasa bersama pemimpin parti lain.

Sama ada Ramasamy sedar ataupun tidak, ramai pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sendiri terlibat dengan pelbagai isu rasuah, jenayah dan skandal, termasuk Tommy Thomas dan Anwar. Malah, Ramasamy sendiri berdepan dengan puluhan laporan polis dibuat terhadapnya, setelah gambar beliau dan Satees Muniandy memberi penghormatan kepada senapang Kalashnikov tersebar. Boleh pula beliau berdalih kononnya kedua-dua mereka menghadiri majlis penghormatan kepada mangsa pembunuhan beramai-ramai di Sri Lanka walaupun gambar tersebut menampilkan naratif yang jauh berlainan dan mencurigakan. Lebih malang kes ini digugurkan di bawah Pakatan Harapan, membuktikan bukanlah ketelusan dan kebenaran yang diperjuangkan, sebaliknya apabila pemimpin sendiri terlibat dengan pelbagai isu, dengan mudahnya tuduhan akan digugurkan.

Oleh itu, selain Anwar perlu menegur pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sepertinya, Ramasamy sendiri perlu mengukur baju di badan sendiri dan menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi DAP, bukannya sibuk-sibuk dengan keputusan yang dibuat oleh parti lain yang langsung tiada kena mengena dengan partinya. Jika Pakatan Harapan masih mahukan keharmonian sesama parti dalam kerajaan, serta tidak mahu kerajaan ini menjadi tidak stabil serta tidak diganggu-gugat sehingga ke hujung penggal, maka lebih baik Ramasamy jangan membuka ruang kepada musuh untuk mendapat ‘peluru’ percuma bagi ‘menembak’ UMNO. Jika tidak, jangan salahkan UMNO jika Anwar dan Pakatan Harapan hanya mampu bertahan selama beberapa bulan, malah bakal menjadi Perdana Menteri tersingkat dalam sejarah, lebih singkat daripada Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Jangan lupa pelbagai gerakan dan langkah sedang diusahakan untuk menjatuhkan Anwar dan Pakatan Harapan, tetapi jika sudah terlalu sombong dan tidak mahu UMNO membantu, malah boleh pula Ramasamy menuduh UMNO menjadi ‘beban’ kepada Pakatan Harapan, maka apa kata jika Ramasamy minta UMNO berundur daripada terus menyokong kerajaan dan kita lihat berapa lama Pakatan Harapan mampu bertahan.

Justeru, Ramasamy perlu belajar erti setiakawan, bukannya menjadi duri dalam daging kepada kerajaan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts