UMNO TIDAK RELEVAN? – DR. RAMALAN YUNUS

187
SHARES
604
VIEWS

Hanya kerana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, demokrasi dalam UMNO dianggap sudah mati. UMNO dianggap sudah tidak relevan dan akan dijauhi oleh generasi muda. Bagaimana dengan parti-parti lain yang Presiden dan Timbalan Presidennya tidak ditandingi? Tidakkah itu bermakna demokrasi juga sudah mati dalam parti-parti politik yang lain ?

Kalau lebih dari 90 peratus perwakilan yang mewakili ahli-ahli UMNO di seluruh negara menolak pertandingan bagi jawatan tersebut, adakah itu bukan demokrasi? Kalau itu bukan demokrasi lalu kita mahu panggil apa?

UMNO kekal relevan kerana terus berjuang untuk mempertahankan Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu. UMNO kekal relevan kerana terus mendukung prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. UMNO kekal relevan kerana akur dengan titah Tuanku untuk membentuk kerajaan PN, PN 2.0 dan kini Kerajaan Perpaduan.

Yang tidak relevan adalah parti-parti politik yang telah menderhaka kepada titah Raja. Yang tidak relevan adalah parti-parti politik yang tidak menjunjung Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Yang tidak relevan adalah parti-parti politik yang mendakwa berjuang untuk Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu tetapi ingkar kepada Ulil Amri.

Ini kerana Raja adalah Ketua Agama, Ketua Bangsa dan Ketua Negara di negara ini. Raja-raja Melayu adalah Ulil Amri bagi seluruh umat Islam di negara ini. Kesetiaan adalah kepada Raja dan negara. Bukan kepada parti-parti politik.

Parti-parti politik yang menyeru ahli-ahlinya untuk menderhaka kepada Raja atau Ulil Amri harus dinyahkan daripada negara ini. Ini kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menderhaka kepada Ulil Amri.

Generasi muda pasti akan mendekati UMNO jika mereka diberikan penjelasan dan kesedaran yang betul bahawa UMNO adalah parti yang telah menyelamatkan negara ini dari dijajah oleh British pada tahun 1946. UMNO juga adalah parti yang telah membentuk negara Malaysia pada tahun 1957 tanpa sebarang pertumpahan darah. UMNO juga yang telah membina negara ini semenjak tahun 1957 sehingga kini. Semenjak tahun 1957 sehingga kini, hanya pada tahun 2018 hingga 2020 sahaja UMNO tidak bersama kerajaan.

Dan apabila demokrasi sudah tidak berjaya membentuk kerajaan politik pada PRU-15, UMNO akur dengan titah Raja untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Tuanku. Semua ini jelas membuktikan bahawa UMNO tidak pernah menolak demokrasi dan suara rakyat. UMNO juga terus kekal relevan di negara ini sehingga kini dan sejarah panjang serta khidmat bakti UMNO kepada negara ini adalah sesuatu yang harus dikenang, dihormati dan dihargai oleh setiap lapisan masyarakat dan generasi yang akan datang.

Tidak ada parti politik lain di dunia ini yang mempunyai sejarah dan pencapaian yang sehebat UMNO. Dalam tempoh 100 tahun yang lalu, UMNO adalah parti politik yang terhebat dan terunggul di dunia dan akan terus hebat dan unggul untuk 100 tahun yang akan datang.

UMNO bukan parti yang sempurna atau yang terbaik. Namun sekurang-kurangnya UMNO adalah lebih baik dari parti-parti politik yang lain. Baik di Malaysia mahupun di dunia. UMNO mampu berubah menjadi lebih baik dengan Presiden dan Timbalan Presiden yang sedia ada. 

Sejak dari awal saya menyatakan bahawa yang anti dengan Presiden UMNO hanya segelintir sahaja. PAU 2022 yang berakhir semalam membuktikan bahawa kenyataan saya itu benar. Dengan berakhirnya PAU 2022 semalam maka bermulalah proses ‘islah’ dan ‘tajdid’ di dalam UMNO. Bagi diri saya, agenda reset Malaysia “is in progress“. Teruskan bersama nota-nota saya. Anda akan dipujuk dan dirayu untuk mereset diri anda, keluarga, masyarakat dan negara. In sha Allah.

Oleh Dato’ Dr. Ramalan Yunus

Penganalisis politik dan ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts