Sebelum ini Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik mendapat kritikan netizen apabila membuat siaran di laman Facebook beliau, menjemput semua rakyat Malaysia untuk meluahkan rasa cinta terhadap negara dengan menghasilkan karya kreatif berupa ‘certot’ sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ini, yang mengakibatkan ‘backlash‘ terhadap dirinya dan kerajaan.
Netizen juga mengkritik Dr. Maszlee kerana program yang diwar-warkan di laman Facebook tersebut adalah satu program rasmi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan sewajarnya beliau tidak menggunakan istilah ‘certot’ yang tiada dalam kamus terbitan DBP termasuk mengkritik beliau sebagai melacurkan bahasa.
Sebagai rekod, ‘certot’ adalah singkatan daripada perkataan ‘cerita’ dan ‘kontot’ yang digunakan secara meluas oleh netizen ketika ini namun melalui semakan di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapati perkataan ini tidak tersenarai dalam kamus DBP seperti perkataan ‘cerpen’ yang telah diiktiraf oleh DBP untuk digunakan secara rasmi.
Netizen mempertikai penggunaan tersebut oleh seorang Menteri Pendidikan yang sewajarnya mendidik dan bukan membuka ruang untuk dikritik.
“Ini program kementerian, ada logo kementerian, sila guna bahasa kebangsaan dengan betul, tepat dan sesuai.”
“Sembang-sembang di fb bolehlah, sembang-sembang di kedai kopi bolehlah.”
“Beliau Menteri Pendidikan, sekurang-kurangnya mendidik jika tidak tahu mentadbir kementerian dengan baik, bukan melacurkan bahasa, mencari publisiti murahan dengan lancar program di bulan kemerdekaan.”
~Antara kritikan yang boleh dilihat di laman Facebook Dr. Maszlee Malik
Berikut adalah siaran penuh yang dibuat oleh Dr. Maszlee di laman Facebook beliau:
Untuk memeriahkan bulan menyambut kemerdekaan ini, saya menjemput semua rakyat Malaysia untuk meluahkan rasa cinta terhadap negara dengan menghasilkan karya kreatif berupa Certot (cerita-cerita kontot).
Luahkan rasa cinta dan terjemahkanlah sikap patriotisme anda. Negara ini negara kita. Tanah tumpah darah dan keringat kita. Sejauh mana pun kita mengembara, kita tetap seperti burung gagak pulang ke benua (tak berubah rupa paras asal walau sudah lama merantau). Tidak lain tidak bukan kerana kita orang Malaysia.
Marilah kita sama-sama suburkan rasa cinta dan bangga menjadi rakyat Malaysia. Kibarkanlah jalur gemilang. Berceritalah kepada orang tentang sejarah negara bertuah kita ini. Biar semua orang tahu bahawa negara kita ini negara yang indah, aman, unik dan persona. Dan kita tak pernah menyesal menjadi warganya.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan buat semua. Ayuh bercerita!
Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia
#MalaysiaMembaca
#SayangiMalaysiaku
#CertotSayangiMalaysiaku