Jurucakap kementerian Israel untuk Afrika Lior Hayat berkata negaranya memandang serius insiden di mana wakil mereka untuk Afrika, diusir dari dewan Kesatuan Afrika walaupun beliau berstatus pemerhati bertauliah.
Timbalan Ketua Pengarah Israel untuk Afrika, Sharon Bar-li telah diusir keluar dari sidang kemuncak Afrika Utara (AU) pada hari pembukaannya di Addis Ababa, Ethiopia semalam.
Hayat menuduh Iran sebagai ‘dalang’ yang mengatur pengusiran diplomat kanan itu daripada Sidang Kemuncak AU tersebut. Selain Iran, beliau turut menamakan Algeria dan Afrika Selatan sebagai antara negara yang terlibat dalam pengusiran dutanya.
“Adalah menyedihkan melihat AU telah dijadikan ‘tebusan’ oleh sebilangan kecil negara seperti Algeria dan Afrika Selatan, didorong oleh kebencian dan dikawal oleh Iran,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, jurucakap Presiden Afrika Selatan, Vincent Magwenya memberitahu bahawa Israel mesti membuktikan dakwaannya yang menuduh Iran dalam insiden berkenaan, bukannya hanya membuat tuduhan melulu.
Seorang jurucakap AU berkata, Bar-li diiring keluar dari persidangan itu kerana beliau bukan individu yang sepatutnya mewakili Israel ke sidang kemuncak tersebut dan tiada kena mengena dengan desakan mana-mana negara.