Di sebalik titah saranan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang berharap agar kerajaan tidak lagi bertukar Perdana Menterinya melalui pelbagai cubaan menjatuhkan kerajaan, Presiden PAS Hadi Awang tetap memperlekehkan titah baginda. Bahkan beliau kata “tindakan menjatuhkan kerajaan adalah biasa dalam politik”.
Beliau sebelum ini yang amat selesa dengan gaji berpuluh ribu sebulan sebagai duta timur tengah bertaraf menteri, satu jawatan yang dilihat hanya ‘syok sendiri’ kerana gagal membawa sebarang pelaburan, kini ‘meracau’ mengenai rancangan menumbangkan kerajaan mungkin kerana ‘rindu’ jawatan lamanya.
Haji Hadi yang selalu digelar ‘Tok Guru’ itu acapkali menggunakan pelbagai istilah binatang ke atas seteru politiknya, sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada rakyat terutamanya orang muda dengan berakhlak mulia sepertimana diperintahkan Allah Taala.
Sungguhpun begitu, selaku ‘Tok Guru’ yang sepatutnya beradab, hal ini tidak pula berlaku pada Haji Hadi. Malah sikap dan kata-kata beliau yang tidak Islamik dikeluarkan bagi menghalalkan sebarang tindakan atau perbuatan beliau dan partinya PAS. Contohnya dalam menumbangkan kerajaan, sama ada Haji Hadi tidak berjumpa hadis mengenai celaan Allah Taala dalam perkara tersebut seperti dinukilkan dalam kitab Riyadus Salihin di bawah tajuk, “Wajib taat kepada Ulil Amri” yang menampilkan sebelas hadis masyhur (No.662-672), atau tidak mempedulikannya.
Bahkan hadis masyhur mengenai taat dengan ketua atau pemimpin ini juga mungkin beliau belum temui atau tidak tahupun kewujudannya. Dalam hadis riwayat Imam Bukhari ini menyebut bahawa “wajibnya taat kepada ketua atau pemimpin ini selagi mana tidak diajak kepada maksiat”.
Tidak mungkin ‘Tok Guru’ sepertinya tidak mahu mengamalkan hadis, malah dalam konteks ini beliau sepatutnya berusaha menghalang sebarang cubaan yang ada untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan.
Jika tidak bersetuju sekalipun, beliau perlu elakkan diri bersama dengan mereka yang mahu menumbangkan kerajaan, bukan berperangai buruk menyertai mereka kerana jelas titah saranan baginda selaku Ketua Negara itu bukanlah ajakan kepada maksiat.
Namun jika Hadi Hadi dan PAS tidak mahu juga taat dengan titah YDP Agong, bagaimana dengan dua hadis Baginda Nabi Muhammad SAW di bawah mengenai wajib taat ketua iaitu;
665. Dari Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Dengarkanlah dan taatilah olehmu walaupun yang menguasai kamu adalah seorang hamba Ethiopia yang bentuk kepalanya seperti anggur kering.” (HR Bukhari)
666. Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Kamu harus selalu mendengar dan taat baik dalam perkara yang menyusahkan, memudahkan, menyenangkan dan menjemukan kamu serta walaupun dia tidak memperdulikan kamu.” (HR Muslim)
Justeru, tentulah YDP Agong selalu memudahkan, menyenangkan dan tidak pernahpun tidak memperdulikan nasib negara dan rakyatnya.
Maka mahu ‘berdalil’ dan nafikan apa lagi Haji Hadi?