Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada akar umbi UMNO, di mana selama ini sejak UMNO-Barisan Nasional tumbang di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018, Dato’ Lokman Noor Adam antara yang paling lantang dan konsisten mempertahankan parti serta memberi penerangan tanpa jemu sehingga kini.
Beliau kekal bersolidariti bersama bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ketika laungan ‘Bossku‘ masih belum dipopularkan, lama sebelum ia menjadi fenomena ke seluruh negara. Malah semangat jitu beliau menentang para pengkhianat parti sehingga membuatkan dirinya sendiri dipecat daripada jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan UMNO, walaupun tindakannya hanya mempersoal kenapa UMNO tidak mengenakan sebarang tindakan disiplin kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berkomplot dengan pemimpin parti lain dan membelakangkan Presiden.
Tetapi di sebalik hukuman yang dikenakan ke atas beliau, tiada siapa boleh nafikan Lokman Adam tetap setia dengan partinya sehingga kini. Akhirnya kuasa Allah itu membuktikan bahawa tindakan beliau selama ini benar, malah Hishammuddin sendiri sudahpun digantung keahliannya kerana khianat dengan parti sendiri sebelum dan selepas PRU-15.
Hakikatnya, kualiti pemimpin berani seperti Lokman Adam inilah yang sangat diperlukan oleh UMNO ketika berdepan dengan waktu-waktu yang mencabar ini, kerana UMNO ketika ini memerlukan seorang pemimpin seperti Lokman Adam selaku Ahli MKT yang tegas menentang sebarang anasir yang mahu mengganggu-gugat parti, bukan bersekongkol dengan musuh yang mahu menghancurkan parti sendiri.
Justeru, jangan tersalah pilih dan semoga Lokman Adam, calon bernombor 14 ini terpilih antara 25 nama yang bakal menduduki kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Pemilihan UMNO 2023-2026 kali ini, In Sha Allah.
Hanya kepada Allah kita berserah.