APAKAH INDIKATOR KERAJAAN YDP AGONG PERLU DITUMBANGKAN?

113
SHARES
365
VIEWS

Persoalan yang berlegar dalam kalangan rakyat mutakhir ini di mana usaha Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat pelbagai pihak sebagai tidak berupaya membawa negara kembali ke landasannya walaupun ucapan berdegar-degar kerap didengari bersama retorik mampu memulihkan negara dalam masa yang singkat.

Sungguhpun begitu, adakah adil beliau yang belumpun sampai lima bulan menjawat Perdana Menteri dan mewarisi hutang negara melebihi RM1 trilion melalui perbelanjaan mewah kerajaan sebelumnya, dituduh sebagai gagal? Persoalannya apakah indikator yang digunakan sebagai bukti menunjukkan kerajaannya gagal?

Pertama, jika indikator kegagalan Anwar dan Kerajaan Perpaduan ditafsir dari sudut pandang pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional, tentu indikator apapun tidak akan berguna kerana sememangnya mereka akan mengatakan semua usaha Perdana Menteri ini gagal.

Melainkan jika Perdana Menteri tersebut datangnya dari blok mereka atau Perdana Menterinya merupakan ‘boneka’ tajaan Perikatan Nasional, apa sahaja dilakukannya akan dicanang sebagai kejayaan.

Dalam konteks ini, boleh dilihat lantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kesannya ke atas UMNO sebagai contoh terbaik dalam menjelaskan mengenai isu Perdana Menteri boneka.

Kedua, jika indikator kegagalan ini dirujuk melalui pandangan pakar atau penganalisis, melalui pelaburan masuk baharu dan kemasukan semula pelabur-pelabur ke negara ini antaranya daripada UAE dan Amazon AWS bernilai RM25.5 bilion serta pelaburan terkini daripada China bernilai RM170 bilion, tentu mereka tidak akan bersetuju malah mempersenda pihak yang menuduh Anwar dan Kerajaan Perpaduan gagal.

Walaupun Perikatan Nasional skeptikal mengenai pelaburan China ini hanya sebagai “memorandum persefahaman” atau MOU antara Malaysia dan syarikat swasta China yang belum tentu akan direalisasikan, namun hakikatnya ini formaliti biasa dalam memeterai perjanjian.

Jangan lupa insiden memalukan Mahiaddin pernah dijanjikan pelaburan “sky is the limit” oleh sebuah negara Arab yang sebelum itu sangat baik hubungannya dengan pemimpin-pemimpin negara, namun selang seminggu kemudian, mereka melabur lebih RM100 bilion di negara jiran Indonesia.

Jangan lupa juga Haji Hadi yang dilantik sebagai Duta Timur Tengah bertaraf menteri yang gagal membawa sebarang pelaburan kembali ke negara ini tetapi masyhur bertazkirah di Masjid Rusila.

Ketiga, jika indikator kegagalan dilihat dari sudut harga barangan keperluan harian antaranya ayam dan telur yang semakin mencanak naik, namun isu ini sebenarnya berkait rapat dengan kartel yang sudah berleluasa sejak sekian lama. Jika melalui sudut pandang ini mahu dikatakan kerajaan sebagai gagal, maka realitinya semua kerajaan sejak Perikatan Nasional juga gagal kerana sehingga kini kartel masih berleluasa menentukan harga jualan harian.

Subsidi jutaan ringgit sehari tetap diambil namun harga ayam dan telur tetap naik hari demi hari. Isu perang, kenaikan harga makanan dan kekurangan anak ayam dan lain-lain masalah ini hanyalah alasan sebagai justifikasi untuk menaikkan harganya. Selagi kartel dibenarkan ‘bernafas’, selagi itulah isu ini akan berlarutan sampai bila-bila, bagaimanapun ia sukar dibanteras kerana melibatkan industri bernilai puluhan bilion ringgit setahun.

Jika Kerajaan Perpaduan gagal, ia hanya mewarisi kegagalan Perikatan Nasional dan Keluarga Malaysia yang gagal membasmi kartel yang sama ketika mereka menjadi kerajaan.

Keempat, jika indikator kegagalan ini mahu dilihat dari kepuasan hati rakyat dan sentimennya, maka jelas ia tidak berlaku seteruk kebencian rakyat yang meluap-luap kepada kerajaan Perikatan Nasional terkait isu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan perniagaan, termasuk peningkatan jumlah rakyat yang membunuh diri.

Rakyat juga meluap-luap marah ketika itu dalam mempersoal isu kegagalan membuka Parlimen dengan kadar segera seperti titah YDP Agong serta misteri ke mana perginya wang berbilion ringgit milik rakyat yang digunakan sesuka hati ketika darurat – yang kini mula terjawab satu-persatu di bawah Kerajaan Perpaduan.

Malah, rakyat ketika ini lebih tenang walaupun sekali-sekala mengkritik dan mengecam beberapa tindakan kerajaan yang difikirkan tidak wajar, berbanding ketika Perikatan Nasional memerintah dan legasinya diteruskan oleh Ismail Sabri kerana menteri-menteri utamanya tidakpun ditukarkan, yang akhirnya menatijahkan Mahiaddin sendiri terpaksa meletakkan jawatan.

Kelima, jika indikator kegagalan ini mahu dilihat dari segi merit taat dan kepatuhan kepada Istana serta institusi beraja, jelas Kerajaan Perpaduan mempunyai rekod jauh lebih baik berbanding Perikatan Nasional.

Mempertikai titah baginda untuk meneruskan Sidang Parlimen secepat mungkin bukan sahaja tidak diendahkan malah dipermain-mainkan Perikatan Nasional.

PAS yang kononnya ‘Islamik’ juga gagal meyakinkan rakan-rakannya agar taat titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong malah Setiausaha Agungnyalah yang memperlekeh titah tersebut.

Seperti biasa PAS hanya bermuka-muka kononnya memperjuangkan Islam, sedangkan mana yang tidak menguntungkan parti akan ditinggalkan, sebahagian diambil dan sebahagiannya tidak. Ditambah buruk dengan insiden menolak titah saranan baginda agar menubuhkan Kerajaan Perpaduan di mana Mahiaddin dengan angkuh menolak titah saranan tersebut.

Beliau hanya meninggalkan ‘nota’ yang dilihat sangat biadap dengan Istana dan kemudiannya beliau dan Haji Hadi serta pimpinan Perikatan Nasional yang lain membuat sidang media mengenai penolakan tersebut – yang dilihat memperlekeh titah saranan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Dalam kedua-dua hal ini, PAS sengaja menolak atau buat-buat lupa mafhum hadis Sahih Bukhari agar “taat kepada amir ataupun pemimpin dalam keadaan suka ataupun benci, selagi mana tidak diajak kepada maksiat” kerana hadis ini tidak ‘menguntungkan’ mereka.

Hakikatnya, di sisi Perikatan Nasional, Institusi Raja-Raja ini hanyalah umpama ‘pengacau’ kepada gabungan mereka dan kerana itulah ia hanya dipandang sebelah mata. Kebiadapan ini tidak boleh dibenarkan kerana ia hanya menghina YDP Agong dan Institusi Raja-Raja. 

Justeru itu, apa sahaja indikator kegagalan ini jika digunakan, ia hanya akan mengaitkannya kembali dengan Perikatan Nasional. Di mana realitinya kebobrokan pemerintahan mereka selama ini sedang cuba dibaikpulih oleh Kerajaan Perpaduan termasuklah membawa semua mereka yang terkait rasuah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan. Mungkin agak perlahan tetapi jika disegerakan, dikhuatiri akan ada yang menggunakan maksim “Justice rushed is justice crushed” kerana takut didakwa.

Oleh kerana itulah Perikatan Nasional memainkan naratif Kerajaan Perpaduan ini perlu ditumbangkan secepat mungkin, kerana itu sahajalah kepakaran yang mereka ada. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts