Sama ada Perikatan Nasional mampu menumbangkan kerajaan, ia bergantung kepada kejujuran dan keikhlasan pemimpin-pemimpinnya. Jika asyik berunding dengan membelakangkan Presiden parti lain serta sanggup menipu sehingga memperguna institusi yang dihormati, malah masih berlagak angkuh seolah-olah merekalah kerajaan, maka lupakan sahajalah.
Lebih baik tumpu kepada kes mahkamah masing-masing daripada menumbangkan kerajaan kerana cara sebegini tidak mampu bertahan lama. Lihatlah Mahiaddin yang hanya mampu bertahan selama 17 bulan dan Ismail Sabri pula tidak sampai 14 bulan.
Tetapi persoalan yang lebih utama untuk dijawab ialah sejauh manakah Perikatan Nasional sanggup lakukan demi untuk kembali menjadi kerajaan? Adakah dengan hanya mencatur dengan membuat rundingan pintu belakang ataupun termasuk memperguna nama institusi tertentu kononnya mereka sudah mendapat perkenan? Jelas penipuan keji sebegini sanggup dilakukan demi memastikan Kerajaan Perpaduan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ini dapat ditumbangkan.
Dalam masa yang sama keikhlasan mereka menawarkan Sarawak dengan jawatan Perdana Menteri juga amat meragukan. Selain Perikatan Nasional menolak mentah-mentah syarat agar Perikatan Nasional keluar daripada Sarawak, wujud persoalan kenapa tawaran secara terus dengan individu tertentu yang bukannya mewakili negeri tersebut turut dilakukan? Malah tawaran tersebut diterima tanpa merundingkannya terlebih dahulu dengan Presiden parti.
Realitinya, bagi Perikatan Nasional, berunding dengan individu yang membelakangkan Presiden masing-masing ini hanyalah perkara biasa. UMNO sendiri sudah terkena getahnya dan nyaris lumpuh selepas PRU-15. Bagi Perikatan Nasional, asalkan dapat kembali memerintah maka tiada apapun yang mustahil hatta membelakangkan titah YDP Agong.
Perlu diingat, inilah tawaran “scheme of things” yang mudah memperdaya mana-mana individu yang kelabu mata dan tamakkan jawatan. Malah sudah menjadi forte Perikatan Nasional menjadikan individu yang dilantiknya kelak sebagai boneka mereka yang taat seumpama lembu dicucuk hidung. Hakikatnya, inilah satu-satunya ‘kepakaran’ Perikatan Nasional, yakni hanya tahu mencatur dan mengadu-domba pemimpin-pemimpin lain dengan penyogokan politik.
Jika perkara ini dibiarkan berlaku sekali lagi, nescaya sampai bila-bilapun negara ini tidak akan stabil dan terus ketinggalan kepada negara-negara jiran yang sebelum ini jauh terkebelakang. Ini berlaku kerana Perikatan Nasional hanya ada formula untuk menumbangkan kerajaan, tetapi tiada formula memerintah negara dengan baik.
Justeru jangan ada sesiapa tersalah langkah yang hanya menjadi pencetus kepada ketidakstabilan negara.