Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, membantah keputusan kerajaan yang melantik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baru untuk proses keamanan di selatan Thailand.
Rahim, 75, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim sebagai fasilitator baru untuk proses perdamaian di selatan Thailand antara kerajaan Thai dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO).
Menulis di Twitter, beliau merujuk kepada insiden “mata lebam” bapanya ditumbuk oleh Rahim dengan mengistilahkan beliau sebagai “penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah”.
Izzah kelihatan masih berdendam kerana sentimen sebagai seorang anak mengenai layanan tidak adil terhadap ayah sendiri tentu membatasi justifikasi profesional beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.
Sebagai rekod, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul ketika dalam tahanan polis selepas pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 apabila Rahim Noor hilang sabar kerana mendakwa Anwar mengejeknya sebagai ‘anjing’ ketika disoal-siasat.
“Saya tegas menentang pelantikan seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah, ketika matanya ditutup dan tangannya digari – serta dibiarkan terlantar tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.”
“Kemudiannya, berbohong kepada seluruh dunia mengenai lokasi dan nasib mangsa. Malu ke atas mereka yang melakukan kekejaman itu.”
Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan bahawa Timbalannya itu sengaja mencederakan diri sendiri tetapi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kemudian mendapati bahawa Rahim Noor yang menyerangnya.